Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Jangan bermain sandiwara jatuhkan PM - Saddi





SUKAU 10 JULAI - Golongan tertentu termasuk mewakili kawasan ini perlu berhenti dari ‘bermain sandiwara’ dalam kempen menyebarkan fitnah dan kecaman untuk menjatuhkan  Perdana Menteri,  Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, perbuatan menjadi dalang  umpama ‘duri dalam daging’ itu tidak wajar wujud di dalam kepimpinan sebuah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO, bangsa melayu dan bumiputera Islam.

“ Malangnya hari ini ada orang melayu dan orang Islam sanggup menjadi pengkhianat  ‘mengiyakan’ serta turut berkongsi menyebarkan fitnah memburuk-buruk Datuk Seri Najib melalui lamansosial media seperti WhatsApp, facebook, twitter dan sagar menjatuhkan beliau di sebalik tuduhan mula dilemparkan pembangkang sebelum ini.

“ Tujuan mereka ini mudah. Mereka sedia berkongsi dan mengapi-apikan kebencian kepada Perdana Menteri agar akhirnya pemimpin itu melepaskan jawatan. Kemudian ia boleh ditukarkan oleh pemimpin pilihan (mereka) bagi membolehkan mereka lebih berkuasa di negara ini,” katanya.

Berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampian Bantuan dan Zakat kepada lebih 600 orang asnaf dalam Dun Sukau anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kinabatangan, Koperasi Pembangunan Desa Sabah (KPD) di perkarangan Masjid Daerah Kinabatangan di sini pada Jumaat, Saddi menegaskan, ajaran Islam amat melarang perbuatan memfitnah apatah lagi di kalangan sesama umat.

Sambil merujuk salah satu firman Allah dalam yang terkandung dalam Al Quran, Saddi berkata, Allah melarang dan memberikan hukuman berat ke atas perbuatan fitnah,  kerana kesannya bukan saja lebih kejam daripada membunuh, tetapi mampu memporakporandakan kedaulaatan sebuah negara Islam yang aman seperti Malaysia.

“ Malah dalam Al-Quran turut mewajibkan seluruh hambanya untuk mematuhi pemimpin sesebuah negara,  yang tujuannya antara lain membolehkan rakyat untuk hidup tenteram dan sejahtera, memiliki sifat-sifat mulia untuk sentiasa dapat mengerjakan ibadah serta kebaikan ke jalan diredhaiNya,” kata Saddi yang juga Pengerusi KPD.

Menegaskan kepimpinan Datuk Seri Najib kini masih sebagai ‘relevan’ apalagi dengan membuktikan pelbagai perubahan sosioekonomi rakyat dan pentadbiran negara yang lebih berkesan, Saddi berkata, negara mempunyai peraturan lengkap untuk membolehkan rakyat memilih pemimpin secara adil dan demokratik.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Kinabatangan, Encik Yasin Nasir, ASP Hasim Justine, Timbalan Pengarah Bahagian Risikan Esscom, ASP Marcos Lawrence yang mewakili Ketua Polis Daerah Kinabatangan para pemimpin memakili Mahkamah Anak Negeri Daerah Kinabatangan dan UPMM Dun Sukau. 

“ Tetapi kita sendiri perlu berfikir secara resional di sebalik fitnah-fitnah dan kecaman yang dibuat ke atas Perdana Menteri. Antaranya beliau dikatakan telah menggunakan akaun bank peribadinya menerima ganjaran dari pelbagai pihak tertentu termasuk melibatkan isu penyelewengan One Malaysia Development Berhad (IMDB) yang hangat diperkatakan.

“ Kalau ada pemimpin yang sebodoh demikian saya ingat bukan dalam negara ini..... sudah tentu kita tidak akan merasa perubahan-perubahan kemajuan Malaysia termasuk yang telah kita nikmati di Sabah hari ini,” kata Saddi.

Saddi turut berkata beliau amat memberikan sokongan padu kepada pendidiran Datuk Seri Najib yang membuat keputusan menggunakan khidmat para peguamnya untuk menyaman Akhbar Wall Street Journal (WSJ), sebagai salah satu pihak terlibat memfitnah beliau menggunakan akaun bank peribadi menerima wang sogokan dari pihak tertentu.

“ Kita wajib menyokong Datuk Seri Najib. Dia pemimpin kita. Ini maruah negara kita. Beliau sedang berhempas pulas mempertahankan maruah negara ini hanya sebab niat buruk dan kerakusan pihak tidak bertanggungjawab,” kata Saddi.

Sambil menegaskan sebahagian besar pemimpin dan rakyat negara ini masih menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib, rakyat kawasan ini tidak perlu ‘terdesak’ untuk terikut-ikut berkongsi menyebarkan fitnah memburuk-burukkan pemimpin itu seperti yang rancak dimainkan melalui media sosial.

Apa yang wajar dilakukan mereka khususnya yang beragama Islam, kata Saddi, memberikan tumpuan kepada perjalanan ibadah mereka sepanjang bukan Ramadhan yang penuh dengan borakah dan keampunan ini, seterusnya meningkatkan sokongan kepada pihak kerajaan yang terus berusaha memberikan kebaikan kepada kehidupan mereka.


“ Janganlah kita terikut-ikut menjadi tukang sorak yang akhirnya kawasan kita dan rakyat di kawasan ini tidak mendapat apa-apa kebaikan darinya, sebaliknya kita akan bakal mendapat hukuman daripada Allah Swt,” kata Saddi.