Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Ramadan asas memperbetulkan sikap, aqidah serta iltizam yang tinggi untuk kita merubah masa depan




Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, masyarakat Islam khususnya rakyat tempatan di sini mempunyai tanggungjawab menukarkan imej negatif yang kerap dilabelkan kepada mereka sebagai golongan yang tidak gigih berusaha dan menyerahkan masa depan kepada kerajaan.

Katanya, kalangan rakyat itu perlu bangkit memperbetulkan asas dan halatuju mereka agar kehidupan generasi tempatan kelak lebih terpelihara, tidak terlibat dengan gejala negatif kesan daripada masalah ekonomi, sehingga ada yang merempat di tanahair sendiri.

“ Apa yang saya harapkan agar rakyat tempatan yang masih menetap di sekitar Gumantong jaya dan Zon Sukau ini boleh merubah sikap mereka. Tukarkanlah imej kampung ini daripada pelbagai masalah termasuklah menangani gejala penagihan dadah di kalangan belia yang diketahui sebelumnya..

“ Kita mempunyai banyak pendekatan merubah sebuah kampung. Yang penting rakyat sedia berusaha dan berkerjasama. Kerajaan yang masih kuat seperti Barisan Nasional (BN) mampu memberikan apa saja khidmat sebaiknya,” katanya.

Berucap pada Majlis Berbuka Puasa kawasan Mukim Sukau yang melibatkan Kampung Gumantong Jaya, Kampung Sukau, Kampung Bilit, Terus Jaya dan PPMS Sukau, Saddi berkata, tanggungjawab yang diberikan kepadanya sebagai wakil rakyat di sini berusaha untuk meletakkan kehidupan rakyat tempatan menjadi lebih baik.

Bagaimanapun, tegas Saddi, keenganan rakyat tempatan untuk berdikari menjadikan peluang yang ada di sekitar mereka direbut oleh golongan lain.

Katanya, kehidupan sedemikian menjadikan rakyat tempatan terus ketinggalan dan tidak lagi dihormati, sedangkan tuntutan mendapatkan tanah bagi merubah ekonomi dan kehidupan keluarga mereka sebelum ini, sebahagiannya sudah ditunaikan pihak kerajaan.

“ Marilah kita pergunakan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, lebih baik daripada seribu bulan ini sebagai asas memperbetulkan sikap, aqidah serta iltizam yang tinggi untuk kita merubah masa depan sebagai masyarakat Islam yang berkualiti kehidupan dunia dan akiratnya,” katanya kepada lebih 100 orang penduduk mewakili kampung-kampung terlibat dalam program itu.

Sikap buruk seperti dendam mendendam dan caci mencaci di kalangan penduduk setempat, katanya, perlu dihentikan kerana ianya sikap keji sedemikian amat bertentangan dengan ajaran Islam dan merupakan ciri-ciri kepada kehancuran institusi masyarakat.

Sebaliknya kerjasama yang elok di kalangan masyarakat di kawasan berkenaan, tambah Saddi, bukan saja mampu menjayakan bidang ekonomi yang boleh membawa keuntungan bersama, tetapi menangani masalah sosial dan pembangunan di kawasan berkenaan.

Katanya, kerjasama yang elok itu boleh menentukan kedudukan tapak baru sebuah bangunan masjid Kampung Gumantong Jaya yang lebih sesuai, diikuti kemudahan sekolah agama dan sebagainya di sini.

“ Jalinan erat antara penduduk ini boleh juga membantu memerangi gejala najis dadah yang pernah dilaporkan di kawasan ini. Kita mahu masa depan belia dalam Dun Sukau yang bukan saja memiliki moral tinggi, tetapi berdisplin dan sihat untuk menggalas tanggungjawab sebagai kumpulan pelapis kepimpinan negara,” katanya.

Saddi menjelaskan, keperluan peruntukan bagi pembinaan bangunan ibadah dan fardu ain di kawasan Gumantong Jaya akan diserahkan kepada kerajan di bawah peruntukan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diwujudkan kerajaan pusat di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebelum ini.

Pada majlis itu Saddi seperti biasanya akan menyampaikan sumbangan Zakat Fitrah Daripada pihak Tabung Zakat Sabah, diikuti sumbangan peribadi beliau kepada golongan kurang berkemampuan.

Saddi juga menyalurkan beberapa bantuan kemudahan bekalan seperti kemudahan zink dan tikar sembahyang, injin sangkut kepada penduduk di empat kampung berkenaan yang memerlukan.

Turut serta pada majlis itu ialah Imam Daerah Kinabatangan, Haji Jalpa Sani, pendakwah, Ust. Supian Bahrin, Ust. Harun dan kakitangan UPKR Sukau diketuai PKRnya, Sharin Haji Abdul Rahman.