Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Saddi gesa supaya pemimpin setempat supaya peka permasalahan penduduk



SUKAU 30 JUN - Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman meminta semua kakitangan di bawah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) kawasan ini agar segera  mengenalpasti projek-projek pembangunan  di kawasan itu dan melaporkan mana-mana  kemudahan yang gagal memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau menegaskan, semua kakitangan termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu membuat pemantauan terhadap penyediaan pembangunan seperti rumah ibadat, dewan serbaguna, jalan kampung, kemudahan bekalan air dan elektrik bagi mempastikannya masih boleh dinikmati dengan baik.

“ Saya ada menerima beberapa aduan tentang beberapa kekurangan serta kerosakan projek pembangunan ini yang dialami di kampung-kampung. Malah ada diantaranya belum dapat dinikmati rakyat atas sebab yang tidak diketahui.

“ Maka saya meminta para pemimpin akar umbi untuk turun padang dan menyiasat dan membuat laporan lengkap untuk saya mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Saddi menyatakan demikian pada majlis berbuka puasa dengan kakitangan UPPM di kawasan Persisiran Pantai di sini di Restoran Golf Range Airport Sandakan di sini kelmarin.

Turut serta pada majlis berbuka itu ialah Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Dasran Haji Dahalan dan Ketua Anak Negeri  (KAN) Kinabatangan, Awang Ahmad  Haji Ongkang.

Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah berkata, kemudahan asas rakyat  yang tidak memberi manfaat kepada rakyat perlu diatasi  segera  untuk membolehkan  masyarakat setempat berpuas hati dengan kemudahan pembangunan disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Maka bagi mana-mana keperluan itu yang belum boleh dinikmati atas sebab-sebab teknikal dan sebagainya, kata Saddi, ianya perlu dilaporkan segera kepada kakitangan agensi-agensi kerajaan terbabit demi menyelesaikannya dalam tempoh segera.

“ Negara sedang dalam era menghadapi pembangunan negara maju di tahun 2020,  maka para pemimpin setempat dan rakyat perlu berkerjasama bagi mempastikan mereka mendapat segala manfaat pembangunan bagi memasuki era berkenaan,” katanya.

Saddi juga mengingatkan kakitangan Unit PPM kawasan ini supaya menjadikan bulan beribadah pada Ramadhan ini sebagai landasan meningkatkan lagi kerjasama dan perkhidmatan mereka untuk  rakyat, serta mengelakkan dari sebarang persengketaan yang hanya mendatangkan kerugian bersama.

“ Dengan sikap meningkatkan kegigihan melaksanakan peranan dan tanggungjawab ianya bukan saja akan dapat membantu kepentingan rakyat dan kerajaan, tetapi pastinya mendapat ganjaran yang tinggi daripada Allah SWT kerana iltizam dan keikhlasan sedemikian.


“ Ellakkan diri dari sebarang sengketa kerana ianya akan memberikan imej buruk bukan saja kepada jabatan ini tetapi pihak kerajaan BN yang sentiasa ikhlas dan komited memberikan pembelaan kepada seluruh rakyat di negara ini,” kata Saddi.