Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV


1. Saddi dan rombongan disambut penduduk dengan ditabur beras kuning tanda kesyukuran setibanya di Kampung Dagat, Mukim Litang kira-kira 170km daripada Kota Kinabatangan.

2. Ketua Kampung Dagat, Aji Bin Salleh berucap mengalu-alukan ketibaan Saddi dan rombongan.


SUKAU : Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman berkata, sejumlah lebih RM8 juta nilai peruntukan pembangunan dipohon kepada kerajaan ke arah menjana taraf kehidupan rakyat di luar bandar di kawasan ini.

Beliau berkata, permohonan itu melibatkan tempoh akhir pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan dan awal Rancangan Malaysia Kesepuluh dikemukakan kepada kerajaan bagi usaha membela nasib dan penderitaan rakyat di kawasan ini yang memerlukan perubahan.

“ Saya amat sedih melihat penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh rakyat khususnya di bahagian pedalaman kawasan Dun Sukau. Mereka bukan saja masih kekurangan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, tetapi sumber mata pencarian ekonomi yang amat terhad,” katanya.

Berucap pada satu majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Kampung Dagat, kawasan kampung di Hilir Sungai Segama, kira-kira 170km dari Pekan Kota Kinabatangan, Saddi berkata, masyarakat pedalaman di Mukim Litang, Sukau itu amat memerlukan pembelaan.

Saddi berkata, walaupun sebahagian dari kampung itu menghadapi kekurangan penduduk ekoran masalah infrastruktur dan ekonomi di kawasan berkenaan, tetapi keadaan itu kembali berubah jika masalah tersebut dapat ditangani.

“ Manakala sebahagian lagi penduduk masih bertahan kerana semua kawasan kampung ini adalah penempatan tradisi dan mengharapkan pembelaan pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) berkaitan tanah milik serta masa depan ekonomi mereka, “ katanya.

Saddi menegaskan, rancangan pembelaan kerajaan pusat di bawah Program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dikhususkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM5.5 bilion bagi tujuan pembangunan di kawasan Sabah dan Sarawak, sesuai membabitkan keperluan itu di Dun Sukau.

Katanya, ini kerana sebahagian dari kawasan pedalaman di sini belum lagi menikmati kemudahan bekalan elektrik, air dan sistem perhubungan jalan yang lebih baik sejak sekian lama.

“ Penduduk kampung bukan saja di lihat amat ketinggalan dan daif, tetapi pergerakan yang amat terbatas dalam mengembangkan bidang ekonomi, pendidikan dan meningkatkan taraf sosial mereka di persekitaran yang terasing ini.

“ Saya tidak boleh mengatakan setakat bersabar kepada mereka, tetapi semua pihak harus menggandakan peranan dalam menyelesaikan kemelut kemiskinan rakyat ini,” katanya dalam program itu yang turut disertai oleh rombongan UPKR Sukau diketuai Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sharin Haji Abdul Rahman.

Kampung Dagat, adalah salah satu dari empat buah kampung dalam Mukim Litang. Tiga lagi ialah Kampung Tidung, Sri Ganda dan Kamoung Litang yang didiami oleh lebih 500 penduduk. Pada pilihanraya Umum Ke 12 lepas lebih, 500 orang pengundi didaftarkan di Mukim ini yang berpusat di Kampung Litang.

Saddi mengambil masa dua hari satu malam berada di kawasan ini. Sebelum ke Dagat, beliau mengadakan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Darul Naim, Kampung Litang dan meninjau kehidupan masyarakat di Kampung Tidung yang jarak di antara satu kampung ini mengambil masa dua setengah jam perjalanan selain menelusuri anak sungai.

Kehadiran pertama Saddi ke sini zon ini sejak pilihanraya lalu menimbulkan pelbagai riaksi. Ada yang menyambut baik dan sebahagiannya tidak menduga. Namun Di Dagat rombongan ini ditabur beras kuning kerana inilah kunjungan pertama seorang Adun Sukau ke kampung terpencil itu.

Cubaan pertama Saddi ke sini sewaktu musim banjir lepas gagal kerana ketiadaan bantuan pengangkutan udara yang disediakan. Kisah itu dimaklumkannya kepada penduduk.

Saddi berkata lagi, pihak kerajaan dan agensi-agensinya, termasuk mewakili Pejabat Daerah Kinabatangan di sini harus memberikan perhatian mencukup terhadap keperluan rakyat di kawasan itu khususnya yang melibatkan bidang pertanian dan perikanan sebagai sumber utama ekonomi mereka.

Katanya, agensi berkaitan bukan saja boleh memberikan bantuan dan kemudahan kepada penduduk, tetapi mendidik mereka bagaimana mengembangkan bidang sosioekonomi, pendidikan, kebudayaan serta alam sekitar yang boleh mendatangkan keuntungan jangka panjang.

Kata Saddi, program menjana ekonomi yang mampu ditunjukkan oleh syarikat-syarikat ladang berhampiran kampung berkenaan adalah modul terbaik kepada penduduk meningkatkan taraf hidup mereka kea rah kemajuan kawasan pedalaman itu.

“ Saya merasa bangga kerana salah satu syarikat Ladang Hap Seng yang beroperasi di kawasan ini bukan saja menyediakan pekerjaan kepada penduduk dan belia kampung, tetapi menyediakan banyak kemudahan seperti pusat ibadah, pusat-pusat perkhidmatan, kemudahan sekolah dan rekriasi.

“ Ini satu contoh yang baik kepada syarikat ladang lain di negeri ini yang tidak memikirkan keuntungan operasi semata-mata,” katanya.

Beliau yang turut menasihat golongan belia supaya merebut peluang yang disediakan syarikat itu kemudian meluluskan beberapa permohonan mendesak penduduk di bawah peruntukan Adun.

Selesai.