Beberapa hari setelah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) saya bertemu dengan sekumpulan pelajar yang sedang mengikuti program persiapan untuk dihantar ke luar negara. Mereka merupakan pelajar Melayu tajaan kerajaan. Dalam perbualan itu mereka menanyakan tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam PRU-13. Mereka bertanya apakah benar terdapat 40,000 pengundi dari Bengladesh, wujudnya pengundi hantu dan lampu padam sewaktu proses pengiraan.
Sekiranya pelajar muda tajaan kerajaan sendiri mempercayai apa yang mereka baca dan dengar dalam dunia siber, orang lain bagaimana pula? Soalan yang bermain dalam fikiran saya adalah mengapakah kumpulan pelajar ini tidak diberikan penjelasan sebenar yang berlaku?
Benar, mereka belum boleh mengundi tetapi telah timbul keraguan di fikiran mereka tentang proses pilihan raya negara. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ternyata tidak telus dan BN menang kerana ada penipuan. Pada mereka ini mereka masih di Malaysia, bayangkan bagaimana kalau mereka berada di luar negara.
Moral ceritanya ialah kita gagal memberikan penjelasan yang sewajarnya di dunia maya. Rata-rata anak-anak muda mempercayai bulat-bulat apa yang mereka baca dan dengar dalam Facebook (FB), Twitter dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Alam siber boleh menjadi dunia koboi, tanpa peraturan dan hukum. Dan pengguna media sosial selalunya mempercayai apa yang mereka baca. Apa lagi kalau sifatnya penuh sensasi.
Asakan sentimen benci
Nampaknya BN kali ini ditewaskan oleh media sosial yang ganas dan tanpa belas kasihan. Pembangkang menggunakannya dengan secara berkesan. Perwira maya BN bukan tidak melawan, tetapi asakan dari pihak sebelah terlalu hebat dan dahsyat.
Saya percaya, oleh kerana ketiadaan isu nasional yang benar-benar besar, pembangkang memainkan sentimen benci BN dan UMNO secara berkesan. Mengundi mana-mana parti yang bersama-sama UMNO dianggap sokongan pada UMNO. DAP memanfaatkan sentimen ini sepenuhnya.
Sepanjang masa berkempen, banyak video yang dimainkan dalam dunia siber yang secara halus menolak BN dan UMNO. Dalam sebuah video, sekumpulan anak-anak muda berbangsa Cina digambarkan sebagai penyokong BN dengan ghairah membawa bendera dan memakai baju BN. Mereka masuk ke sebuah kedai makan. Mereka menemui dua orang, lelaki dan wanita, yang menjelaskan pada mereka ‘kegagalan’ BN dalam menangani isu keselamatan dan rasuah.
Pada akhirnya salah seorang daripada anak muda dalam video itu menanggalkan bajunya dan melipat bendera yang dibawanya. Ini diikuti oleh teman-temannya. Video ini tidak menunjukkan sebarang kebencian, atau dibuat secara kasar, malah menunjukkan bagaimana anak-anak muda itu ‘tunduk’ pada penerangan dua orang dewasa tadi. Di hujung video ditunjukkan logo ‘Ubah’.
Jenis video seperti inilah yang sebenarnya memenangkan hati dan perasaan kaum Cina. Selain kecaman, tohmahan dan kata kesat yang muncul, banyak juga bahan yang dibuat secara kreatif dan berseni untuk tujuan menambat hati pengundi. Program berterusan beginilah yang banyak membentuk pendirian kaum Cina terhadap BN dan UMNO kali ini.
Mesej mudah: Serang!
Pemimpin UMNO dan BN menggunakan Twitter, malah hampir setiap orang mempunyai akaun. Twitter pemimpin UMNO dan BN selalunya bercakap tentang majlis yang mereka rasmikan, program yang mereka hadiri dan mesej tentang transformasi dan masa depan. Twitter pemimpin pembangkang dan penyokong mereka membelasah pemimpin UMNO dan BN. Mesej mereka mudah: Serang!
Mungkin mereka yang dalam kerajaan tidak boleh bertindak ‘seganas’ pihak pembangkang. Pembangkang menggunakan media sosial untuk berbuat apa saja bagi menunjukkan kerajaan kelihatan buruk, salah dan gagal di mata rakyat. Di luar bandar, anak-anak muda yang dipengaruhi oleh media sosial tadi kembali mengundi dan ada kalanya turut mencorakkan keputusan setempat.
Perang masa kini dan masa depan merupakan perang siber. BN dan UMNO harus mengambil pendekatan baru dalam soal ini. Tindakan yang lebih agresif, terancang dan berani harus dilakukan. Tohmahan harus segera dilawan. Penjelasan harus segera diberikan. Pelajarilah bagaimana media sosial mewarnakan pilihan raya kali ini. Belajarlah menjadi proaktif bagi menangani perubahan baru. Generasi muda hari ini tidak banyak bergantung pada media arus perdana.
Sementara BN dan UMNO mempersiapkan strategi masa depan, jangan dilupakan anak-anak muda yang hidup dengan peralatan tercanggih semasa, yang mendapat maklumat dari pelbagai sumber. Sebahagian besar daripada maklumat ini mungkin merupakan dakyah pembangkang. Tetapi banyak daripada anak-anak muda pelajar tajaan kerajaan sendiri menerimanya sebagai kebenaran.
Jangan pandang ringan golongan ini. Asakan maklumat yang tidak betul sekiranya dibiarkan akan menjadi titik mula keraguan terhadap kredibiliti pemerintah.
Satu hari nanti mereka juga akan menjadi pengundi.