Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Tanjung Aru dicadang tapak Pesta Perikanan sempena Hari Malaysia

TG ARU: Masyarakat pesisiran pantai Dun Sukau wajar menzahirkan rasa bangga mereka apabila Kampung Tanjung Aru di sini dicadangkan sebagai tapak Pesta Perikanan sempena Hari Malaysia peringkat Daerah Kinabatangan bermula tahun depan.

Cadangan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman yang antara lain bertujuan untuk mempromosikan kawasan perkampungan nelayan tersebut sebagai pusat pembangunan nelayan antara yang produktif di Pantai Timur Sabah. 

Malah kata Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Negeri Sabah,  pesta tahunan yang dicadangkan setiap 16 September itu boleh dijadikan landasan penting mengetengahkan segala hasil produk perikanan dan nelayan, aktiviti sukan laut dan pelbagai lain.

“Antara lain juga kita ingin mempromosikan kawasan Tanjung Aru sebagai sebahagian daripada 16 buah kampung dalam kawasan Persisiran Pantai Dun Sukau yang boleh dibangunkan menjadi kawasan Penempatan Nelayan Moden, sekaligus diberi pendedahan mengetengahkan pelbagai produk dan aset perikanan mereka pada masa depan.

“Maka kita boleh mengundang pihak yang pakar dalam pelbagai bidang perikanan termasuk mewakili pihak swasta, agensi-agensi perikanan, bidang meritim dan perkapalan yang juga mewakili kerajaan negeri dan pusat,” katanya,

Menyampaikan cadangan itu sewaktu merasmikan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Mukim Tanjung Aru di sini pada Sabtu lepas, Saddi berkata, pesta tahunan ini  mampu memberikan daya saing yang tinggi kepada pembangunan sektor itu di Pantai Timur Sabah (PTS) secara jangka panjang.

“Saya merasakan program tahunan ini mampu menjadi platform bukan saja untuk mengekploitasi kebangunan golongan nelayan yang telah tertinggal jauh dari aspek pembelaan.

“Tetapi boleh ditafsirkan sebagai pelan revolusi baru bidang perikanan yang akan menguntung semua pihak,” katanya.

Saddi mahu agar cadangan menganjurkan pesta tersebut  dapat dibincang lebih lanjut termasuk menerusi Jawatankuasa Pembangunan 16 Buah Kampung Persisiran Pantai Dun Sukau itu, agar perlaksanaannya dapat dijayakan tahun depan.

Bagi peringkat awal, kata wakil rakyat itu, Unit Pembangunan Masyarakat (UPM) Dun Sukau agar agenda menjayakan program tersebut dapat diperkasakan.

Saddi menambah, keujudan beberapa kemudahan seperti bekalan air yang berterusan, selain ianya amat hampir daripada kemudahan penginapan yang banyak terdapat di bandar Sandakan yang amat hampir dari Tanjung Aru membolehkan pesta itu dianjurkan beberapa hari.

Namun yang membimbangkan wakil rakyat itu ialah kegagalan perkhidmatan bekalan elektrik oleh Sabah Elektrikcity Sdn Bhd (SESB) 24 jam sebagaimana yang dijanjikan agensi itu sebelum ini belum dapat tunaikan.

“Saya hairan juga kenapa kemudahan bekalan air dari dasar laut boleh di bawah masuk ke Tanjung Aru. Tetapi tidak kepada bekalan elektrik yang amar diperlukan rakyat di sini.

“Kalau ianya berpunca dari soal kos dan peruntukan itu tak masuk akal, kerana kerajaan kita masih berkeupayaan sejak dipohon lebih lima tahun lalu,” kata Saddi.

Sambil beliau terus merayu kepada SESB menyelesaikan isu keperluan elektrik itu, Saddi menegaskan kemudahan tersebut begitu penting dalam meningkatkan kemajuan sosio-ekonomi rakyat di kawasan tersebut yang sekian lama terhalang.

Dalam pada itu, Saddi mengajak masyarakat nelayan di kawasan persisiran pantai itu supaya bersatu padu dan memberi kerjasama kepada usaha-usaha kerajaan dalam menjayakan pembangunan ekonomi mereka.


Yang menjadi kunci kepada kejayaan itu ialah kesediaan setiap penduduk menghadiri program perjumpaan yang membolehkan mereka mendapat penerangan soal dasar-dasar pembangunan dan ekonomi yang sedang dan akan dilaksanakan kerajaan.