Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Program Di Kampung Lanut, Suan Lamba.

Saddi menerima cenderahati daripada Saadon selepas merasmikan program.
saddi menyalurkan bantuan pertanian kepada salah seorang guru dibawah program kg angkat jabatan pertanian daerah Kinabatangan.

Saddi melakukan sepakan simbolik merasmikan Kejohanan Bolasepak Sembilan Sebelah anjuran JKKK Lanut, Suan Lamba.


SUKAU:

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berikrar untuk menghidupkan semula suasana sosioekonomi dan pembangunan di dalam Kampung Suan Lamba Lanut di sini sebagaimana yang dituntut oleh para penduduk kampung itu.
Beliau berkata, aspek membabitkan penyaluran serta pembaikan prasarana asas kampung, menyalurkan program-program ekonomi setempat secara sepadu dan aktiviti-aktiviti bagi menjayakan keceriaan kampung termasuk kegiatan kesukanan akan disokong perlaksanaannya di sini ke arah mencapai wawasan itu.

“ Saya sedia bantu penduduk kampung ini, termasuklah membawa mereka yang telah meninggalkan kampung Lanut ini sekian lama agar kembali meneruskan kehidupan di sini.
“ Saya juga meminta penduduk bersihkanlah kawasan yang semak samun agar kampung yang bersejarah dan telah melahirkan ramai tokoh politik ini terus dipelihara. Saya salah seorang daripada pemimpin kecil yang diwarisi para pemimpin lama ini amat menyokong usaha menghidupkan semula nostalgia kampung ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program kejohanan sukan sembilan sebelah anjuran JKKK Kampung ini di Padang Suan Lamba Lanut di sini pada Jumaat.

Saddi berkata, kesediaan Pejabat Jabatan Pertanian Daerah menjadikan Kampung Lanut Suan Lamba sebagai salah satu daripada tiga kampung angkat jabatan itu, merupakan langkah awal yang positif ke arah gagasan itu.
Beliau yang menyatakan rasa gembira dengan langkah jabatan itu berkata, kampung ini akan dapat dimajukan dalam pelbagai program pertanian bagi meningkatkan ekonomi penduduk.
Antara yang disalurkan jabatan berkenaan dalam program kampung angkat jabatan itu ialah sejumlah besar benih buah-buahan yang berkualiti dihasilkan jabatan tersebut, diikuti alat-alat pertanian untuk kemudahan penduduk terlibat.

“ Saya mahu supaya program pertanian serta kegiatan sukan di kampung ini berterusan. Jadikanlah segala program pengisian kampung yang dirancang berjalan dengan baik dan mampu meningkatkan perpaduan serta nostalgia kepimpinan di kampung ini,” katanya yang menambah gelaran masyarakat luar bahawa kampung Suan Lamba Lanut, sebagai ‘kampung mati’ perlu diketepikan dan dihidupkan semula di bawah matlamat baru itu.

Untuk rekod, kampung Suan Lamba yang boleh dihubungi kurang sejam melalui jalan laut dan lebih sejam menggunakan jalan darat dari bandar Sandakan, merupakan bekas kawasan kediaman, Datuk Pangiran Haji Galpam Pangiran Indar, salah seorang pejuang Usno dan pengasas kemerdekaan Sabah yang kerap dikunjungi oleh ramai pemimpin negeri termasuk Presiden Usno dan Ketua Menteri ketika itu, Tun Datu Mustapha Datu Harun.
Datuk Saddi berkata, dengan adanya perpaduan erat seluruh penduduk di kawasan ini, kedudukan kampung itu sebagai salah satu warisan sejarah kepimpinan masyarakat Orang Sungai di Kinabatangan akan terpelihara dan terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau juga menyarankan penduduk supaya terus memberikan sokongan kepada Pengerusi JKKK Kampung Suan Lamba yang baru dilantik, Saadon Haji Labit yang dipertanggungjabkan memajukan kawasan itu bersama-sama Ketua Kampungnya, Ahmaddin serta gabungan JKKK dalam kawasan Mukim Suan Lamba.
Saddon dalam ucapannya menyatakan terima kasih di atas perlantikan Saddi ke jawatan itu.

Selesai.