Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Golongan ibu tunggal akan terus dibantu kerajaan





SANDAKAN 23 Julai 2017 :  

Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Zon Bandar Kinabatangan adalah medium berkesan bagi mengurus kebajikan golongan itu di negara itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau itu berkata, kedudukan pimpinan badan itu yang teratur, ditambah di bawah pimpinan oleh seorang ketua yang berwibawa akan menjadikan setiap peranan PITK dihargai,  termasuk berkaitan pendirian mereka ke atas  kedudukan sosiopolitik masa kini.

“ Saya begitu bersenang hati menerima kehadiran Persatuan ini apalagi dengan bercawangan di Kinabatangan, kerana ia bukan saja membolehkan saya mengenalpasti golongan ibu tunggal yang memerlukan pembelaan kerajaan.

“ Ini termasuk di bawah program E Kasih, bantuan jabatan kebajikan, di bawah bantuan zakat dan menerusi program-program yang disediakan oleh kerajaan.

“ Malah, mereka ini dengan kedudukan yang kuat dan padu tentunya akan  berperanan penting menentukan kejayaan kerajaan BN pada Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) akan datang ini,” katanya.

Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa Sabah (KPD) menyatakan perkara itu ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Anjuran PITKM Cawangan Bandar Kinabatangan di Dewan Taman Pustaka, Datuk Pangiran Galpam di Batu 7 Jalan Labuk di sini pada Ahad.

Saddi berkata,  selain perlu memperkasakan penubuhan PITKM cawangan itu untuk kebaikan ahli-ahlinya, peranannya untuk terus menambah keahlian dan melaksanakan aktivitinya wajar ditonjolkan bagi memberikan kefahaman kepada semua pihak.

Katanya, dengan pelbagai galakan, pendidikan dan kemahiran yang boleh diberikan kepada persatuan ini, sudah tentu akan mampu membantu ahli-ahlinya dan persatuan itu untuk mencapai kejayaan khususnya di bidang ekonomi dan keusahawanan,  pendidikan sosial dan agama.

 “ Saya juga difahamkan bahawa ahli-ahli persatuan ini sudah memiliki kad keahlian. Sudah tentu kemudahan dokumen ini bukan saja membolehkan mereka  mendapat layanan baik ketika berurusan dengan mana-mana jabatan dan agensi swasta.

“ Tetapi ia meletakkan ahli-ahli  badan ini boleh dihormati kerana bernaung di bawah sebuah badan berdaftar yang bertanggungjawab ke atas kepentingan dan masa depan ahli-ahlinya,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi PITKM Cawangan Bandar Kinabatangan, Datuk Dayang Nafsah Bin Datuk Pangiran Mohd Gaplam, PPM Kawasan itu, En. Amirudin Mohd Damit, CDO, En. Dasran Haji Dahalan dan Ketua Anak Negeri Kinabatangan, En. Awang Ahmad Hj. Ongkang dan En. Abdul Said Karim.

Sehubungan itu, Saddi turut menyarankan pihak Pengurusan PITKM Cawangan Bandar  Kinabatangan itu agar menyediakan profail lengkap ke atas ahli-ahlinya bagi membolehkan beliau menyalurkan bantuan kebajikan kepada badan tersebut yang dilaksanakan kerajaan BN.

“ Saya mahu juga persatuan ini mendaftar semua ibu tunggal yang terdapat di kawasan Sukau agar mereka tidak terus tersisih daripada menikmati bantuan-bantuan kerajaan yang diperuntukkan hanya kepada golongan memerlukan,” katanya.

Sebelum itu Datuk Dayang Nafsah beberapa kategori ahli terus didaftarkan di dalam PITKM Cawangan Bandar Kinabatangan terdiri daripada ibu tunggal yang kematian suami, Isteri yang ditinggalkan suami atau digantung tak bertali, suami yang mengalami sakit kritikal dan wanita yang mempunyai ramai tanggungan tetapi tidak pernah berumahtangga.

“ Setakat ini kami telah mendaftar ramai ahli dari golongan yang disebutkan ini.... Yang jelas mereka ini juga adalah penyokong kuat kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan dari kalangan mereka adalah ahli Umno,” katanya.