Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Kerajaan BN sentiasa peka isu kesihatan masyarakat di luar bandar








SUKAU 22 Julai 2017 :    

Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN). terus memberi perhatian serius ke atas keperluan kesihatan rakyat, tidak terkecuali yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau itu menegaskan,  ini terbukti dengan wujudnya kemudahan Bot Klinik Kesihatan Bergerak 1 Malaysia yang telah beroperasi dengan berkesan di kampung-kampung Sepanjang Sungai Kinabatangan sejak diwujudkan dua tahun lalu.

“ Bot klinik bergerak ini bukan hanya berperanan menjalankan tugas-tugas merawat kalangan rakyat mengalami sakit-sakit yang terkawal.  Tetapi turut memantau  sebarang kewujudan krisis penyakit berjangkit serta wabak.

“ Malah agensi ini boleh menjadi mata dan telinga terhadap pencapaian tahap sosioekonomi, keselamatan  dan pendidikan rakyat yang turut berpunca daripada tahap kesihatan rakyat,” katanya.

Menyatakan perkara itu ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Sempena Merasmikan Jeti khas Bot Klinik Kesihatan 1Malaysia di Kampung Tundun Bohangin terletak kira-kira dua jam perjalanan menggunakan bot laju dari bandar Sandakan, Saddi berkata, kemudahan bot kesihatan seumpama itu merupakan produk kebanggan dicetuskan kerajaan BN.
Jeti khas berkenaan yang siap dibina tahun lalu bernilai lebih RM100,000,  digunakan bagi kemudahan bot klinik berkenaan berlabuh dan mengadakan operasi rawatan yang lebih selesa setiap kedatangan mereka ke kampung Tundun Bohangin.

Bot tersebut yang dilengkapi Sembilan orang kakitangan termasuk seorang doktor, juga meliputi unit tabung darah, rawatan untuk ibu mengandung dan beberapa lagi boleh memudahkan masyarakat kampung untuk mendapatkan rawatan kesihatan tanpa perlu ke klinik dan hospital yang jauh.

“ Walaupun bot ini berjadual seminggu sekali menemui rakyat di kampung-kampung sepanjang 460 km Sungai Kinabatangan, tetapi fungsi perkhidmatannya begitu memadai buat sejumlah rakyat luar bandar Dun Sukau selain di Dun Kuamut yang belum memiliki bangunan klinik tetap,” katanya.

Kata Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah, rakyat dari segenap lapisan budaya dan agama di kawasan ini perlu terus menghargai sumbangan kerajaan menerusi khidmat bot berkenaan, demi kesejahteraan hidup mereka.

Saddi berkata, kerjasama dan sokongan itu penting termasuk melindungi dan memelihara kemudahan jeti bot klinik berkenaan, selain menjaga adat dan tatasusila mereka ketika berhadapan dengan kakitangan bot klinik berkenaan sewaktu  memberi rawatan,” katanya.

Dalam pada itu, kewujudan pos kawalan pasukan keselamatan mewakili agensi ESSCOM, Angkatan tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Geakan Am (PGA) di sekitar kampung Tundun Bohangin meletakkan kehidupan lebih 300 penduduk di situ jauh lebih selamat daripada daripada kawasan tertentu.

“ Maka dengan adanya perlindungan keselamatan yang begini sepadu, diikuti pengawasan kesihatan yang juga mantap rakyat di sekitar kampung ini nampaknya hanya perlu memberikan tumpuan kepada soal kebajikan hidup mereka.

“ Inilah cara kerajaan BN memberikan perhatian dan pembelaan kepada rakyat.  Kerajaan tidak perlu minta apa-apa balasan. Melainkan rakyat hanya perlu terus menyokong kesinambungan pemerintahan kerajaan ini setiap musim pilihanraya termasuklah PRU 14 ini,” katanya sokongan padu rakyat yang hadir.

Saddi kemudian turut menghadiri satu Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) S.K. Tundun Bohangin yang dipengerusikan YDP PIBG Sekolah berkenaan En. Azman Agoi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi JKKK berkenaan En. Abdul Hamid Unoh, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur sambutan itu, Pegawai Kesihatan Kawasan, Kinabatangan Dr. Maini Sabait,  Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Sukau En. Amiruddin Mohd Damit,  Ketua Anak Negeri Kinabatangan, En. Mohd Said Abdul Karim dan Pemaju Mukim Litang, En. Japar Usof dan Ketua Kampung Tundun Bohangin, KK Pulok Ahmad.