Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Penduduk persisir pantai diajak berkerjasama dengan BN untuk memajukan kawasan mereka

 
 
 
Rakyat di kawasan persisiran pantai di sini diajak agar  mempertingkatkan  iltizam dan kerjasama untuk bersama-sama Barisan Nasional (BN) merubah pembangunan kawasan setempat ke arah mencapai kemajuan bersama.
Ahli Dewan Undangan negeri kawasan itu, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, tanggungjawab serta peranan merealisasikan perubahan sesuatu kawasan itu banyak bergantung kepada kesungguhan penduduk setempat dan berkerjasama dengan pihak kerajaan.
“Sebagai pemimpin dan wakil rakyat,  kami boleh memberikan apa juga khidmat dan sokongan kepada seluruh rakyat. Tetapi dengan kegigihan rakyat untuk mahu mencapai perubahan lebih cepat, kesungguhan itu akan menjadi pemangkin mencapai kemajuan sebagaimana dikehendaki kerajaan,” katanya.
Berucap merasmikan Program Kenegaraan Anjuran Yayasan Sabah di Kampung Tanjung Aru di sini, Saddi yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) menegaskan, kesungguhan serta kerjasama di kalangan penduduk di persisiran pantai itu sudah menjadi satu asset penting ke arah kemajuan kawasan itu.

Sambil mengambil contoh kejayaan pasukan pendayung perahu Tanjung Aru yang menjuarai perlumbaan perahu naga  terbuka peringkat negeri di Sandakan baru-baru ini, Saddi berkata, kemampuan sedemikian bukti kayu ukur yang jelas  kepada kemajuan penduduk di kawasan itu dalam apa juga bidang.

“Tidak bermakna apabila kita kurang mendapat perhatian pihak kerajaan atas sebab-sebab tertentu, masyarakat nelayan di sini  menjadi lemah dan menghadapi kesukaran untuk dimajukan.
“Apa yang penting, pemimpin akar umbi seperti badan JKKK di kawasan ini harus terus proaktif samada  mengenalpasti pelbagai kelemahan serta pendekatan yang boleh dilakukan bersama dalam menyelesaikan masalah memajukan penduduk dari masa ke semasa,” katanya.
 Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Timur Utara, Hajah Hajah Rosinah Haji Muin dan kakitangan kanan agensi itu di Sandakan. Saddi menambah, bidang perikanan masih mampu memberikan pulangan yang lumayan  kepada para pengusahanya di kawasan ini jika sektor itu diberikan tumpuan secukupnya.
Katanya, peningkatan pembangunan seperti kemudahan bekalan air dan api letrik yang bakal berjaya disalurkan kerajaan sepenuhnya di kawasan Tanjung Aru itu boleh memberikan impak ekonomi yang berlipatganda kepada industry itu.
“Teruskan usaha, sementara kerajaan terus mencari jalan untuk menjayakan khidmat pembangunan kepada rakyat di kawasan ini,” katanya.
Saddi menyatakan rasa bangganya kerana agensi seperti Yayasan Sabah sentiasa menyediakan pelbagai pendekatan kepada rakyat termasuk di luar bandar dalam  memberikan motivasi  dan kesedaran kepada mereka untuk mencapai kemajuan serta memiliki modal insan cemerlang.
Wakil rakyat itu menyarankan agar program sedemikian dilakukan di kawasan-kawasan terpencil di dalam Dun Sukau  demi memberikan peransang kepada penduduk kawasan itu membangunkan diri.
 
11 Okt 2012