Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV


Saddi menyampaikan bantuan peralatan masjid yang disumbangkan oleh pihak Jahiens dan Adun Sukau kepada Pengerusi JKKK Kg. Sungai Madang, Maru Surah, sambil diperhatikan Awang Sataria, Sharin dan Nasran

Yb Saddi menyampaikan peralatan pembesar suara masjid Sepinong kepada pemaju mukim, Awang Kassim

Imam Masjid Daerah, Naim Taslim membaca doa berbuka puasa bersama Saddi dan penduduk Kampung Sepinong

JKKK PERLU BIJAK MENGUBAH EKONOMI MASYARAKAT LUAR BANDAR
SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Saddi Haji Abdul Rahman berkata, kemampuan dan kebijaksanaan para pemimpin JKKK amat diperlukan ke arah perubahan dan pencapaian masa depan ekonomi sebuah masyarakat luar bandar Sukau yang lebih dinamik.

Saddi berkata, gagasan itu tidak memerlukan mana-mana pemimpin akar umbi itu yang tidak beramanah, membuang masa dan bersikap retorik kepada rakyat, bertentangan landasan perjuangan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

“ Dalam kepimpinan saya yang juga diberi amanah rakyat, saya tidak mengharapkan pemimpin JKKK atau mana-mana kakitangan di bawah jagaan saya yang mencari kesempatan, tidak produktif, gagal menangani isu-isu pembangunan atau sanggup mempergunakan rakyat.

“ Kerana semua ini akan dipulangkan kepada saya dan BN bila tiba musim pilihanraya. BN sendiri menyediakan pernilaian terhadap peranan saya di bawah Indeks Pernialaian Prestasi (KPI) dalam menentukan kemampuan saya selama diberi tanggungjawab,” katanya.

Berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Zakat kepada 84 orang penerima dalam Mukim Lubukan di Balairaya Kampung Sepinong, kawasan Persisiran Pantai Dun Sukau yang diletakkan di bawah tadbiran Majlis Perbandaran Sandakan, Saddi berkata, beliau sendiri akan terus memantau kemajuan kampung-kampung di seluruh Sukau bagi menilai sejauhmana peranan dan khidmat yang disumbangkan semua badan JKKK.

Jelas Saddi, beliau sendiri akan mendengar segala penjelasan dan rintihan rakyat tentang apa yang sudah dilakukan mana-mana pemimpin akar umbi, termasuklah menilai samada permintaan rakyat yang ditunaikan benar-benar sampai ke peringkat sasaran atau sebaliknya.

“ Syukurlah sehingga setahun lebih saya berkhidmat, tidak terlalu banyak kerenah negatif yang timbul dan dihadapi rakyat. Sebaliknya semakin ramai pemimpin JKKK yang bersemangat tinggi menjalankan khidmat dan tanggungjawab. Peranan mereka akan lebih baik jika mendapat sokongan,” katanya.

Pada dasarnya, kata Saddi, falsafah dan tanggungjawab di bawah khidmat badan-badan JKKK itu menjadi asas membangunkan negara di sini, menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), salah satu pendekatan pusat membangunkan rakyat di luar bandar Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, dengan perbelanjaan melebihi RM 5 bilion pada tempoh ditetapkan.

Menghargai peranan Naib Presiden Umno, Datuk Mohd Shafie Afdal, seorang anak jati Sabah yang menjawat menteri berkenaan, kata Saddi, di bawah NKRA, pihaknya akan menambah cadangan projek pembangunan kawasan Sukau pada fasa kedua dalam sedikit masa, berbanding lebih RM 8 juta yang sudah dikemukakan pada fasa pertama baru-baru ini.

“ Semua peruntukan tidak mengabaikan keperluan masyarakat nelayan di Zon Lubukan agar keupayaan ini menaiktaraf sosioekonomi mereka sekaligus menguntungkan negeri dan kerajaan,” katanya.

Untuk tujuan itu, kata Saddi, beliau menetapkan sehingga 15 September ini agar mana-mana pemimpin JKKK menyediakan cadangan masing-masing untuk dkemukakan kepada pusat.

Sempena bulan Ramadhan ini, kata Saddi lagi, pihak kerajaan termasuk beliau akan sedaya upaya menyediakan program bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

Sebagaimana tahun lalu, Saddi menyumbangkan beberapa bantuan bekalan termasuk ingin generator, atap-atap zink dan peralatan masjid kepada kampung-kampung nelayan di kawasan mukim itu, diikuti sumbangan wang peribadi kepada beberapa golongan yang memerlukan bantuan.

Beliau juga menyatakan terima kasih kepada Tabung Zakat Sabah kerana menyalurkan bantuan wang tunai kepada rakyat memerlukan dan berharap sumbangan itu berkurangan tahun depan kerana perubahan ekonomi lebih baik dimiliki oleh masyarakat terlibat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Islam Sabah (Jaheins), Awang Satria Haji Abdullah, Imam Masjid Daerah, Naim Taslim, Pegawai Tabung Zakat Sabah cawangan di sini, Sophian dan kakitangan UPKR Sukau diketuai PKRnya Sharin Haji Abdul Rahman.

Selesai.