Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Bangunan baru SMK Sukau antara matlamat pembangunan Sukau




SUKAU 9 JULAI - Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi haji Abdul Rahman menegaskan, tumpuannya terhadap usaha membina semula bangunan konkrit Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sukau dan sekolah rendah di kawasan ini adalah sebahagian daripada usaha pembangunan besar-besaran kawasan N.48 Sukau.

Beliau berkata, ini kerana tumpuan menjayakan sektor pendidikan dalam kawasan DUN itu adalah sebahagian daripada aspirasi beliau memajukan rakyat, khususnya menjana pembangunan modal insan kelas pertama, bermula dari golongan pelapis yang berpendidikan serta memiliki daya saing ilmu yang tinggi.

“ Harapan saya untuk melihat pembinaan semula sekolah rendah dan Menengah SMK Sukau yang pastinya lebih baik dan selesa kepada para pelajar dan guru-guru terlibat, sama sebagaimana yang memperjuangkan program-program pembangunan lain kerana kawasan ini masih jauh ketinggalan serta kekurangan untuk diperbetulkan,” katanya.


“ Namun setelah beberapa kali mengalami halangan dan kegagalan, saya kini  bergantung penuh kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Khas (Ad-Hoc) SMK Sukau yang telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini akan membuat strategi dan ketetapan bagaimana untuk mendapatkan semula projek membina sekolah ini daripada kerajaan pusat.

“ Saya juga telah bercadang membawa isu kelewatan pembinaan SMK Sukau ini kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.  Namun saya masih menanti peluang bertemu beliau,” kata Saddi.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa anjuran guru-guru SMK Sukau di Dewan Makan SMK Sukau  petang Khamis.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Sukau, Albert Bayoi, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.48 Sukau, Amirudin Mohd Damit, CDO kawasan itu, Dasran Haji Dahalan, para guru, ibu bapa dan para pelajar sekolah berkenaan.

Saddi berkata, beliau amat merasa terkilan ekoran kelewetan memulakan pembinaan bangunan kongkrit SMK Sukau,  walaupun cadangan tersebut telah dikemukakan sejak lebih 15 tahun lalu dan telahpun mendapat kelulusan Menteri Pelajaran sebelum ini.

Katanya, sungguhpun usaha mendapatkan kawasan tanah bagi tapak membina sekolah menengah itu telah mendapat kelulusan pemiliknya iaitu Korperasi Sukau Berhad, diikuti kemasukan sejumlah peruntukan bagi memulakan projek pembinaan sekolah itu ianya  telah tangguhkan atas sebab-sebab tertentu.

“ Yang menyedihkan, sejumlah pelajar SMK Sukau yang kini mencecah hampir 380 pelajar dan lebih 30 orang guru kini terus berhadapan pelbagai kerosakan dan kekurangan di bangunan sekolah tersebut.

“ Telah banyak aduan dan rungutan rakyat kawasan ini agar usaha pembinaan sekolah berkenaan disegerakan pihak kerajaan, tetapi semua ini belum dapat dimuktamadkan atas pelbagai kelemhan,” kata Saddi.

Oleh itu wakil rakyat berkenaan mengharapkan agar penubuhan jawatankuasa terlibat dapat membuat ketetapan yang padu bagi memastikan projek pembinaan bangunan baru sekolah itu dapat dicapai sebelum tahun depan.

Saddi juga menasihatkan rakyat di kawasan Sukau agar terus memberikan keyakinan dan kerjasama padu kepada beliau dan jawatankuasa terlibat bagi mencapai matlamat pembinaan bangunan sekolah itu sebagai antaara mercu tanda pembangunan di kawasan Sukau.

Albert ketika menyampaikan ucapannya amat memuji Saddi kerana menghargai undangan sekolah berkenaan menghadiri Majlis Berbuka Puasa itu yang julung-julung kali diadakan sejak keujudan sekolah menengah tersebut.

Beliau juga berkata, pihaknya dari kalangan guru-guru dan murid serta ibu bapa akan memperkasakan usaha bagi mengulangi kejayaan SMK Sukau dalam meraih pencapaian keputusan PMR dan SPM sebagaimana yang diperolehi pada tahun 2010 dan 2011 lalu.


“ Yang penting, semua pihak memberikan sokongan dan kerjasama kepada kami dan sudah tentulah sokongan dan keyakinan ditunjukkan oleh Datuk Saddi haji Abdul Rahman meningkatkan lagi iltizam menjayakan pembangunan pendidikan di kawasan ini,” kata Albert.