Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Buruh asing bermaharajalela di Gua Gumantong



SUKAU 06 MEI : Aktiviti pengambilan pekerja asing di Gua Gumantong di sini telah menjadi salah satu isu hangat pada Mesyuarat Mahkamah Anak Negeri Daerah Kinabatangan yang turut mendesakkan kerajaan negeri agar mengkaji semula sistem pengambilan buruh di bawah sistem tender penuaian sarang burung di gua berkenaan.

Ketua Anak Negeri Daerah Kinabatangan, Abdul @ Madsaid Abdul Karim berkata, sistem tender secara terbuka dikendalikan Jabatan Hidupan Liar Sabah itu bukan saja telah jelas menafikan hak mata pencarian rakyat tempatan yang pernah berkerja di gua berkenaan secara turun temurun.

“ Tetapi sistem pengambilan pekerja secara bebas itu ternyata merugikan kerajaan dan rakyat kerana membuka peluang pekerjaan kepada buruh asing yang turut diragui dokumen kemasukan mereka ke negara ini.


“ Kami turut khuatir jika rakyat asing ini atau hasil mahsul dari gua ini mempunyai kaitan secara langsung atau akan disalurkan kepada kumpulan pengganas di negara jiran yang hanya menunggu peluang berbuat sesuatu, sebagaimana kejadian di Tanduo, Lahad Datu sebelum ini,” katanya.

Mengulas isu pengambilan pekerja asing di gua berkenaan yang kini hangat diperkatakan,  ekoran usul dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman pada Sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, Madsaid yang juga Ketua Cawangan Umno Litang berkata, mesyuarat dipengerusikan Ketua Daerah Kinabatangan, Haji Hamidin Radin itu amat membantah pengambilan pekerja asing di gua itu yang jelas menafikan hak ‘turun temurun’ rakyat Kinabatangan.

“ Maka kerajaan negeri wajib segera bertindak menyelesaikan isu tersebut yang ternyata terkeluar dari peraturan sistem tender Sarang Burung Gua Gumantong, tidak terkecuali kerugian RM33.02 juta hasil cukai sarang burung yang belum dibayar oleh 17 buah syarikat yang pernah diberi konsesi penuaian digua itu,  sejak sistem tender itu diperkenalkan kerajaan negeri tahun 2000,” kata Madsaid.

Madsaid berkata, beliau amat bersetuju usul dibuat Saddi jika Sistem Tender Penuaian Sarang Burung di gua berkenaan dimansuhkan,  dengan mengujudkan sebuah syarikat milik kerajaan negeri yang diperbadankan bagi melindungi khazanah serta hasil mahsul di gua berkenaan secara mapan.

Datuk Saddi ketika membahas Ucapan Dasar Kerajaan Disampaikan Yang Dipertua Negeri berkata, pengujudan syarikat milik kerajaan negeri berkenaan bukan hanya mampu melindungi habitat di gua tersebut.

Tetapi ianya membolehkan kerajaan negeri mengurus dan memasarkan pengeluaran sarang burung walid dari gua itu dan di merata Sabah untuk dipasarkan ke negara-negara pembeli secara sepadu dan bernilai tinggi.

Mendedahkan kegagalan 17 syarikat membayar hasil royalti sebanyak RM33.02 kepada kerajaan negeri sejak tender itu diperkenalkan, Saddi mahu agar masa depan pekerjaan rakyat tempatan di gua itu dapat dilindungi.

“ Cadangan ini bukan saja mampu memberikan perubahan ekonomi kepada rakyat dalam Dun Sukau  yang masih ketinggalan, apalagi keujudan gua tersebut sebagai ‘telaga emas’ di kawasan mereka sejak sekian lama.

“ Tetapi, ia akan membuktikan kerajaan BN masih memiliki kebijaksanaan untuk mengurustadbir sumber ini secara adil, selain dilihat satu penghargaan besar  kepada jasa rakyat kawasan ini yang sekian lama memberikan sokongan kepada kemenangan besar BN di Kinabatangan,” katanya.

Madsaid juga bersetuju dengan keutusan Mesyuarat Mahkamah Anak Negeri Kinabatangan itu jika setiap pengambilan pekerja buruh di gua itu didaftar di pejabat mahkamah itu bagi mempastikan peluang rakyat tempatan (rakyat asal) untuk bekerja di gua berkenaan terus terpelihara sampai bila-bila.


“ Oleh kerana sktor buruh di gua berkenaan disifatkan sebagai hak rakyat asal (anak negeri) di kawasan ini, amat wajar kaedah penyenaraian pekerja ini dilakukan, sebagai antara rekod Mahkamah Anak Negeri Kinabatangan,” katanya.