Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, pihaknya menyedari rungutan serta masalah yang dihadapi rakyat khususnya melibatkan isu kesesakan lalu lintas di ibu negeri ini.
Namun kata beliau, perkara tersebut bergantung kepada faktor kewangan kerana sistem-sistem pengangkutan awam berkenaan memerlukan perbelanjaan yang besar. “Kita minta kerajaan Persekutuan untuk membantu (dari segi kewangan). Infrastruktur pengangkutan yang berkesan amat kritikal dalam memacu kemajuan dan pembangunan. Ini menentukan daya saing dan kemapanan bandar raya kita.
“Tanpa pengangkutan yang berkesan, ekonomi negeri tidak dapat berkembang pesat, sekali gus menjejaskan kemajuan yang diharapkan oleh rakyat. Oleh itu, kewujudan sistem pengangkutan awam yang teratur, cekap dan berkesan berupaya menjadi pemangkin dalam merangsang pembangunan serta pertumbuhan sektor-sektor ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perancangan Negeri 2015 sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia di sini hari ini.
Bertemakan Perancangan Pengangkutan Awam Ke Arah Bandar Raya Sejahtera Di Sabah, persidangan itu bertujuan meneliti kaedah perancangan pengangkutan awam selain merancang perhubungan antara daerah di negeri ini.
Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, nasib rakyat akan terus dibela dengan menyediakan peruntukan besar untuk menambah baik serta mewujudkan pengangkutan awam yang berkesan dan selesa.
“Kita sedar dengan cabaran ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup, keperluan kepada sistem pengangkutan awam yang cekap semakin mendesak. Bagi menjayakan matlamat ini, perancangan pengangkutan awam seharusnya diambil kira dan diintegrasikan ke dalam perancangan serta pembangunan dari peringkat awal.
“Kita juga menyeru Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah negeri bersama jabatan dan agensi kerajaan serta profesion yang berkaitan untuk terus menambah baik dan meningkatkan sistem pengangkutan awam dengan mengambil kira keselamatan, kemudahan serta ke- selesaan pengguna,” tambahnya.
Sumber: Utusan Online 11 Nov 2015