Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

KENYATAAN SADDI SEMPENA PELANCARAN PEKAN BARU SUKAU



SUKAU:


Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman berkata, pelbagai keistimewaan akan menanti kehadiran orang ramai pada Majlis Pecah Tanah sempena Pelancaran Pekan Baru Sukau yang berlangsung di perkarangan Bangunan Kedai Perkasa Realty di sini, Sabtu in (24 Julai).
Beliau berkata, antara yang paling penting ialah pelancaran penyampaian komputer jenis Notebook (riba) sebanyak 2,000 unit daripada Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKM) kepada pelajar sekolah menengah di seluruh Dun Sukau yang akan dilakukan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.
“ Penyampaian ini dibuat secara simbolik melibatkan hanya 20 orang pelajar menenga. Namun ini merupakan yang julung-julung kalinya dilakukan di Sabah selepas program ini diumumkan Perdana Menteri pada Program Pembangunan Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK10). Saya merasakan pelajar sekolah menengah di dalam Dun Sukau amat bernasib baik kerana yang terawal menerima sumbangan ini daripada SKM,” katanya.
Untuk itu, tegas Saddi, ibu bapa yang memiliki anak-anak menuntut di sekolah menengah di seluruh Dun Sukau tidak melepaskan peluang hadir bagi menyokong pelancaran pembahagian komputer riba, sempena majlis pecah tanah Pekan Baru Sukau ini.
Katanya majlis itu akan turut memberikan penghargaan kepada beberapa orang pejuang pembangunan masyarakat di kawasan itu yang turut disampaikan Ketua Menteri.
Katanya, selain acara simbolik pecah tanah, pemimpin yang sudah dikenali sebagai ‘bapa pembangunan Sabah itu’ akan menandatangani plag batu asas kawasan tapak pembangunan pekan baru Sukau.
Katanya, kerajaan negeri juga sebelum ini telah mengumumkan untuk memulakan pembangunan di tapak tersebut bermula RMK10 yang bermula awal tahun depan.
“ Selain menyediakan barisan artis tempatan bagi menyerikan program awal majlis itu, pihak penganjur juga menyediakan cabutan tiket bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti peti TV, peti sejuk, kipas dan banyak lagi termasuklah beratus-ratus hadiah hamper,” katanya.
Katanya, beberapa artis tanahair, Aishah, Ampal, Sabhi dan beberapa orang lagi akan berpeluang menghiburkan orang ramai sebelum majlis perasmian program pecah tanah itu bermula.
Katanya, pengunjung bernasib baik yang disenaraikan ke 1,000 orang, ke 2,000 hingga ke 5,000 orang akan turut menerima hadiah.
“ Saya amat berharap orang ramai dari seluruh Sukau akan dapat menghadiri majlis ini. Selain ianya merupakan satu program pembangunan bersejarah kepada pengujudan sebuah Bandar Biodiversity di Sukau, ianya turut memberikan peluang kepada orang ramai mendengar ucapan dan sebarang pengumumkan Ketua Menteri pada majlis ini.
“ Masyarakat luar bandar di Sukau juga akan berpeluang menyaksikan pameran jabatan-jabatan kerajaan dan pihak swasta yang turut diadakan. Tentunya ia memberikan input dari sudut sosioekonomi dan pembangunan rakyat secara jangka panjang di kawasan ini,” katanya.
Selesai.