Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Lapor Polis sekiranya tertipu - Saddi





SUKAU 20 OKTOBER :   Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menyarankan pengusaha pertanian secara haram di kampung Usuk Subak di sini supaya segera melaporkan kepada pihak polis jika meraka merasakan tertipu ekoran aktiviti penjualan  tanah secara haram di kawasan tanah milik kerajaan itu.

Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah itu menegaskan, mereka yang merasakan tertipu wajar mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang bertanggungjawab sebagai pengajaran kepada mereka yang cuba mengaut keuntungan daripada kesusahan yang sedang dialami rakyat yang telah diberi kelayakan  mendiami kawasan tersebut.

“ Sekiranya mendapati nama mereka tidak tersenarai sebagai pemohon di Jabatan Tanah dan Ukur Daerah, mereka yang merasa teraniaya ini boleh terus membuat laporan polis sebagai usaha mengheret mereka yang tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan,  “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kedua ke kawasan tanah Kampung Usuk Subak di sini bagi meninjau secara lanjut laporan pencerobohan tanah di kawasan berkenaan bersama-sama kakitangan Jabatan Tanah dan Ukur Daerah dan Penolong Pemungut Hasil, Ketua Anak Negeri Daerah Kinabatangan, diikuti sejumlah kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Sukau.

Usuk Subak terletak di tengah-tengah kawasan antara kampung Batu Putih dan Kg Bilit dalam Dun Sukau yang telah  mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Tanah (LUC) Daerah Kinabatangan,  diberikan kepada sejumlah penduduk tempatan di Sukau yang terlibat dalam pengusiran oleh Mahkamah kerana didapati mendiami tanah milik sebuah syarikat di Kg. Sukau dua tahun lalu,   selain sebuah lagi badan koperasi.

Saddi berkata, dalam tinjauannya ke seluruh kawasan tanah tersebut  telah mendapati sebahagian besar dari kawasan tanah terlibat telah diceroboh secara besar-besaran, sejak beberapa tahun lalu melibatkan beberapa pihak. Ada individu masih mahu membawa masuk jentera-jentera berat bagi meneroka tanah berkenaan, walaupun dilaporkan telah melanggarkan hak kerajaan mendiami kawasan itu.

Dalam lawatannya bermula Rabu dan sepanjang pada Selasa kelmarin, Saddi turut mendapati sebahagian daripada tanah itu telah diceroboh oleh banyak pihak termasuk masyarakat dari luar daerah ini, selain dikenalpasti pendatang asing tanpa izin dengan hanya berasaskan resit bayaran permohonan tanah (PT) yang dibuat individu tertentu di percayai yang datangnya dari kawasan Sukau.

Selain membuka tanah berkenaan dengan pelbagai jenis tanaman, katanya, peneroka haram yang sebahagiannya diperdayakan kumpulan tertentu itu juga mendirikan rumah-rumah sementara, selain turut meletakkan kenderaan mereka di pondok-pondok khas di tepi jalan kediaman masing-masing.

“ Saya mendapati para pekebun disyaki penceroboh ini seakan-akan berpesta meraih faedah dari kegiatan mereka. Selain darinya menjalankan pertanian kelapa sawit yang memakan masa bertahun-tahun, terdapat yang lain menjalankan pertanian menanam tembikai. Ada juga yang sudah membuka tapak semaian untuk menjual benih kelapa sawit kepada pihak tertentu.

“ Saya diberitahu para pekebun haram di sini telah sekian lama meraih keuntungan besar hampir setiap bulan daripada aktiviti pertanian mereka,” kata Saddi.

Namun kegagalan peneroka tanah terlibat bertindak sebagaimana diarahkan, kata Saddi, membolehkan pihaknya mengenakan tindakan yang lebih tegas termasuk membawa bersama pihak berkuasa keselamatan untuk melakukan 'pembersihan' secara besar-besaran di kawasan tanah itu.

Dalam pada itu, seorang jurucakap PPHT Daerah percaya penjualan tanah secara haram di kawasan itu dilakukan oleh sekumpulan individu secara sindiket.

“ Saya menyifatkan kegiatan ini secara sendiket kerana maklumat menunjukkan aktiviti  penjualan tanah itu berpunca daripada satu kumpulan tertentu yang bergerak secara aktif 'menjual' tanah kepada mereka hanya berasaskan kepada resit pembayaran PT yang dikeluarkan jabatan tanah daerah,” katanya.

Kata pegawai yang enggan dinyatakan nama itu sependapat dengan wakil rakyat agar para pekebun kecil di situ yang mendakwa ditipu oleh pihak tertentu agar membuat laporan terus kepada pihak polis berkaitan dengan masalah yang mereka hadapi, agar mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas.


“ Saya bersetuju dengan apa yang disarankan Datuk Saddi jika setiap peneroka tanah di sini menyemak senarai tanah mereka di Jabatan Tanah dan Ukur Daerah bagi mempastikan kedudukan permohonan masing-masing atau mereka ini membuat laporan polis kerana telah diperdaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.