Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Jawatankuasa masjid dan surau perlu bersikap pro-aktif dan berinovasi dalam tugasan

Saddi menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi JKKK Kampung Sri Takala, Rasid Rajak bagi tujuan program pembangunan Masjid Sri Takala di pejabat beliau di Bandar Labuk, Sandakan pada Selasa.


SUKAU 27 OKTOBER : Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menggesa pemimpin jawatankuasa masjid dan surau di seluruh Sukau supaya sentiasa mempastikan agar semua kemudahan ibadah bagi umat Islam itu terus aktif melaksanakan tanggungjawab asalnya.

Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah itu menegaskan, masjid dan surau bukan hanya berfungsi sebagai pusat menjalankan solat difardhukan tetapi berperanan dalam mengembangkan pendidikan syiar Islam berasaskan fardhu ain dan fardhu Kifayah.

“ Semua jawatankuasa masjid dan Surau perlu bersikap proaktif dan berinovatif dalam menjalankan fungsi-fungsi masing-masing agar kedudukan masjid di kampung-kampung di Sukau tidak terus berada dalam keadaan suram dan kosong,” katanya.
Menyatakan perkara ketika menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi JKKK Kampung Sri Takala, Rasid bin Rajak bagi program pembangunan masjid kampung berkenaan di pejabatnya di Bandar Labuk di sini, Saddi berkata, strategi dan keupayaan pimpinan jawatankuasa masjid akan menantukan kemajuan dan pembangunan gerakan masjid dan surau di kawasan ini.

Kata Saddi, Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung di sini juga perlu memberikan sumbangan berkesan bagi mempastikan badan-badan jawatankuasa masjid dan surau mampu melakukan peranan dan perubahan bagi meletakkan aktiviti pembangunan dakwah di kawasan masing-masing berfungsi dengan berkesan.

“ Saya terus mengharapkan jika para pemimpin di peringkat kampung dan jawatankuasa masjid terus bergabung tenaga untuk menjadikan bidang agama dan dakwah salah satu aktiviti penting demi memperkasakan tadbiah dan pendidikan Islam penduduk. 

“ Dalam keadaan dunia yang terus mencabar ini, sudah tentu golongan belia dan remaja perlu terus mendapat keutamaan samada sebagai sasaran tarbiah, atau mereka dilatih sebagai pemimpin masa depan berasaskan kepimpinan Islam,” kata Saddi.

Saddi berkata pihaknya akan sedia mendengar dan mempertimbangkan sebarang cadangan mewakili pusat-pusat ibadah itu untuk menjayakan program keagamaan dan dakwah kalangan kumpulan sasaran demi memberikan kebaikan masyarakat Islam setempat.