Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Sambutan Hari Keluarga RELA Peringkat Mukim Paris Dan Batu Putih, Kinabatangan

Saddi Disambut anggota Rela sambil diiringi oleh pegawai Rela Negeri dan Kinabatangan
Saddi menyampaikan Ucapan perasmian 
Saddi menerima Cenderahati daripada MD Najib sambil diperhatikan Ardin dan Lt Kol Amir
Antara penduduk yang hadir pada majlis berkenaan




SUKAU: Setiap anggota dan pemimpin Relawan rakyat Malaysia (Rela) di Negara ini wajar memperhebatkan usaha mendukung lonjakan mentransformasikan peranan menjaga kententeraman awam serta perpaduan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata,  sasaran kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan kadar jenayah serta meningkatkan perpaduan dapat dicapai dalam tempoh singkat dengan keupayaan menguasai gagasan itu.

“ Saya berpendapat jumlah keanggotaan Rela lebih 3 juta orang  dalam negara,membabitkan 400 ribu orang anggota di negeri ini dan 9,000 orang darinya dalam kawasan Kinabatangan berupaya membantu matlamat itu.“ Yang penting setiap anggota Rela sentiasa menjiwai tugas dan peranan masing-masing, iaitu sentiasa bersikap sukarela bagi melindungi hak, keselamatan dan kepentingan rakyat di mana juga mereka berada,” katanya.

Berucap ketika merasmikan Hari Keluarga Rela Mukim Paris dan Batu Putih di Pentas Terbuka Kampung Paris 1 petang Sabtu di sini, Saddi yang juga Pengerusi Korporasi Pembangunan Sabah menegaskan, proses pembangunan ekonomi rakyat berjalan dengan lebih lancer apabila segala hak dan kepentingan mereka dapat dilindungi.


Katanya, gagasan mencapai kemajuan itu seiring dengan harapannya dalam membangunkan rakyat di kawasan ini, terutama membangunkan Pekan Baru Sukau, misi mengabungkan pembangunan ekonomi dan menstrukturkan pentadbiran rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Sukau.

“ Harapan kita untuk menjadikan sebuah kampung di kawasan pecan baru ini menjadi sebuah bandar bio diversity yang merangkumi keperluan. Ia diikuti dengan kemajuan pesat yang turut dinikmati kampung-kampung di sekitarnya,” katanya. Tegas Saddi harapan itu boleh turut didokong oleh seluruh rakyat, apa lagi ahli-ahli Rela, sebuah badan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sudah memiliki keanggotaan dan beberapa agensi penting di bawahnya di kawasan ini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Saddi, akan mendapat kekuatan lebih besar dalam pilihanraya Umum  (PRU) Ke 13 ini dengan ikrar ahli-ahli Rela untuk memberikan sokongan kepada kerajaan dan siapa juga calon BN yang diletakkan di kawasan itu.

Kerana itu, kata Saddi, beliau sedia memberikan sokongan padu kepada badan itu termasuk membina sebuah pejabat perhubungannya di kawasan berkenaan, diikuti beberapa keperluan lain yang perlu dipertimbangkan.

“ Saya sedar kedudukan Rela yang hanya mendapat bantuan terhad daripada pihak kementerian, apalagi kedudukannya di mukim-mukim.  Tetapi kerana kesungguhan dan sumbangan sudah sekian lama ditunjukkan Rela di Dun Sukau dan Kinabatangan, saya tidak ada halangan memberikan sebarang kerjasama dan sokongan,” kata Saddi.

Saddi turut memuji aktiviti penganjuran Hari Keluarga Rela mukim berkenaan sebagai salah satu aktiviti merapatkan perpaduan di antara anggota dan masyarakat setempat. Beliau mengharapkan agar program berkenaan dianjurkan setiap tahun demi mencapai matlamat itu.

Kira-kira 200 orang ahli Rela mukim berkenaan hadir dalam program tersebut.Ianya turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Rela Negeri,  Kolonel MD. Najib Bin Gutak yang mewakili Pengarahnya, Lt. Kol Amir bin Tjahri selaku Pegawai Rela Daerah Kinabatangan, Lt. Kol. Mohammad Bin Muslim dan Pengerusi Penganjurnya, Lt. Ardin Suradi yang juga Ketua Platon Rela mukim berkenaan. MD. Najib ketika menyampaikan ucapan pengarah Rela Negeri amat menghargai segala sumbangan serta kerjasama dizahirkan Saddi serta rakyat kawasan ini kepada badan itu sejak menjadi Adun kawasan ini.

Dalam pada itu Ardin yang juga selaku Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) kawasan itu meletakkan sokongan padu kepada kepimpinan Saddi sebagai wakil rakyat dan percaya kerjasama seluruh ahli Rela di kawasan ini menjayakan usaha keras beliau membangunkan rakyat. “ Saya amat yakin dengan semangat kerja keras beliau. Kalau kepimpinan sedemikian dikekalkan,  rakyat dan kawasan ini akan maju dengan cepat,” katanya.