Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Saddi beri amaran keras penceroboh tanah di Usuk Subak, Sukau





SUKAU 14 OKTOBER: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman memberi amaran tegas kepada sekumpulan penceroboh tanah di sebuah perkampungan Usuk Subak yang terletak di pertengahan antara Kg Bilit  dan Batu Putih di sini supaya segera menghentikan aktiviti pertanian mereka secara haram.

Beliau berkata, ini kerana tanah tersebut telah diperuntukkan kepada penduduk kampung Sukau yang dikenalpasti tidak memiliki tanah, termasuk sekumpulan penduduk tempatan di kampung Sukau yang terlibat dalam pengusiran dari kediaman dan kebun mereka sesudah mahkamah tinggi berpihak kepada pemilik tanah tersebut dua tahun lalu.

Saddi berkata penceroboh haram di tanah Kampung Usuk Subak yang sebahagian dari mereka didapati diperdaya oleh pihak tidak bertanggungjawab itu, dinasihatkan agar menghentikan aktiviti pertanian di kawasan demi mengelakkan mereka dikenakan tindakan yang lebih tegas oleh pihak berkuasa.

“ Kesemua kawasan tanah ini telah diluluskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Tanah Daerah (LUC). Selain sebahagian darinya diberikan kepada sebuah badan koperasi, sebahagiannya lagi kepada penduduk di kawasan ini yang telah dikenalpasti tidak memiliki tanah bagi membolehkan mereka memulakan penghidupan baru,” kata Saddi.
Malangnya, kata Saddi dalam lawatannya ke kawasan tanah pada Rabu, mendapati sebahagian besar daripada kawasan tanah tersebut telahpun diterokai dengan pelbagai jenis tanaman.  Sebahagian mereka didapati meraih keuntungan besar dengan kegiatan menanam tembikai dalam jumlah yang besar di kawasan tanah tersebut.

“ Ada laporan mengatakan penanam tembikai itu boleh meraih sehingga RM 120,000 sebulan daripada aktiviti menamam secara haram di kawasan tanah terlibat. Kegiatan ini bermula selepas  mereka diperdaya oleh sekumpulan lelaki yang mendakwa bahawa tanah tersebut adalah mereka dan sedia dijual kepada pekebun kecil itu.

“ Penceroboh tanah yang sebahagian darinya datang dari luar kawasan itu kemudian sanggup 'membeli' tanah berkenaan antara harga tinggi hanya berasaskan kepada resit pembayaran permohonan tanah (PT) yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Daerah kepada pemohon tanah berkenaan,” kata Saddi.

Apabila disiasat, kata Saddi,  nama-nama pemohon terlibat dalam aktiviti penipuan itu, tidak terdapat dalam sekumpulan senarai  pemohon yang dimasukkan dalam mesyuarat LUC sebelum ini.

“ Maka saya berpendapat pemohon terlibat tidak serius dalam permohonan tanah mereka, kecuali untuk tujuan menipu dan mendapat keuntungan peribadi,” katanya.

Saddi dalam tinjauannya ke tanah itu turut menemui beberapa orang penceroboh yang dikenalpasti sebagai pendatang tanpa izin (PATI). Beliau kemudian mengarahkan mereka supaya menghentikan aktiviti menanam kelapa sawit di kawasan itu dan meninggalkannya.

Sebahagian lagi penceroboh tidak berada di kawasan itu kerana telah lebih mengesan kehadiran wakil rakyat bersama kakitangan kerajaan meninjau kawasan itu.

Saddi turut meminta pihak Jabatan Tanah dan Ukur turun padang menyiasat perkara itu seterusnya mengambil tindakan tegas ke atas penceroboh terlibat.

“ Jawatankuasa Makmal Tanah Dun Sukau Dun Sukau tidak akan teragak-agak meminta bantuan pihak polis dan Kesalamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk menangani pencerobohan itu sekiranya penceroboh masih engkar dan meneruskan aktiviti pertanian di kawasan itu,” katanya.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Ketua Anak Negeri Daerah Kinabatangan Encik Awang Ahmad Ongkang, Setiausaha Koperasi Tanikan Kinabatangan Berhad, Japar Usop, Ahli Lembaga Pengarah Tanikan, Bahari Hj Omarmaya, Mantan PPM Sukau, Sharin Abdul Rahman, Katiff Kosui yang mewakili sekumpulan penduduk di Kampung Sukau serta sejumlah kakitangan UPPM kawasan itu.

Saddi berkata, dengan adanya penempatan baharu di Perkampungan Usuk Subak itu beliau bakal mencadangkan beberapa kemudahan asas penduduk kepada pihak kerajaan. Ia termasuk kemudahan jalan, perparitan dan kemudahan asas lain demi kebaikan penduduk terlibat.