Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Kerajaan negeri perlu fikirkan usaha strukturkan semula Sukau


SUKAU: Kerajaan negeri perlu memikirkan usaha bagi menstrukturkan semula Sukau agar perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan yang ada di pekan bakal dikenali sebagai ‘Bandar Bio Diversiti’ itu akan dapat diselaraskan dengan lebih baik dan efisien.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, berkata sudah tiba masanya pekan ini mentadbir daerahnya sendiri sebagaimana perancangan dalam kerangka pembangunan Pekan Baru Sukau yang akan bergerak seiring dengan gagasan menuju sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Beliau yakin dan percaya usaha mewujudkan sebuah kawasan pertumbuhan ekonomi rakyat yang sekali gus menjadi pusat pentadbiran kerajaan di dalam pekan baru ini akan menjadi kenyataan asalkan pihak kerajaan mengambil perhatian terhadap kerangka pembangunan sedia ada.

Ini kerana, katanya, pentadbiran pejabat-pejabat kerajaan di kawasan Sukau terbahagi kepada dua yang mana satu darinya merupakan kawasan sepanjang tanah daratan Sukau ditadbir di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kinabatangan.

“Manakala di pesisiran pantai pula terdapat sebanyak 16 perkampungan yang ditadbir di bawah Majlis Perbandaran Sandakan (MPS). Sistem pentadbiran daerah yang tidak tersusun ini menjadikan soal ekonomi dan pembangunan rakyat di kedua-dua kawasan tersebut tidak dapat diselaraskan dengan baik dan efisien.
“Malahan, selain kesukaran berurusan soal-soal pembangunan asas dan mendapat perhatian serta bantuan pihak kerajaan dan banyak lagi keperluan, rakyat di kawasan pesisiran pantai ini terus tersisih dari penyediaan pelbagai program pembangunan sekian lama.

“Manakan tidak, pihak berkaitan yang mentadbir kawasan pesisiran pantai ini jarang sekali menjenguk dan mengambil berat keperluan penduduk setempat. Oleh sebab itu, saya merayu kepada pihak kerajaan supaya penstrukturan Pekan Baru Sukau ini dapat diambil perhatian sewajarnya.

“Boleh kita sifatkan satu DUN, dua daerah yang mentadbir,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas Majlis Upacara Pecah Tanah Masjid Tun Juhar diatas tapak seluas dua ekar di Pekan Baru Sukau di sini, kelmarin.


Model Masjid Tun Juhar Pekan Baru Sukau

Upacara pecah telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar Mahiruddin yang turut dihadiri bersama isterinya Toh Puan Hajah Norlidah Datuk R.M Jasni; Presiden MPS, Datuk Ir. James Wong dan Pegawai Daerah Kinabatangan, Arisin Aripin serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Saddi berharap projek-projek yang termaktub dalam kerangka pembangunan sedia ada dimasukkan dalam peruntukan ‘Rolling Plan’ yang akan datang, khususnya cadangan membina jambatan kedua melalui kampung Sukau dapat dilaksanakan.

Katanya, kesungguhan kerajaan dalam merubah corak pembangunan kampung untuk menjadi sebuah bandar di kawasan ini akan meningkatkan lagi keyakinan dan sokongan rakyat kepada kerajaan yang memerintah hari ini.

 Sumber New Sabah Times, 18th Jan 2012