Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Ada bukti lengkap, serahkan kepada RCI


Presiden Upko Tan Sri Bernard Giluk Dompok meminta sesiapa juga yang mempunyai bukti atau butiran-butiran lengkap yang boleh digunakan membantu siasatan RCI supaya tampil mengemukakan laporan kepada RCI.

Katanya, mereka yang mempunyai bukti dan mendapati siapa yang memiliki kad pengenalan palsu melalui pembohongan yang mungkin disahkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan, sila kemukakan kepada RCI untuk siasatan.

“Inilah masa kita mencari penyelesaian dan mengemukakan dokumen terutama kad pengenalan palsu yang telah diberikan kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Upko Keningau 2012 di Dewan Masyarakat di sini, kelmarin

Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, dalam hal ini bukan sahaja alhi-ahli Upko tetapi semua rakyat di negara ini khususnya di Sabah yang mempunyai bukti perlu mengemukakannya kepada RCI.

“Jangan asyik memperkatakan RCI lambat bertindak dan tidak dapat menangani masalah PATI khususnya di Sabah tetapi tampillah dan bantulah anggota-anggota RCI untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka,” kata Dompok.

Katanya, anggota-anggota RCI perlu diberi tempoh untuk membolehkan mereka membuat perancangan yang rapi untuk menangani masalah pemlikan kad pengenalan di kalangan PATI di negeri ini.

Jelas Dompok, kalau rakyat sabar menunggu bertahun- tahun lamanya untuk RCI ditubuhkan, mengapa pula rakyat tidak sabar menunggu dalam tempoh beberapa bulan atau mungkin setahun hasil kerja badan RCI.

Justeru itu katanya, rakyat perlu bersyukur dan sabar serta memberi peluang kapada RCI untuk menjalankan sisatan dengan lebih terperinci.

Menurut Dompok banyak perkara perlu diambil kira dalam RCI agar ia benar-benar mencapai matlamat penubuhannya.

Mengenai dengan perjuangan Upko dalam Barisan Nasional (BN), Dompok berkata, telah banyak yang telah diperjuangkan dan diterima oleh BN.

Katanya, ini termasuklah penubuhan RCI, pembelajaran Bahasa Kadazan Dusun di sekolah dan Bahasa Murut juga telah dimumumkan oleh Perdana Menteri dalam siri lawatannya di daerah ini baru- baru ini.

Berucap sama di majlis Itu Ketua Bahagian Upko Keningau, Datuk Justin Guka dan Pengerusi Penganjur Datuk John Angian.

Hadir sama Naib Presiden Upko, Datuk Wances Angang, Penasihat Upko Nasional, Tan Sri Sufian Koroh, barisan kepimpinan Ahli Majlis Tertinggi Upko, pemimpin- pemimpin parti komponen BN dan pemimpin-pemimpin masyarakat


Sumber: NewSabahTimes 12 Nov 2012