Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Usul mansuhkan sistem tender sarang burung walit dapat sokongan



SUKAU 23 APRIL :  Pelbagai pihak terus menyokong  usul yang dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman pada sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini agar Sistem Tender Penuaian Sarang Burung Walit di Gua Gomantong dimansuhkan untuk digantikan peraturan yang lebih baik dan menguntungkan rakyat.

Bekas Pengerusi Korperasi Pekerja Gua Gomantong Berhad, Haji Aprin Musin menegaskan cadangan wakil rakyat itu bukan saja akan memberikan kebaikan kepada rakyat khususnya di kawasan itu, tetapi juga mampu memulihara khazanah dan hasil mahsul dari aktiviti pengutipan sarang burung di gua berkenaan secara berterusan.

“ Saya menyokong 100 peratus cadangan Datuk Saddi agar sistem tender yang ada sekarang dimansuhkan, sebaliknya aktiviti itu dikendalikan olehsebuah syarikat milik kerajaan neger kerana ianya bukan saja memberikan peluang pekerjaan kepada anak tempatan khususnya di kawasan ini.

“ Tetapi mampu mengembalikan hasil royalti tersebut kepada kerajaan yang ianya antara lain boleh digunakan untuk memajukan kawasan Dun Sukau yang masih ketinggalan dari asus pembangunan dan ekonomi rakyat,” katanya.

Aprin berkata demikian sebagai mengulas usul yang telah dikemukakan Saddi pada Sidang DUN Rabu lepas ketika membahas ucapan Dasar Kerajaan disampaikan oleh yang Dipertua Negeri minggu sebelumnya.

Aprin yang juga salah seorang bekas “tukang’ (pekerja utama) yang baru diberhentikan oleh sebuah syarikat konsesi di gua berkenaan, berkata sistem tender penuaian sarang burung yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak tahun 2000 itu terbukti menyusahkan rakyat dan kerajaan negeri ini.

“ Apa tidaknya, sebilangan  pihak kontraktor yang terlibat bukan saja telah bertindak sanggup menipu kerajaan dengan kegagalan membayar hasil royalti sebanyak RM33.02 juta sejak ianya diperkenalkan hingga tahun 2013.

“ Tetapi meeka sanggup menipu dan membelakangkan kepentingan rakyat di kawasan Dun Sukau yang lebih berhak mendapat peluang pekerjaan dan hasil di gua itu sebagaimana menjadi amalan turun temurun,” kata Aprin.

Dalam pada itu, Aprin turut mempersoalkan kepentingan beberapa individu yang masih mendapat keutamaan memiliki kontrak penuaian sarang burung berkenaan yang sama sekali tidak ada kena mengena kepada kepentingan dan masa depan rakyat di kawasan Dun Sukau.

“ Saya hairan ada seorang individu yang sehingga kini terus berada di belakang aktiviti penuaian sarang burung Gua Gomantong sejak hampir 10 tahun lalu.. Siapa sebenarnya individu ini yang terus mendapat manfaat daripada aktiviti ekonomi di gua tersebut?,” kata Aprin yang enggan menyebut nama individu berkenaan yang  dilaporkan menguasai kepentingan aktiviti ekonomi berkenaan sejak sekian lama.

“ Saya dan rakyat di kawasan ini tentunya mempersoalkan adakah individu ini pemimpin dan pengundi BN di kawasan Sukau?.

Kata Aprin inividu yang dilaporkan ada kaitan dengan orang tertentu dalam kerajaan itulah yang bertanggungjawab membelakangkan peluang pekerjaan rakyat tempatan, sebaliknya berperanan membawa masuk pekerja asing yang diragui dokumen mereka ke negara ini, termasuk daripada Indonesia dan Filipina.

Sementara itu, Ketua Kampung Lipong Hidayat, KK Haidil Matalaya yang turut memberikan sokongan padu kepada cadangan wakil rakyat Dun Sukau itu dan mahu kerajaan negeri menyegerakan pemansuhan sistem tender berkenaan demi kebaikan rakyat.

“ Saya turut menyokong usul Datuk Saddi supaya sebuah syarikat milik kerajaan negeri yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan Negeri,” katanya.

Sambil mendesak agar pemilik syarikat yang terlibat berhutang royalti hasil penuaian sarang burung dengan kerajaan negeri itu dibawa ke muka pengadilan, beliau merayu Ketua Menteri, bertindak tegas menyokong usul itu demi kebaikan rakya Dun Sukau.

“ Kami percaya kepada kebolehan dan kejujuran Ketua Menteri mengurus hasil mahsul negeri termasuk merancang sesuatu terhadap masa depan ekonomi Gua Gomantong...Namun kalau boleh usul ini dipertuimbangkan segera demi memberikan peluang pekerjaan serta hasil sampingan kepada rakyat setempat,” katanya.

Sementara itu Encik Asbal @Asman bin Asik yang mendakwa sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bertindak Sumber Ekonomi Bumiputera Suku Kaum Orang Sungai di gua berkenaan mahu sumber tersebut dipulangkan kepada kebijaksanaan wakil rakyat di kawasan itu.

“ Soalnya rakyat di kawasan ini terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Tetapi sebahagian mereka telah tidak menerima manfaat, apalagi hasil mahsul dari Gua Gumantong yang sebelum ini telah menjanjikan banyak peluang pekerjaan dan sebagainya.

“ Sudah waktunya, samada kerajaan negeri dan para pemimpin terlibat perlu bersikap adil dan lebih bijaksana dalam mengurus sumber hasil sarang burung ini agar ianya dapat dikongsikan rakyat khususnya penduduk Dun Sukau,” katanya.

Ketua Kampung Menanggol Sukau, Khalid Damit  turut menyokong cadangan tersebut.

Sehubungan itu, Masrun Engau, bekas pekerja di gua berkenaan yang telah sekian lama diberhentikan mencadangkan agar pihak berkuasa keselamatan terus  memantau setiap aktiviti penuaian sarang burung di gua berkenaan bagi mengelakkan kehadiran pekerja asing tanpa izin.

Gambar ehsan http://www.ulelong.com