Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Contohilah Sawit Kinabalu dalam penanaman pokok liar - Datuk Saddi Abdul Rahman








Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menasihatkan  sebuah kumpulan tertentu supaya segera menghentikan niat mereka untuk terus menuntut sebuah kawasan tanah seluas lebih 6 ribu hektar di kawasan Sungai Pin yang terbukti dimiliki telah Syarikat Borneo Samudera Sdn Bhd,  sebagai milik mereka.

Katanya, kawasan tanah seluas 15,312.80 ekar itu telah dibangunkan sejak bulan Mei 1999, memiliki geran jenis CL 0955337385  adalah tanah  sah dimiliki anak syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu itu yang sebahagiannya dibangunkan untuk  tujuan perladangan kelapa sawit dan sebahagian kecil lagi bagi aktiviti pemuliharaan hutan.

Malangnya ada pihak sejak bertahun-tahun lalu sudah menuntut sebahagian  kawasan ini sebagai tanah milik mereka dan dapat mengeksploitasinya untuk tujuan peribadi termasuk menyewa dan menjualnya kepada individu tertentu.

“Sebahagian dari penyewa dan pembeli tanah tersebut dipercayai datang dari luar kawasan ini seperti Daerah Tawau dan Lahad Datu. Ada juga laporan mengatakan mereka dari kalangan rakyat asing yang tidak diketahui  dokumen kehadiran mereka memasuki negara ini,” katanya.

Saddi berkata demikian ketika melakukan Perasmian Program Penanaman Pokok Liar di kawasan Sepanjang Sungai Pin, Kinabatangan anjuran Kumpulan Sawit Kinabalu di perkarangan pejabat Ladang kumpulan itu di Sungai Pin di sini pada Isnin.

Saddi yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) melahirkan rasa kesalnya kerana keenganan pihak tertentu mengiktiraf tanah berkenaan,  menyebabkan terbinanya sebuah bangunan sekolah rendah milik kerajaan di kawasan tersebut baru-baru ini.

Kata Saddi, bangunan sekolah  rendah itu yang  sengaja dilakukan pemimpin kumpulan tersebut bertujuan untuk mengabui mata rakyat sebagai menunjukkan bahawa tanah tersebut adalah milik mereka dan tidak mendapat tentangan daripada mana-mana pihak.

“Rakyat khususnya di kawasan sekitar Sungai Pin ini perlu mendapat kefahaman yang jelas berhubung kedudukan tanah ini. Jangan percayakan sebelah pihak saja tanpa usul periksa. Kerana jika sudah terbina sebuah sekolah kerajaan di atas tanah kawasan haram ini ianya sudah menjadi  sebuah sekolah haram,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Lembaga Sawit Kinabalu, Datuk K.Y. Mustapha dan Para pegawai mewakili Pertubuhan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) bagi Negeri Sabah serta para pemimpin masyarakat di kawasan itu.

Jabatan Pelajaran Sabah khususnya, kata Saddi, harus awal-awal lagi melakukan siasatan terperinci terhadap cadangan pembinaan sekolah rendah tersebut daripada Pejabat Daerah Kinabatangan bagi mengelakkannya memberi kerugian kepada rakyat.

Mensifatkan apa sudah yang berlaku di kawasan itu amat memalukan jabatan pelajaran negeri sendiri, Saddi mencadangkan supaya operasi sekolah rendah tersebut ditangguhkan  serta merta bagi mengelakkan pelbagai insiden yang tidak diingin termasuk soal keselamatan para pelajar dan guru-guru di sekolah itu.

Dalam satu sidang media yang dibuat di majlis itu kemudian, Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Haji Othman Walad mendedahkan bahawa Mahkamah Tinggi Sandakan sudahpun mengeluarkan perintah injungsi kepada kumpulan itu agar sebarang aktiviti di kawasan tanah milik syarikat kerajaan termasuk operasi sekolah itu dihentikan sementara menunggu keputusan mahkamah.

Saddi yang turut serta dalam sidang media itu menggesa kumpulan yang terlibat itu supaya akur dengan keputusan mahkamah demi memudahkan syarikat kerajaan itu melaksanakan operasinya untuk faedah kerajaan negeri.

Sebelum itu, Saddi dalam ucapannya menggesa syarikat-syarikat swasta yang lain supaya mencontohi aktiviti penamanan pokok liar yang dilakukan syarikat kerajaan negeri itu demi masa depan generasi akan datang.

Sementara itu, Haji Othman dalam ucapannya, menggesa masyarakat setempat supaya turut menyokong langkah yang dilakukan pihaknya untuk tujuan mengekalkan khazanah hutan di negeri ini.

“Jangan nanti kita jadi seperti yang berlaku di negara eropah kerana hari ini mereka sudah tidak memiliki kawasan hutan sebagaimana di negara kita yang sudah tentu memberikan faedah kepada generasi akan datang,” katanya.