Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Kg Abai antara 100 kawasan Ekopelancongan terbaik dunia - LEAP

ABAI: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman melahirkan rasa bangganya di atas pencapaian Kampung Abai yang berada di kedudukan antara 100 terbaik dalam kalangan pengusaha Ekopelancongan di seluruh dunia.

Saddi berkata, beliau merasa teruja kerana Kampung Abai dipilih dari kalangan 1,230 distinasi eko pelancongan dari seluruh dunia menerusi pengiktirafan pihak Land Empowerment Animals People (LEAP), sebuah badan pernilaian Ekopelancongan bertaraf antarabangsa, berfungsi pembiayaan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

“Saya begitu terharu kerana yang meletakkan taraf dan kedudukan kampung ini di mata dunia ialah daripada minat dan kegigihan anak-anak kampung Abai sendiri.

“Mereka menjadi pelatih dan mengembangkan aktiviti pelancongan berkonsepkan kemasyarakatan hingga ke beberapa negara luar di Eropah dan Asia, kemudian pengalaman ini digunakan mereka untuk memajukan aktiviti eko pelancongan di kampung ini,” katanya.

 Kata Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa Negeri Sabah, khabar gembira itu akan beliau kongsikan bersama seluruh rakyat DUN Sukau dan Kinabatangan serta pihak kerajaan terutama dalam membantu memajukan industri pelancongan di dalam kawasan ini dan negeri Sabah.
  
Sambil menyebut beberapa nama, beliau memuji kesungguhan anak jati kampung Abai yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif KOPEL Bhd, Rosli Haji Jukrana kerana gigih membimbing anak-anak jati kampung berkenaan untuk menjayakan aktiviti Ekopelancongan serta kewujudan Homestay, Moido Walai Toko Kampung Abai di bawah penyelarasan Projek Kemasyarakatan Anak Abai (CAP).

Berucap ketika merasmikan program Penerangan CAP dan perasmian pejabat badan itu di Kampung Abai kelmarin, Saddi berkata, keupayaan CAP membawa masuk 800 orang pelancong daripada pelbagai negara luar sejak Januari tahun ini serta meraih pulangan RM135 ribu dalam tempoh itu amat membanggakan beliau.

Katanya, walaupun CAP baru ditubuhkan sejak empat tahun lalu, tetapi belia-belia yang mengikuti pelbagai program latihan dalam bidang Ekopelancongan di pusat itu sudah berkemampuan mengembangkannya demi meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat.

“Saya difahamkan oleh Saudara Rosli telah ada lebih 40 orang belia dari kalangan anak-anak Abai mengikuti program yang disifatkan bekerja sambil belajar dalam industri ini di sini.

“Malah beliau sendiri mengharapkan kehadiran ramai belia kampung ini terutama di kalangan mereka yang memiliki pelbagai kemahiran untuk memajukan industri pelancongan di kampung itu ke arah berskala besar secara jangka panjang,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Amiuridin Mohd Damit, Pegawai Kemajuan Masyarakat Dun itu, Dasran Haji Dahalan, Penyelaras CAP, Jainah Amit dan para anggotanya, serta sebahagian besar para pemimpin akar umbi DUN Sukau.

Pengembangan bidang Ekopelancongan di kampung Abai itu, kata Saddi akan memberikan lebih pilihan kepada masyarakat asal kampung itu yang sebahagiannya sudah berhijarah di bandar, untuk kembali ke kampung asal mereka.

“Bayangkanlah hanya dengan memiliki sebuah rumah yang diperbaiki dan memiliki kemudahan bilik tidur serta tandas yang baik, penduduk kampung boleh mengujudkan  
sebuah homestay dan meraih pendapatan bulanan yang lebih baik daripada di bandar.

“Kedudukan yang Abai yang terkenal sebagai pengeluar sumber makanan sungai yang popular seperti udang galah, ikan patin, pelbagai jenis buah-buahan, diikuti pelbagai spesis hidupan liar dan khazanah hutan semulajadi yang kaya cantik akan terus menggalakkan kehadiran ramai pelancong asing ke kampung ini,” katanya.

Oleh itu, Saddi mengajak masyarakat Abai yang belum mampu merubah kehidupan mereka di bandar supaya kembali untuk bersama-sama memajukan kampung tersebut samada di bidang berkaitan pelancongan, pertanian dan perikanan yang masih lagi mendatangkan pulangan.

Beliau juga akan menyokong semua program CAP termasuk bersedia untuk membawa Menteri Pelancongan, Alam Sekitar dan Kebudayaan Negeri dalam menjayakan program CAP sebagai usaha mendapat sokongan padu pihak kerajaan negeri.

Saddi juga menyatakan semula cadangannya agar Jabatan Muzium Negeri Sabah mengujudkan Muzium Mini Martin Osa Johnson di Kampung Abai, sebagai meningkatkan lagi  kehadiran pelancong bagi mengetahui sejarah kehadiran pasangan pengambara daripada Kansas Amerika Syarikat itu yang menetap beberapa tahun di sini lebih 80 tahun lalu.

Terdahulu, ketika membentangkan pencapaian operasi CAP, Jainah berkata, sehingga kini pihaknya telah menerima kehadiran ramai pelancong daripada Eropah termasuk Jerman dan Franchis, Amerika Syarikat, selain daripada negara-negara di Asia termasuk Korea dan China.

Katanya, selain membawa mereka menyaksikan keujudan hidupan liar seperti Gajah Pigmy, Orang Hutan, Monyet Bangkatan dan buaya putih, pelancong terlibat di bawah menyertai program menanam pokok yang menyebabkan sebahagian besar mereka berminat untuk datang kembali bagi melihat pokok yang mereka tanam kelak.

Rosli yang turut memberi taklimat kemampuan program CAP itu berkata, pihak menerima banyak tempahan pelancong luar negara untuk menginap dan menyertai aktiviti eko pelancongan di kampung itu sehingga hujung tahun 2014.

“Jika bukan kerana tragedi MH370 dan MH17 memang lebih ramai pelancong memasuki Abai. Namun semua ini ada hikmahnya untuk negara, dengan mengharapkan tragedi sedih itu tidak berulang, kami akan juga melakukan terbaik demi menjayakan bidang eko pelancongan dalam Dun Sukau dan Kampung Abai sendiri,” katanya.

Tahir ketika menyampaikan ucapannya menegaskan, badan JKKK itu terus memberikan sokongan penuh kepada CAP namun berharap segala aktivitinya dilaporkan secara rasmi sebagai usaha menyelaraskan program pembangunan dan keselamatan di kampung tersebut.

“Saya sendiri berbangga kerana Datuk Saddi memberikan sokongan padu kepada keujudan CAP yang sudah tentu ianya akan memberikan impak tinggi kepada peningkatan ekonomi rakyat di kawasan ini,” katanya.