Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Nelayan pesisiran terima manfaat dari blueprint pembangunan Dun Sukau

TANJUNG ARU, : Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan masyarakat nelayan mendiami 16 buah kampung di pesisiran pantai di sini memang memerlukan sebuah penempatan nelayan moden yang tersusun bagi menyuntik pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau itu berkata, penempatan itu yang dilengkapi kemudahan asas perikanan, keperluan infrastruktur dan perumahan nelayan tersusun boleh memberi pulangan berganda kepada golongan itu, seterusnya memastikan generasi pelapisnya terus meraih  sebahagian dari pertumbuhan ekonomi di sebelah sini.

“Perkara ini sudah sekian lama tersemat di minda saya dan ianya telah dimasukkan di dalam  Blueprint Pembangunan Kawasan Persisiran Pantai Dun Sukau.

“Saya juga sudah dua kali mengemukakan cadangan ini di Persiadangan Dewan Undangan Negeri termasuk pada bulan Mac tahun ini (2014),” katanya.

Menyatakan perkara itu pada majlis menyampaikan Bantuan Tangki 1Malaysia kepada penduduk di kawasan persisiran itu di Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Batu di sini, Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Saddi berkata, cadangan mengujudkan kawasan nelayan moden itu sudah diminitkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Persisiran Pantai Dun Sukau yang ditubuhkan tahun ini.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Datuk Saddi merupakan salah seorang jawatankuasanya.

Saddi berkata, peranan  memulihara dan membangunkan semua kampung di pesisiran itu memerlukan kreativiti dan sikap proaktif semua pihak termasuk rakyat, memandangkan kesukaran kerajaan,  khususnya MPS meneruskan pembangunan Daerah Sandakan.

Tegas Saddi, berasaskan kedudukan 16 buah kampung itu  yang sekian lama diletakkan di bawah tanggungjawab  pentadbiran majlis itu,  maka menjadi keperluan banyak pihak memain peranan masing-masing demi kebaikan kawasan persisiran itu.

Apatah lagi, kata Saddi, sumber utama ekonomi penduduk berkenaan bergantung sepenuhnya kepada bidang perikanan yang sebahagiannya masih bersifat nelayan tradisional.

“Itulah sebabnya, saya menyarankan beberapa agensi termasuk Ko-Nelayan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan banyak lagi agensi menganggotai jawatankuasa khas tersebut bagi memantapkan tanggungjawab merialisasikan sebuah kawasan pertumbuhan ekonomi nelayan di sini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Hal Ehwal Bumiputera MPS, Haji Wahab Alpa yang mewakili Presiden MPS, Datuk Ir James Wong.

Majlis itu turut dihadiri oleh semua pengerusi JKKK dan Ketua-ketua Kampung di kawasan tersebut diikuti oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dun Sukau, Amirudin Mohd Damit, Pegawai Kemajuan masyarakatnya, Dasran Haji Dahalan, para pemaju mukim dan para penduduk setempat.

Datuk Saddi berkata, semua pemimpin akar umbi dan penduduk di kawasan persisiran itu perlu terus memberikan tindakan balas yang positif ke atas segala langkah kerajaan membangunkan kawasan tersebut.

Dalam masa yang sama, katanya, masyarakat kampung perlu saling berkerjasama serta memberikan imput dan cadangan berkesan untuk disampaikan kepada pihak pelaksana, agar setiap program pembangunan yang disalurkan memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat.

“Terutama kepada kalangan pengerusi JKKK dan Ketua Kampung, jangan lari daripada ‘kod etika’ perkhidmatan. Selain memberi nasihat dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan,   mereka boleh menerima idea-idea rakyat yang berkesan untuk disampaikan kepada kerajaan,” katanya,

Sambil mengingatkan bahawa program pemberian bantuan tangki 1 Malaysia itu sebagai sebahagian daripada tangggungjawab kerajaan yang akan diteruskan, perkongsian maklumat, pendapat serta aspirasi (halatuju) antara pimpinan dan rakyat, jaminan mengekalkan kuasa kerajaan hari ini. 

Dalam pada itu, Saddi turut mengulangi amarannya kepada para pemimpin akar umbi itu supaya mengawasi pergerakan sonsang penduduk di kawasan masing-masing bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala nagitf termasuk kegiatan penagihan dan pengedaran najis dadah.

“Kalau memang ada kegiatan negatif seperti ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Tuan Haji Wahab (wakil Presiden MPS) berhubung kegiatan menagih dan mengedar dadah di kawasan ini, saya minta Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung segera bertindak,” katanya,

Haji Wahab dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan terdapat beberapa laporan kegiatan menagih dan mengedar dadah di beberapa kampung terstentu di sini yang sudah mendapat perhatian pihak berkuasa keselamatan Daerah Sandakan.

Gejala sosial itu yang tidak boleh dibiarkan berterusan, apalagi tanpa perhatian pemimpin setempat dan penduduk kampung,  bakal mengancam keselamatan dan ketenteraman rakyat di kawasan itu, kata Haji Wahab.

Kepada Datuk Saddi, usahasama kerajaan dan rakyat untuk membangun dan menjana pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut akan musnah jika gejala sosial khususnya kegiatan penagihan dan pengedaran najis dadah itu tidak dimusnahkan sama sekali.

“Justeru Saya merayu kepada semua pihak supaya perhebatkan peranan membenteras gejala buruk ini demi kebaikan rakyat dan negara kita,” katanya.