Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

KUNJUNGAN HORMAT PENYERAHAN SALINAN MEMORANDOM GUA GOMANTONG

YB datuk menyampaikan nasihatnya kepada kepada rombongan pewaris


3. Saddi menerima memorandum daripada Halim sambil disaksikan sebahagian daripada keluarga Pewaris Gua Gumantong yang hadir.

SUKAU :

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Dun ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berpendapat, wajar jika kerajaan negeri mengkaji semula sistem peraturan tender penuian sarang burung walid yang diperkenalkan kerajaan negeri di Gua Gumnatong sebelum ini bagi membolehkan para kontraktor mewakili masyarakat bangsa Sungai dalam kawasan ini dapat meraih banyak peluang dalam perusahaan itu.
Katanya, kesediaan menyemak kembali peraturan di bawah Enakmen N0 6, tahun 1997 Hidupan Liar Jadual 4 (Seksyen 85) Bahagian 1 itu dirasakan sesuai, supaya mana-mana kontraktor yang dimandatkan setiap tiga tahun sekali oleh kerajaan negeri itu mampu memenuhi peraturan tender yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, kaedah itu sudah tentu memerlukan langkah-langkah yang lebih ideal terhadap tahap keselamatan sumber reptilia di gua itu agar memberikan manfaat berpanjangan kepada rakyat dari segi sumber pendapatan ekonomi dan faedah alam sekitar di kawasan tesebut.
“ Saya melihat wajar jika sistem tender yang kini diperuntukkan kerajaan negeri dihadkan hanya kepada pengusaha dan rakyat di kawasan Dun Sukau yang menjadikan aktiviti penuaian itu sebagai sumber ekonomi mereka.

“ Namun pemberian kontrak penuaian kepada pihak luar sejak tahun 2000 telah membawa kepada pelbagai masalah yang tidak sihat. Ini termasuk pengambilan pekerja asing tanpa izin yang sekian lama menafikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, diikuti kerosakan ekosistem gua tersebut kerana sikap penuai yang tamak dan enggan mengikut peraturan penuaian sarang burung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat serombong keluarga Pewaris Gua Gumantong di pejabatnya di sini hari ini.
Datuk Saddi yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (Sabas) berkata, sebahagian daripada maklumat dan cadangan penting berkaitan perkara-perkara menjejaskan kegiatan penuaian sarang burung di gua itu dimasukkan di bawah memorandum yang diserahkan kepada beliau oleh anggota Pewaris tersebut.

Kunjungan itu diketuai oleh Encik Halim Liwangsa yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Bertindak Pewaris yang dibentuk di kalangan mereka sebelum ini.
Dalam pada itu, katanya, Pewaris Gua Gumantong yang merupakan sebahagian daripada rangkaian tarsilah dan cicit Allahyerham Pangiran Digadong Samah itu menuntut agar hak penuaian sarang burung di gua itu dikembalikan kepada mereka, sebagaimana yang telah diwartakan kerajaan British di Sabah sebelum ini.
“ Sebagai wakil rakyat yang menerima aduan mereka, saya sendiri akan menyerahkan perkara ini kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah untuk tindakan lanjut berkaitan tuntutan mereka.
“ Namun dalam pada itu, saya mencadangkan kepada seluruh anggota Pewaris Gua Gumantong supaya menyerahkan perkara ini kepada kebijaksanaan kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Saddi menyarankan agar di kalangan anggota Pewaris terlibat supaya mencari kesepakatan di kalangan mereka bagi mempastikan sebarang komitmen kerajaan terhadap kegiatan perusahaan dan perlindungan persekitaran gua berkenaan berjalan dengan teratur.
Beliau menambah, keputusan kerajaan negeri mengenakan sistem tender penuaian di gua berkenan sejak tahun 2000 juga adalah ekoran ketidaksepakatan di antara pihak pewaris yang menyebabkan kerajaan negeri gagal memperolehi hasil cukai penuaian secara teratur dari pihak yang telah diberikan mandat mengurustadbir gua berkenaan.
Selesai.