Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Ponteng akibat jarak sekolah yang jauh pemangkin kepada gejala pelajar terlibat dadah

Saddi menyampaikan ucapan pada majlis tersebut

Antara penduduk sekitar kawasan Kg Paris yang hadir
 
Saddi pukul Gong tanda simbolik lancarkan Hari Ibu Bapa SK Paris
 
Mohd Nizam menyampaikan cenderahati kepada Saddi sambil diperhatikan Husin Lahaya
 
 
Datuk Saddi Haji Abdul Rahman hari ini mendedahkan, kegagalan menunaikan pembinaan sebuah bangunan sekolah menengah baru SMK Paris di sini sejak empat tahun lalu mengheret kepada isu  ‘pelajar ponteng’ yang serius, menyebabkan ada darinya  menjadi penagih dan pengedar najis dadah.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau itu berkata, beliau telah mendapat laporan daripada beberapa orang pemimpin JKKK di kawasan berhampiran, ada dari kalangan pelajar itu sudah tidak lagi berminat bersekolah kerana  ‘seronok’ menjalan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di kawasan sekitar pekan kecil Paris 3.
 
“ Mula-mula dulu saya diberitahu ibu bapa, bahawa mereka sukar menghantar anak-anak ke sekolah di kawasan pekan ini kerana sewa bulanan bas sekolah daripada beberapa  kampong seperti Perpaduan, Batu Putih dan Paris 1 lebih RM 100 sebulan.
 
“ Tetapi yang terbaru, sudah ramai pelajar ini  berhenti sekolah. Adakalanya hanya setakat tingkatan Dua dan Tiga kerana masalah yang ditanggung. “Kini saya mendapat berita yang menyedihkan bahawa masa depan anak bangsa kita bukan saja tercicir, tetapi mula dirosakkan gejala terkutuk musuh negara ini,” katanya.
 
Berucap merasmikan Hari Ibu Bapa SK Kampung Paris di perkarangan sekolah itu pada Rabu, Saddi mendesakkan pihak kerajaan segera mendirikan bangunan baru SMK Paris ditapak yang sudah dicadangkan di kawasan Kampung Paris 1.

Kata Saddi, dengan membina sekolah menengah berkenaan dengan mampu memuatkan lebih 1,000 pelajar serta prasarana pendidikan lengkap, isu jarak jauh dan ponteng sekolah bukan saja dapat dikurangkan dari kalangan keluarga pelajar berpendapatan rendah

“ Tetapi memiliki persekitaran pembalajaran yang lebih baik dan mampu  mengelakkan kehadiran golongan remaja bermasalah seperti yang dihadapi di persekolah Pekan Paris 3,” kata Saddi.

Kata wakil rakyat itu, tapak sekolah baru yang sudah dikemukakan kepada kerajaan itu berada di tengah-tengah antara kampong Paris 3 dan Kampung Perpaduan dan Batu Putih yang pastinya mengurangkan kos pengangkutan kalangan  pelajar yang terjejas.

Dalam pada itu, Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) itu turut menyarankan pihak berkuasa keselamatan memberikan tumpuan kepada gejala penagihan dan pengedaran dadah di Kampung Paris 3.

Katanya, pihak polis, Agensi Dadah Kebangsaan (ADK), Rela dan sebagainya perlu terus membuat gerakan  membentras najis dadah  yang turut membimbangkan masyarakat peniaga di pekan kecil itu.

Saddi juga meminta Jabatan Pelajaran Daerah Kinabatangan supaya menyiasat dengan rapi  keseriusan isu ponteng sekolah di kalangan pelajar sekolah menengah berkenaan untuk tujuan menanganinya.

Saddi percaya, najis dadah di kawasan berkenaan dibawa masuk ke kawasan berkenaan daripada Bandar Lahad Datu atau kampung-kampung yang didiami oleh rakyat asing tanpa izin di luar Kampung Paris 3.

“ Saya juga mahu ibu bapa dan golongan belia di kawasan ini  berkerjasama membantu pihak kerajaan memerangi isu ponteng sekolah dan gejalah najis dadah ini. “ Kita perlu berusaha gigih berhadap musuh negara ini. Memiliki belia yang dirosakkan dadah umpama berhadapan dengan soal keruntuhan moral yang amat menyedihkan,” kata Saddi.

Lebih 1,000 penduduk sekitar termasuk ibu bapa, para pelajar dan belia di kampong tersebut menghadiri sambutan tersebut yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Husin Lahaya dan guru besar sekolah itu, Mohd Nizam.

Saddi dalam pada itu, mahu ibu bapa memberikan sokongan padu terhadap usaha pembelajaran yang dilakukan sekolah tersebut.

“Yang lebih penting, jika ibu bapa sedia memberikan dorongan dan galakan kepada anak-anak untuk terus mematuhi sistem pembelajaran yang disediakan, sekaligus mampu meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dan guru-gurunya setiap tahun,” katanya.