Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Sekitar Majlis Tilawah Al Quran peringkat Daerah dan Bahagian Sandakan 1437H / 2016


SUKAU  12 Februari : Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskanm isi kandungan Al-Quran harus terus hidup segar di hati umat manusia  kerana ianya merupakan utusan Allah SWT untuk memberikan petunjuk dan pengajaran kepada hambanya demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sukau itu berkata, kitab Al-Quran yang disampaikan kepada utusanNya Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibrail A.S. bukan saja memiliki segala keistimewaan berbanding dengan kitab-kitab sebelumnya. Tetapi merangkumi segala keperluan hidup serta memberi pengajaran lengkap kepada umat manusia yang mengabdikan diri kepada ajaran Islam hingga ke akhir zaman.

“ Walaupun kandungan Al-Quran yang disampaikan kepada Rasullullah mengambil masa selama 23 tahun, tetapi Nabi Muhammad SAW dapat menyampaikan segala isi kandungannya kepada seluruh ummat dengan jelas serta  mampu membandingkan akan keutuhan kalimah Allah Swt itu sebagai pemimbing umat manusia hingga akhir zaman.

“ Maka sebagai umat Islam kita harus berperanan menyahut program musabaqah Al-Quran di semua peringkat di negara ini sebagai tradisi mengembangkan ajaran Islam serta dakwah yang dianjurkan oleh Rasulullah dan para sahabatnya,” kata Saddi.

Merasmikan Musabaqah Al-Quran Peringkat Daerah Kinabatangan di sini, Saddi berkata samada pihak kerajaan dan agensi-agensi dan kementerian yang dipertanggungjawabkan mengembangkan peranan itu, seluruh ummah khususnya penganut ajaran Islam wajib menjadikan Al-Quran sebagai rujukan ilmu dan tarbiah utama terhadap kehidupan mereka.

“ Institusi keluarga Islam harus terus kukuh dan bergantung kepada Al-Quran sebagai sumber kehidupan mereka bagi membimbing ummah agar mampu mengurus kehidupan keluarga dan masyarakat yang lebih teratur demi mencapai kemajuan negara sebagaimana diuntut dalam ajaran Islam.

“ Saya menyarankan agar bermula dari golongan kanak-kanak, mereka sudah didedahkan dengan bimbingan Al-Quran dan kita mengalu-alukan jika mereka ini dapat diuji dengan baik menerusi tilawah AlQuran dari peringkat awal hinggalah di peringkat tertinggi, seterusnya mampu mewakili negara dalam majlis tilawah kebangsaan dan antarabangsa yang dianjurkan setiap tahun, “ katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Kinabatangan yang juga Pengerusi Penganjur Majlis Tilawah Peringkat Daerah Sandakan, Yassin Nasir, Ketua Daerah, Haji Hamidin Radin, Penolong Pegawai Daerah Madinin Jimin, PPM Dun Sukau, Amirudin Mohd Damit dan Pegawai Jahiens Daerah Kinabatangan, Dayang Noorasianna bte Pg. Mohd Nooh dan Ketua Bahagian Penyelidikan JHEAINS Negeri Sabah, Ustaz Adam Abdul Hai yang merupakan hakim pada majlis tilawah itu.

Saddi memuji pihak penganjur berjaya mengadakan majlis tilawah tersebut dengan menampilkan para peserta yang sebahagian darinya mewakili Akedemi Tahfiz Daerah Kinabatangan

Johan qari dan qariah pada majlis itu ialah Darwis Haji Abdul Sani dan Hajah Adibah Bte Sulamain yang masing-masing mewakili Kg Jaya Baharu dan Kg. Paris Kinabatangan


Sementara itu dalam perkembangan terbaru, Haji Mohd Syarianshah  Hj Apin dan Maimunah Bte Abdul Rahman masing-masing menjadi johan qari dan qariah peringkat bahagian Sandakan yang akan mewakili bahagian ini ke majlis Tilawah Peringkat negeri di Keningau bulan depan.