BATU PUTEH: Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah, Datuk
Saddi Haji Abdul Rahman menyarankan pihak pengurusan badan pelaburan milik
kerajaan negeri itu supaya lebih telus dan profesional dalam menjalankan
peranan serta tanggungjawabnya secara lebih berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau itu berkata, semua pihak di
peringkat pengurusan KPD perlu bersikap lebih terbuka bagi mempastikan sayap
pelaburan kerajaan itu bukan saja mencatatkan keuntungan lebih baik tetapi
menjadi salah satu agensi kerjaan negeri antara yang terbesar pada masa depan.
“Apa yang lebih penting, pihak pengurusan dapat menjalankan segala
tanggungjawab yang telah diputuskan sebulat suara oleh Mesyuarat Ahli Lembaga
Pengarah (ALP) KPD. Sebagai Pengerusi KPD, saya ingin mempastikan tanggungjawab berkenaan
dapat dilaksanakan demi kebaikan bersama” katanya.
Bercakap kepada pemberita pada majlis rumah terbuka anjuran beliau
di perkarangan kediaman ibu bapanya di Kampung Perpaduan, Batu Puteh di sini,
Saddi berkata, masih ada beberapa keputusan penting badan ALP KPD itu masih
belum dapat dilaksanakan sehingga kini.
Namun, kata Saddi ketika memasuki fasa
kedua beliau dilantik semula sebagai Pengerusi agensi tersebut, beliau berharap
segala permasalahan tersebut dapat diperbaiki demi kebaikan dan masa depan
sayap pelaburan kerajaan negeri itu.
Saddi dilantik semula oleh Ketua Menteri sebagai Pengerusi KPD awal
Jun lepas bagi memasuki panggal kedua perlantikannya sejak tahun 2011.
Ketika ini, katanya, KPD
menjalankan beberapa aktiviti pelabuan
melibatkan bidang pertanian seperti pembaiakan madu lebah dan usahsama dalam
perladangan kelapa sawit dan sebagainya.
Bagaimanapun beliau berharap program-program seumapama itu yang
diberikan tumpuan di kawasan pantai barat dan utara dapat dikembangkan di
kawasan pantai timur negeri demi memberikan peluang kepada rakyat di kawasan
ini menikmati faedah daripada sumbangan ekonomi agensi itu.
“Kita mencadangkan beberapa perkara penting pada mesyuarat ALP KPD
yang diadakan tidak lama lagi. Namun apa yang saya harapkan, segala keputusan
mesyuarat ALP KPD yang menjurus kepada
keuntungan agensi ini, kerajaan negeri dan rakyat, dapat dilaksanakan oleh
mereka yang diberi amanah,” katanya.