Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

SEDCO diminta mengambil inisiatif bina lot kedai



Saddi ketika melawat tapak kebakaran yang memusnahkan 13 lot kedai di Kampung Paris 3, di Kinabatangan
Saddi menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran ketika membuat pertemuan dengan penduduk di Kampung Paris
Salah seorang penerima bantuan ikhlas dari YB ADUN Sukau 

Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) diminta mengambil inisiatif membina lot kedai untuk kemudahan peniaga dan pengunjung di Kampung Paris 3, dekat sini.Gesaan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman yang menegaskan usaha itu perlu bukan saja bagi memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin jika menggunakan bangunan diperbuat daripada konkrit, malah sebagai langkah membangunkan kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti tapak sesuai untuk membina bangunan berkenaan bagi menggantikan kedai kayu yang musnah dalam kebakaran awal bulan ini."Kita akan membina semula bangunan kedai bagi membangunkan kawasan ini. Kedudukan kampung ini yang terletak antara jalan Sandakan-Lahad Datu membolehkan ia sesuai dibangunkan dengan prasarana kerana menjadi kawasan tumpuan pengunjung.

"Tapak yang kita akan cadangkan untuk dibangunkan semula termasuklah tapak lama kedai kayu yang musnah dalam kebakaran.Bagaimanapun, kita perlu mengkaji kesesuaian tapak itu terlebih dulu dan mengenal pasti sama ada ia tanah milik kerajaan atau persendirian."Perkara ini akan dibawa dalam perbincangan di peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas membuat pertemuan dengan penduduk di Kampung Paris 3, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kinabatangan, Arisin Ariffin dan Pemaju Mukim Paris, Samri Sher Mohamad.Dalam pertemuan itu, Saddi turut menyampaikan bantuan kepada 13 mangsa kebakaran. Kebakaran pada 1 Disember lalu memusnahkan sederet bangunan kayu menempatkan 13 lot kedai di kampung berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi.

Saddi turut mengingatkan peniaga dan penduduk kawasan berkenaan agar sentiasa berhati-hati serta mengambil iktibar daripada kejadian itu dengan memastikan tahap keselamatan harta benda mereka terjamin."Kerajaan sentiasa mencari langkah untuk meringankan beban penduduk termasuk dengan menyalurkan bantuan. Pada masa sama,  penduduk dan peniaga perlu menitikberatkan aspek keselamatan bagi menjamin kesejahteraan mereka," katanya.