Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Pembinaan jalan MESEJ Kg Abai mampu jana ekonomi rakyat



ABAI 6 Feb - Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, pembinaan sebatang jalan menghubungkan Perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ)  Kampung Abai dengan jalan utama di Kampung Sukau di sini amat diperlukan bagi merancakkan program pembelaan ekonomi rakyat berasaskan perladangan kepada masyarakat miskin tegar itu mampu dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau merangkap Pengerusi Korpersi Pembangunan Desa (KPD) Sabah itu berkata, jalan sejauh 33 Km ini bukan hanya akan mampu memberikan keselesaan kepada rakyat, tetapi turut berperanan menjana dan mempertahankan kedudukan ekonomi Kampung Abai sebagai salah satu distinasi ekopelancongan kampung tradisi antara yang terbaik di rantau ini.

“Jalan ini pastinya amat berperanan meletakkan Kg. Abai sebagai antara rangkaian sektor pembangunan ekonomi kepada Pekan Baharu Sukau, Bandar Bio Diversiti pada masa depan, juga pilihan kepada rakyat dan para pelancong untuk berada lebih lama di kawasan ini, “ katanya.

Menyatakan perkara itu ketika mealwat ke Tapak Perladangan Mini Estet Sejahtera (Mesej) Kampung Abai bersama beberapa agensi kerajaan yang bertanggungjawab membangnkan program ekonomi itu pagi Jumaat, Saddi mahu agar cadangan itu menjadi sebahagian daripada perancangan terdekat kerajaan ke atas fokus pembelaan kemiskinan rakyat luar bandar itu.

Katanya, beliau sendiri sudah mengemukakan cadangan membinanaan jalan itu kepada pihak kerajaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri tahun 2011 lepas.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pembangunan,  Madinin Jimin, Pegawai mewakili Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah yang merupakan antara perlaksana projek pembangunan itu, diikuti oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Sukau. Amirudin Mohd Damit, berserta kakitangan mewakili Jabatan Tanah daan Ukur daerah berserta sepasukan anggota polis.

“Ketika ini penduduk Abai yang menggunakan jalan darat ke kampung ini melalui jalanraya milik syarikat-syarikat ladang. Ia perlu melepasi beberapa pintu kawalan yang turut dikenakan beberapa syarat dan had waktu,“ kata Saddi.

Maka demi kebaikan rakyat, tambahnya, sudah sampai waktunya rakyat kampung ini memiliki sebatang jalan sendiri demi membantu merancakkan lagi pertumbuhan sektor ekonomi rakyat secara jangka panjang di sini, selain ianya  menyegerakan masa perjalanan.

Untuk rekod, selain laluan darat, Kampung Abai yang telah diletakan pihak Land Empowerment Animals People (LEAP), sebuah badan pernilaian ekopelancongan bertaraf antarabangsa sebagai antara 100 pusat ekopelancongan terbaik di dunia berasaskan pernilaian ke atas kepelbagaian sumber pelancongan di dalamnya dua tahun lalu, kampung terletak di muara Sungai Kinabatangan (540 km) ini lebih mudah dihubungi menggunakan jalan laut, iaitu kira-kira 45 minit menggunakan laju daripada Bandar Sandakan.     

Kampung ini masih dihuni lebih 300 penduduk, telah mencatatkan sejarah sendiri dengan kehadiran sepasang pengambara suami isteri dari Kansas Amerika Syarikat,  Martin dan Osa Johnson serta menetap di kampung ini sepanjang tempoh 1925 dan 1930.

Kini Abai terus didatangi pelancong asing dari merata dunia, iaitu antara 30 orang  seminggu atau melebihi 500 orang pengunjung sepanjang tahun kerana segala keistimewaan dimilikinya. Selain kepelbagaiaan sumber flora dan fauna meliputi keindahan bio diversiti dan spesis hidupan liar yang mencabar, juga kewujudan tapak Ramsar yang berhampiran, Keseronokan pelancong terhadap keujudan sumber makanan sungai yang popular dan eksotik seperti udang galah dan ikan patin serta pelbagai jenis buah-buahan tempatan tersedia di sini.

Dalam pada itu, Saddi berkata, pihak LKTNS dan LPPB boleh memulakan projek pembinaan rumah-rumah kepada 33 orang peserta (keluarga) terlibat, disusuli penyediaan bekalan elektrik dan air dan beberapa kemudahan diperlukan di situ.

“Saya berpuas hati kerana fasa pertama melibatkan pembinaan perparitan dan jalan-jalan masuk ke kawasan ini sudah selesai. Maka saya menyarankan agar kerajaan negeri menyegerakan pembinaan fasa kedua dan seterusnya,  supaya program ini dinikmati rakyat lebih cepat,” kata Saddi.

Kata Saddi beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin kampung berkenaan dalam waktu terdekat bagi melakukan beberapa perancangan penting termasuk kemungkinan menambah jumlah penyertaan di bawah skim ekonomi diasaskan kerajaan itu.