Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Rakyat perlu fokus memajukan diri - Saddi

BATU PUTEH: Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, rakyat di kawasan ini sudah cukup matang dalam mengimbangi keperluan politik dan pembangunan mereka dan tidak akan terikut-ikut dengan tindak tanduk yang hanya memberi kerugian kepada masa depan masing-masing.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini berkata, rakyat sebaliknya perlu memberi fokus kepada usaha memajukan diri serta kawasan setempat sesuai dengan pelbagai peluang yang disediakan kerajaan.

“Apabila selesai kempen pilihanraya atau apa juga pemilihan jawatan di peringkat parti dan sebagainya, hentikanlah persaingan soal politik sekektika, Berikanlah tumpuan kepada usaha memajukan diri dan pembangunan setempat.

“Kita perlu kembali kepada usaha dan gagasan yang disasarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) demi mempastikan kerajaan ini terus mampu memberikan khidmat yang lebih berkesan kepada seluruh rakyat, sekaligus membolehkan Dun Sukau menikmati perubahan pembangunan yang lebih cemerlang,” katanya.

Saddi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah terbuka anjurannya di perkarangan kediaman ibu bapanya di Kampung Perpaduan Batu Puteh di sini. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt. A. Sahak Rahmat, Penolong Pegawai Daerah, Encik Madinin Jinin, para pegawai mewakili agensi kerajaan negeri dan persekutuan, diikuti oleh para pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi di seluruh kawasan ini.

Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah berkata, pelbagai tumpuan pembangunan yang diberikan oleh beliau sebelum ini telah banyak membawa kebaikan kepada rakyat di semua mukim kawasan itu termasuk berkaitan keperluan bekalan air, pemilikan geran tanah, penarafan kampung, program sosioekonomi dan pembangunan masyarakat, keagaman, pendidikan, aktiviti kebajikan dan masyarakat belia.

Katanya, segala keperluan pembangunan tersebut dapat disediakan dengan kerjasama rakyat dan para pemimpin akar umbi setenpat, semata-mata demi memenuhi matlamat pembangunan BN di kawasan ini, dan bukan atas kehendak politik peribadi.

“Sejarah perkhidmatan saya bersama-sama rakyat ini harus menjadi halatuju kita bersama. Apalagi kawasan Dun Sukau ini luasnya seperti Negeri Johor. Di negeri itu ada Menteri Besar dan ramai wakil-wakil rakyat. Tetapi di kawasan ini hanya ada seorang Adun dan seorang Ahli Parlimen.

“Maknanya, kita tidak perlu lagi melayan soal remeh temeh, apalagi fitnah dan hasutan bertujuan menjatuhkan sesama kita sebagaimana yang yang aktif di media sosial sekarang. Kita perlu mengutamakan soal pembangunan dan kemajuan yang berteraskan perpaduan rakyat ini, “kata Saddi.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri rumah terbuka tersebut yang merupakan penutup kepada aktiviti program IHYA’ RAMADAN yang dijalankan sepanjang bulan ibadah itu melibatkan semua 42 kampung daripada lapan mukim dalam Dun Sukau.

Majlis rumah terbuka kali ini dilihat istimewa kerana para tetamu dihidangkan pelbagai juadah yang disediakan di setiap khemah-khemah khas seperti kuih muih, ketupat dan banyak lagi, diikuti buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan dan buah tarap yang menjadi kegemaran ramai. Majlis bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang itu turut diserikan dengan kehadiran peenyanyi Ahmad Zakaria dan Sabhi Saddi.

Selain melahirkan rasa sedih beliau dan rakyat kawasan ini ke atas tragedi menimpa pesawat komersial negara MH17 baru-baru ini, diikuti nasib yang melanda rakyat Pelastine di Gaza, Saddi mahu agar musibah dan kekejaman Rejim Zionis Israel itu dijadikan ikibar bagi memperkukuhkan solidariti rakyat bagi menentang kezaliman tersebut.

“Saya dan seluruh rakyat Dun Sukau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menembak jatuh MH17 di Utara Ukraine hingga mengorbankan semua krew dan penumpang 17 Julai lepas.

“Rakyat kawasan ini juga terus mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Rejim Zionis yang tidak pernah puas menzalimi rakyat Palestin. Kita berharap Bangsa-Bangsa Bersatu dan semua negara Islam perlu melakukan sesuatu demi mengelakkan lebih ramai nyawa terkorban,” katanya.

Saddi kemudian mengajak hadirin membaca surah Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada semua mangsa kekejaman terlibat.

Sehubungan itu, Saddi menggesa rakyat di kawasan ini khususnya yang berada di kawasan pesisiran pantai Dun Sukau agar terus memberikan kerjasama kepada semua anggota pasukan keselamatan dalam menjaga keselamatan perairan Pantai Timur Sabah.

Katanya, tindakan pihak berkuasa Esscom mengenakan perintah berkurung di beberapa kawasan penempatan nelayan berkenaan perlu mendapat sokongan padu penduduk setempat kerana ianya bukan saja melicinkan gerakan mengesan kehadiran pihak yang tidak bertanggungjawab ke kawasan itu.

“Tetapi yang lebih penting supaya kawasan ini bebas daripada kehadiran penjenayah seperti penculik, perompak, penyeludup dan sebagainya yang dipercayai datang dari negara jiran.  Apabila ianya diatasi kehidupan kita adalah lebih baik,” katanya.