Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Suarakan permasalahan anda - Saddi



MUMIANG 12 Feb - Datuk Saddi Haji Abdul Rahman membuka peluang kepada para guru yang ditugaskan di kawasan ini agar menyatakan sebarang kesukaran mereka secara terbuka berhubung sebarang kekangan perkhidmatan yang dihadapi, sebagai usaha membantu meningkatkan mutu serta masa depan pembalajaran anak-anak di kawasan ini.

Katanya, guru-guru yang menghadapi kesukaran seperti tempat tinggal dan kemudahan asas diperlukan perlu diberi peluang menyatakan secara terbuka kepadanya agar ianya  boleh diatasi bersama, termasuk meenyampaikannya kepada pihak kerajaan.

“Langkah ini bagi membolehkan sebarang kekangan yang dihadapi oleh para guru boleh diatasi. Jika masaah tesebut boleh saya tangangi, saya akan selesaikannya.

“Tetapi jika perkara itu tetap melibatkan pihak kementerian pelajaran, saya akan sampaikannya sebaik mungkin demi kebaikan rakyat kawasan ini,” katanya.

Saddi mengakui ada menerima rungutan daripada masyarakat di kawasan ini berhubung masalah-masalah kecil yang sedang dihadapi oleh para guru dalam menjalankan tugas mereka termasuk kelewatan mengajar dan sebagainya.

“Namun saya belum menerima sebarang aduan dan laporan daripada pihak guru-guru sendiri secara rasmi, demi kebaikan mereka,” katanya.

Menyatakan perkara itu ketika Majlis Penyampaian Bantuan Beg dan Pakaian Seragam Sekolah Kepada Para Pelajar Miskin Kawasan Persisiran Pantai Dun Sukau,  anjuran Biro Sosial dan Korperat Korperasi Pembangunan Desa (KPD) di Dewan Serbaguna Kampung Mumiang di sini, Saddi berkata, pihaknya sedia mendengar apa juga masalah dan rungutan guru-guru berkenaan demi kepentingan masa depan pelajaran rakyat.

Saddi yang juga Pengerusi KPD berharap beberapa permasalahan yang sedang dihadapi guru seperti tinggal di kawasan bandar Sandakan tetapi diberi tanggungjawab mengajar di kampung-kampung nelayan di kawasan Persisiran Dun Sukau tidak akan memberikan kesan terhadap jadual waktu pembelajaran pelajar rendah terlibat.

“Guru-guru ini dilaporkan tinggal di bandar kerana tidak memiliki kemudahan kediaman yang selesa dan mencukupi di kampung-kampung nelayan ini. Jadi mereka memilih tinggal di bandar dan terpaksa berulang alik setiap hari ke kampung di mana mereka bertugas.

“Soalnya, adakah pergerakan ini tidak akan menggangu waktu pembelajaran seterusnya memberikan tumpuan yang cukup kepada murid? Maka jika perkara ini berlaku ia perlu ditangani bersama demi kebaikan semua,” katanya.

Sebagai wakil rakyat yang mempunyai misi dan visi memajukan semua kawasan dalam Dun Sukau dalam pelbagai bidang, kata Saddi, tumpuan memajukan pendidikan dan pembelajaran anak-anak adalah menjadi salah satu tanggungjawab beliau.

Guru-guru kata Saddi, atau pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga tidak harus bersikap sambil lewa dan menyembunyikan masalah sedemikian, sebaliknya perlu menyampaikan kepadanya untuk diatasi bersama.

Kata Saddi, sebagai sebuah kawasan yang masih ketinggalan dari aspek ekonomi dan pendidikan, usaha memartabatkan pendidikan rakyat khususnya di kawasan Persisiran Pantai di kawasan ini perlu menjadi keutamaan beliau demi masa depan rakyat.

Turut hadir dalam program itu ialah Sintar Laus mewakili Pengurus Besar KPD, para guru-guru yang mewakili lapan buah sekolah rendah di kawasan persisiran pantai Dun Sukau itu, diikuti kakitangan Unit Pembangunan Masyarakat Dun Sukau yang diketuai Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Amirudin Mohd Damit dan CDOnya, Dasran Haji Dahalan. 

Dalam pada itu, Saddi berkata, program memberi bantuan beg dan pakaian sekolah kepada para pelajar rendah dan menengah yang amat memerlukan di seluruh Sukau adalah sebahagian usahanya untuk mengurangkan beban di kalangan ibu bapa yang kurang berkemampuan.

Katanya, sebagai sebuah Syarikat Berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah, KPD wajar memberikan bantuan tersebut sebagai sebahagian tanggungjawab social korporatnya.

Walaupun sesi persekolahan sudahpun bermula, kata Saddi, pembeian tersebut belum terlambat untuk meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dan memilik bilangan anak-anak yang masih bersekolah rendah dan menengah.

Dalam pada itu beliau menyarankan syarikat-syarikat swasta dan milik kerajaan khususnya yang memiliki aktiviti perniagaan di kawasan Dun Sukau supaya turut memberikan sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan di sini demi untuk kecemerlangan masa depan pendidikan mereka.


Saddi kemudian melakukan lawatan singkat ke kawasan kampung tersebut termasuk meninjau Projek pembinaan rumah PPRT dan melawat Bot Klinik Bergerak 1Malaysia yang kebetulan sedang memberi perkhidmatan kesihatan di Kampung Mumiang.