Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Peruntukan akan disalurkan secara adil untuk setiap kampung

Saddi meninjau program pembangunan di kampong Sumangat sambit ditemani Pengerusi JKKKnya, Haji Abdul Wahab Alpa

Saddi menyampaikan graduasi kepada pelajar tabika Yayasan Sabah di Kampung Sumangat Payau, Sukau

Antara orang ramai yang hadir di Program Graduasi Tabika Yayasan Sabah Kampung Sumangat Payau
“ Saya akan pastikan pengagihan secara adil peruntukan kerajaan di setiap kampung dalam Dun Sukau kerana saya sedar  rakyat di  seluruh kawasan Dun Sukau masih memerlukan pembelaan dan pembangunan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman.

Saddi berkata, beliau tidak dapat menafikan hak rakyat di kawasan ini untuk menuntut  pembangunan  yang lebih,  walauupun di pihaknya hanya menerima peruntukan  agak  kecil  di bawah peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri .

Sebaliknya Saddi berazam untuk meningkatkan usaha mendapatkan bantuan serta pertolongan kerajaan memajukan semua kampung terlibat, selagi beliau diberikan amanah memikul tanggungjawab dalam memajukan Dun Sukau sieiring sasaran kerajaan mencapai kemajuan menuju wawasan 2020.

“Namun saya bersyukur,  di bawah konteks penyediaan khidmat agensi-agensi kerajaan, ada pihak seperti yayasan Sabah boleh menyediakan program pendidikan tabika kanak-kanak di kawasan kampung-kampung terpencil, jika agensi yang lain tidak dapat berbuat demikian,” katanya.

Berucap merasmikan Tabika Yayasan Sabah di Kampung Sumangat Payau dalam kawasan perkampungan nelayan di persisiran pantai Dun berkenaan, Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah berkata, kerajaan negeri sesungguhnya mengambil berat terhadap masa depan pendidikan masyarakat di luar bandar.


Katanya, peranan yang dimainkan Yayasan Sabah mengujudkan sebuah Tabika di bawah kelolaannya di kawasan Dun Sukau bukan saja kerana menunaikan salah satu peranan agensi itu dalam menjana pembangunan modal insan dalam sektor pendidikan, tetapi melihat kepada keperluan anak-anak berkenaan terhadap pendedahan akedemik demi masa depan mereka.

Turut hadir dan memberikan ucapan ialah Ketua Pentadbir yayasan Sabah Zon Pantai Timur Utara, Hajah Rosinah Haji Abdul Moin.

Turut bersama Saddi ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Dun Sukau, Sharin Haji Abdul Rahman, Pegawai Kemajuan Masyarakatnya, Amirudin Mohd Damit, diikuti pengerusi JKKK Kampung Sumangat Payau yang juga Pegawai Hal Ehwal Bumiputera di Majlis Perbandaran Sandakan (MPS),  Haji Abdul Wahab Alfah bersama-sama lebih 100 orang penduduk  yang mewakili ibu bapa pelajar tabika terlibat.

“ Dalam Bidang keberhasilan Utama Kerajaan (NKRA), sektor pendidikan yang kini sedang dalam peringkat penstrukturan kementerian berkenaan, mengambilkira terhadap pendedahan ilmu terhadap golongan kanak-kanak tabika agar mereka mampu menyesuaikan diri di alam persekolahan sebenar,” kata Saddi

Saddi berkata, masyarakat pedalaman di Sukau harus merebut segala peluang yang terbuka dalam menjana sektor berkenaan, kerana ianya bukan saja mampu merubah masa depan kehidupan rakyat di kawasan ini, tetapi juga mampu bersaing dengan masyarakat dunia luar.


Sambil mengucapkan tahniah kepada kesungguhan Yayasan Sabah mengujudkan satu0-satunya sekolah tabika badan itu di dalam Dun Sukau, beliau berikrar akan terus memberikan kerjasama kepada badan itu demi mencapai matlamat perkhidmatannya di kawasan tersebut


“ Saya juga sedang menimbang beberapa keperluan di sekolah tabika ini, samada turut menyediakan peruntukan membina  rumah guru dan menaiktaraf  kemudahan asas  para pelajar. Semua ini ada kaitannya dengan kepentingan penduduk di kawasan ini,” katanya sambil menambah perkara itu akan dibincangkan bersama masyarakat kampung itu pada masa terdekat.
Saddi kemudian menyampaikan sijil graduasi kpada  lebih 50 orang pelajar tabika yayasan Sabah di kampung tersebut.