Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Pastikan rumah PPR tidak disalahguna, kata Rahman


SUKAU 13 MAC : Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Haji Abdul Rahman Dahlan meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Daerah di seluruh negara supaya memantau semula penyalahgunaan ke atas fasiliti rumah mampu milik.

Bercakap kepada pemberita di sini kelmarin beliau tidak menolak berlakunya kes seperti menyewakan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada pihak ketiga yang sekali gus mengambil kesempatan daripada kesusahan rakyat yang benar-benar layak untuk menduduki rumah PPR ini.

“Saya tahu banyak kes … sebab itulah menekankan penguatkuasaan bagi memastikan rumah PPR ini tidak disalahgunakan. Saya berharap pihak-pihak berwajib dapat menjalankan pemantauan supaya rakyat tidak lagi tertipu,” katanya.

Menurut beliau, penguatkuasaan terhadap isu tersebut dibuat sejak dua minggu lepas apabila wujudnya insiden yang dikesan menyewakan rumah mereka kepada pihak ketiga dengan sewa sehingga RM400 sebulan.

Beliau berkata, sikap pemilik rumah amat dikesali kerana sepatutnya memanfaatkan kemudahan berkenaan dan bukan pula menyewakannya kepada mereka yang tidak layak.

Katanya, pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya seperti membatalkan serta-merta pemilik asal dan memberikan rumah mampu milik kepada yang memerlukan.

“Isu PPR bukan sahaja di Sabah … jadi, semua majlis daerah danPBT ini mesti memantau semula berkenaan penyalahgunaan fasiliti rumah mampu milik itu.
“Saya tidak mahu rakyat tertipu akibat sindiket tersebut yang mengambil kesempatan dari kesusahan orang lain. Ini tidak patut berlaku, saya tahu banyak kes … ada pihak orang ketiga yang menyewakan rumah mereka.

“Oleh itu, pemantauan yang lebih rapi perlu dijalankan bagi memastikan rumah PPR di seluruh negara tidak disalahgunakan,” jelasnya semasa sidang media selepas melancarkan perasmian Dataran Tamu Pekan Baharu Sukau.

Hadir sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Zakaria Haji Mohd Edris; Pembantu Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Datuk Kamarlin Haji Ombi; Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Masiung Banah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau Merangkap Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Negeri Sabah, Datuk Saddi Abdul Rahman dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Negeri Sabah, Datuk Haji Ahmad Bujang serta pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan termasuk pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan Dataran Tamu Pekan Baharu Sukau beliau turut meminta pihak polis termasuk imigresen supaya menjalankan pemantauan terhadap penghuni di rumah PPR.

Katanya, ia berikutan dakwaan konon adanya pemilik yang menyewakan rumah mereka kepada pendatang asing tanpa izin sekali gus menidakkan kehendak rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Saya beri amaran … cukuplah. Sesiapa yang didapati menyewakan rumah PPR kepada orang lain akan dikenakan tindakan dengan membatalkan serta-merta.

“Jangan ambil kesempatan daripada permasalahan rakyat yang susah … kita mesti sokong pemutihan rumah PPR ini. Oleh itu, minta polis dan imigresen tengok siapa-siapa yang duduk … cukuplah ramai lagi rakyat kita yang memerlukan rumah ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Rahman memberitahu pihak kerajaan telah mengambil pendekatan bagi menangani pembinaan rumah mampu milik di seluruh negara melibatkan kerjasama pihak swasta.

Katanya, konsep ini tidak memerlukan kerajaan menggunakan wang yang banyak kerana dana daripada pihak swasta untuk membina rumah mampu milik.
Mengenai isu pihak NGO cuba mengagalkan usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan, beliau sependapat dengan pandangan Saddi jika melibatkan kepentingan rakyat jelata usah dipertikaikan.

Katanya, pelan pembangunnan Sukau perlu disokong bagi memastikannya tercapai sekali gus memberikan manfaat kepada semua masyarakat sekitar.

“Minta NGO ini jangan pandang hina negeri Sabah. Rakyat terutamanya pihak kerajaan telah jaga kepentingan alam sekitar ini.

“Minta juga NGO ini jangan tertumpu di Sukau saja, pergilah ke negara-negara lain. Banyak lagi perkara yang mungkin timbul,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyakRM500 ribu bagi pembinaan struktur di Dataran Tamu Sukau untuk memudahkan rakyat menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Sementara itu, Saddi semasa menyampaikan ucapannya menegaskan pembinaan Jambatan Sukau II amat penting kerana memudahkan perjalanan masyarakat Sukau dan sekitarnya ke mana-mana.

Justeru, beliau mahu pembinaan jambatan berkenaan demi pembangunan rakyat sekali gus melengkap pelan pembangunan daerah Sukau sebagaimana dirancangkan.

“Dengan adanya jambatan akan memudahkan perjalanan ke Sukau dan inilah pembangunan 
yang lebih lestari demi kepentingan rakyat juga,” katanya.

Mengulas lanjut, tegasnya lagi Sukau bakal berubah menjadi persekitaran ekonomi yang dilihat kondusif sesuai dengan slogan ‘Sukau Ke Arah Transformasi Mampan’.

Menurutnya, ia bukan sahaj seiring dengan kehendak kemajuan rakyat malah bakal menepati penyediaan rangkaian dan rantaian ekonomi yang sepadu untuk DUN Sukau, seterusnya menembusi daerah-daerah berhampiran seperti bandar Lahad Datu, Pekan Semporna dan Tawau, yang ianya sebahagian daripada logistik ekonomi, keselamatan dan pembangunan Pantai Timur Sabah (PTS).

Sumber: The New Sabah Times Online