Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Ketiadaan rawatan kesihatan punca kes kematian ibu mengandung

Saddi (tiga dari kiri) ketika melancarkan Mini Karnival Program NBOS Peringkat Daerah Kinabatangan, di Kinabatangan
Saddi (kiri) menyaksikan Johari menyampaikan sijil kepada pihak pengurusan ladang dalam program Mini Karnival Program NBOS Peringkat Daerah Kinabatangan, di Kinabatangan
Saddi bergambar beramai-ramai bersama penganjur program Mini Karnival Program NBOS Peringkat Daerah 


Ketiadaan rawatan dan perkhidmatan kesihatan awal dikesan antara halangan dihadapi penduduk khususnya di kawasan terpencil dan ladang hingga menyebabkan kes kematian ibu mengandung dan anak.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, berkata selain tidak mendapat kerjasama daripada syarikat pengurusan ladang, kes kematian yang dilaporkan juga berpunca daripada sikap dan kesedaran penduduk itu sendiri.
Bagi mengurangkan risiko itu, katanya, pihak pengurusan syarikat perladangan perlu mengambil inisiatif meningkatkan komitmen dan sokongan mereka terhadap apa juga langkah diambil jabatan kesihatan khususnya unit kesihatan ibu dan anak.
"Usaha diambil jabatan kesihatan menerusi penubuhan pasukan klinik bergerak ke ladang dan kawasan terpencil perlu mendapat kerjasama bagi memastikan penjagaan kesihatan secara berterusan diberi kepada penduduk khususnya ibu mengandung dan anak.
"Sokongan mereka membolehkan aktiviti kesihatan dikendalikan jabatan kesihatan dapat dikekalkan seterusnya memudahkan pelaksanaan semua program dirancang kerajaan ke arah meningkatkan taraf kesihatan penduduk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Mini Karnival Program NBOS Peringkat Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag, di sini, kelmarin. Hadir sama, Pegawai Kesihatan Kawasan Kinabatangan, Dr Johari Awang Besar. 

Saddi berkata, kerjasama pihak pengurusan ladang bukan saja membolehkan usaha mendaftarkan ibu mengandung di klinik kesihatan dibuat sekaligus mengesan lebih awal masalah dihadapi seperti kekurangan darah, malah dalam jangka panjang berupaya mengurangkan risiko kematian ibu mengandung dan anak.
"Boleh dikatakan setiap tahun kes kematian ibu terutama dari ladang berpunca akibat pendarahan atau darah tinggi yang teruk selain kebanyakan kes bersalin di ladang turut dikendalikan orang yang tidak berpengalaman sehingga mendedahkan penduduk kepada bahaya.
"Masalah ini boleh dicegah lebih awal menerusi usaha pencegahan serta pengawalan secara bersepadu secara berterusan selaras sasaran meningkatkan kelahiran selamat 100 peratus di kalangan ibu mengandung menjelang 2015," katanya. 
Program NBOS terbabit bertujuan untuk memberi kesedaran kepada komuniti terutama pengurusan ladang mengenai kepentingan perkhidmatan penjagaan ibu mengandung dan usaha meningkatkan mutu kesihatan kalangan penduduk dikawasan terpencil.
Saddi berharap komuniti setempat khususnya pengurusan syarikat perladangan mengambil peluang dan perkhidmatan disediakan menerusi program berkenaan ke arah meningkatkan taraf kesihatan.