Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Jawatankuasa bertindak Kg Paris diwujudkan

PARIS, KINABATANGAN:  Usaha menggerakkan pembangunan pembangunan serta pendekatan menangani pelbagai masalah serta kemuskilan rakyat di kawasan in diperhebatkan menerusi penubuhan sebuah Jawatankuasa Bertindak Kampung Paris di sini baru-baru ini.

Pengerusinya merangkap Pemaju Mukim Paris, Japar Yusup berkata, jawatankuasa tersebut yang diletakkan di bawah Unit Tindakan Pimpinan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dun Sukau berperanan memberikan khidmat berkesan dengan mempastikan segala keperluan dan rungutan rakyat di semua tujuh kampung dalam mukim itu dapat diselesaikan pada masa singkat.

Katanya, antara anggota jawatankuasa badan bertindak itu melibatkan semua tujuh orang Pengerusi JKKK yang terdapat di mukim tersebut iaitu Ransa Wanna  (Kg. Koyah) Timbalan Pengerusi merangkap Pengerusi Biro Agama, Zulhaby Haji Tujuh (Kg. Paris 1) Setiausaha merrangkap Pengerusi Biro Kebudayaan, Mohamad Hambali Darum (Kg. Paris 2) Makmal Pembangunan, Abd. Latif Hamzah (Kg. Paris 3) Makmal Kebajikan, Haji Ahmad Kembali (Sri Takala) Makmal Tanah, Ramli Ahmad (Koyah B) Makmal Belia dan Mahmusa Jamaludin (Koyah Bersatu) Makmal E Kasih.  


Wakil Ketua Anak Negeri, Ardin Suradi yang diberi penghromatan sebagai penasihat kepada jawatankuasa bertindak tersebut dilantik sebagai Pengerusi Biro Pendidikan dan seorang lagi aktivis wanita di kampung berkenaan  dikenali sebagai Yati dipilih sebagai Pengerusi Biro Wanita dan Keluarga badan bertindak Kampung Paris.


Ketua Kampung Paris, Sh Mislin Sh Bakir turut diberi penghormatan sebagai Penasihat 2 badan bertindak yang julung-julung kali diwujudkan di kampung tersebut.

Kampung Paris wujud sejak awal tahun 80 an apabila kerajaan negeri telah membuka sebahagian kawasan tanah pertanian di kawasan tersebut sebagai Skim Tanah Pekebun Kecil yang dikhususkan kepada masyarakat tempatan yang tidak mempunyai tanah.

Difahamkan peluang tersebut turut mengundang masyarakat luar dan kaum Bugis yang berjaya memiliki dan membeli tanah berhampiran dan di kawasan tanah pertanian tersebut dari kalangan penduduk tempatan yang tidak berminat menyertai program berkenaan.  

“Saya amat yakin dan percaya keujudan semua jawatankuasa Tindakan UPPM ini dapat memberikan sumbangan berkesan kepada rakyat, sekaligus bakal melibatkan penyertaan semua kumpulan rakyat dari pelbagai peringkat usia ini,” katanya.

Kata Japar, senarai jawatankuasa yang dipersetujui pada mesyuarat tersebut akan diserahkannya kepada Pemimpin Pembangunann Masyarakat Dun Sukau, Amirudin Mohd Damit untuk pengetahuan wakil berkenaan, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman.

Sehubungan itu, kata Japar, satu program suai kenal parta pemimpin baru yang dilantik di mukim berkenaan akan diadakan di Kampung Paris 3 dijangka 21 Jun ini.

Katanya, program itu yang akan mengadakan pelbagai acara termasuk sukan rakyat dan persembahan pentas dijangka akan dihadiri dan dirasmikan oleh Adun Sukau.

“Antara lain tujuan program ini ialah untuk memperkenalkan para pemimpin akar umbi yang baru diberi kepercayaan di bawah pimpinan UPPM itu agar mereka mudah didekati dan memberikan khidmat kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu dari itu, Ardain turut menasihatkan semua pemimpin akar umbi yang diberikan mandat dan kepercayaan itu supaya sedia berganding bahu bagi mempastikan semua tanggungjawab mereka dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberikan manfaat kepada rakyat.


Ransa dalam pada itu turut menggesa semua Pengerusi JKKK di bawah badan bertindak tersebut bersikap peka dan jujur kepada tanggungjawab masing-masing, seterusnya memberikan sokongan padu ke atas dayausaha yang sedang dilakukan Datuk Saddi dalam membangunkan kawasan Dun Sukau termasuklah mukim Paris.