Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Elektrik tidak stabil ganggu proses pembelajaran di sekolah

PARIS, KINABATANGAN : Lebih 500 pelajar dan  34 orang guru di sebuah sekolah menengah di sini terus berhadapan kesukaran menunaikan pengisian tanggungjawab apabila tiga belas isu meliputi kekurangan kemudahan ‘menjejaskan’ pencapaian pendidikan rakyat  kawasan luar bandar itu sejak 12 tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, salah satu yang terpenting dihadapi pelajar dan guru SMK PARIS ialah gangguan bekalan tenaga elekrik menyebabkan tugas-tugas menyediakan sistem pembelajaran terancang, sistematik dan bermutu tinggi tidak dapat berfungsi sepenuhnya.

“Ketidakstabilan bekalan ini menyebabkan pelbagai keperluan seperti penggunaan komputer sekolah, sisten pendua (photostat mechine), sistem komunikasi, bilik makmal, selain alat penghawa dingin semua guru, kipas siling dan sebagainya tidak berfungsi dan kerap menghadapi kerosakan,” katanya.

Menyatakan perkara itu sewaktu dikunjungi sekumpulan guru dan anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK (PIBG) PARIS di pejabatnya di sini pada Sabtu, Saddi bekata, semua  pengakuan berhubung masalah itu disampaikan Pengetua SMK Paris, Puan Wanihim Othman dan Yang Dipertuanya, Ardain Suradi menerusi satu laporan terperinci kepadanya.

Kata Saddi, kedua-dua pihak mengakui ketidakstabilan bekalan .elektrik, diikuti kemudahan asas lain telah berperanan menjejaskan preastasi sekolah menengah itu sejak beroperasi secara menumpang di bangunan sekolah rendah SK PARIS, berhadapan jalan utama Kinabatangan-Lahad Datu itu12 tahun lalu.

Antara masalah lain dilaporkan ialah sistem pendawaian elektrik dalam bangunan sekolah yang turut membimbangkan,  ketiadaan bangunan dewan sekolah bagi menjayakan aktiviti Ko-kurikulum pelajar, kekurangan bilik darjah dan bilik guru, masalah rumah guru yang tidak terurus, diikuti isu keselamatan kawasan sekolah,  pelajar dan guru kedua-dua ‘sekolah campur’ berkenaan.


Menerusi laporan ringkas yang turut disampaikan kepada Jabatan Pelajaran Negeri itu turut menyentuh isu mendapan tanah yang boleh merosakkan bangunan sekolah sekaligus membahayakan keselamatan semua pelajar dan guru dua ‘sekolah campur’ tidak terurus berkenaan.

Menurut Wanihim, segala kekurangan tersebut menyebabkan ramai pelajar  berkebolehan termasuk selepas melepasi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) meninggalkan sekolah tersebut dan memasuki sekolah menengah di luar daerah ini termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Sandakan.

SMK PARIS sejak ditubuhkan, kata pengetua itu bermula dengan prestasi tercorot di Daerah Kinabatangan namun penumpuan pendidikan yang agresif oleh semua pelajar dan  guru-gurunya yang menggengam moto ‘ilmu, amal, bakti ini dalam kedudukan kedua terbaik di daerah itu.  

Difahamkan,  selain pelajar menengah, lebih 300 lagi pelajar sekolah rendah dan guru SK Paris menggunakan kawasan sekolah yang sama dan menghadapi beberapa kekurangan kemudahan diharapkan.

Dalam pertemuan lebih dua jam itu, Saddi turut diberi laporan Pengetua dan YDP PIBG berkenaan bahawa bangunan baharu SMK Paris bakal dibina kerajaan dan dijangka disiapkan dua tahun akan datang.

“ Bagaimanapun kedua-dua pihak ini memperlihatkan kurang yakin ke atas laporan itu. Ia kerana hasrat membina SMK Paris sudah mula dicadangkan sebaik saja SMK PARIS mula beroperasi 12 tahun lalu, sekitar awal Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9),” kata wakil rakyat itu.

Saddi berkata, beliau juga sudah menyuarakan desakan membina bangunan baharu SMK PARIS, diikuti tuntutan membina bangunan konkrit SMK Sukau dan SK Sukau di beberapa persidangan Dewan Undangan Negeri termasuk baru-baru ini.

Bagaimanapun, tambahnya, jawapan pihak kerajaan di atas cadangan itu kurang memuaskan kerana kesemua cadangan itu hanya akan dipertimbangkan semula pada pelan pembangunan kerajaan akan datang.

Pada pertemua itu, Ardain turut mengaitkan laporan terbaru pembinaan sekolah itu sebagai berkemungkinan satu lagi ‘episod sekolah menengah dongeng’, sepertimana dibangkitkannya dalam beberapa siri ucapan PIBG SMK PARIS sebelum ini.

Wakil Rakyat Dun Sukau itu kemudiannya menyatakan harapannya supaya pihak kerajaan khususnya Jabatan Pelajaran Negeri melihat masalah kekurangan bekalan elektrik dan ketiadaan dewan berbumbung sebagai keutamaan untuk segera diselesaikan.

“ Atas nama kepentingan rakyat kawasan ini, khususnya sejumlah para pelajar dan guru-guru terlibat, saya merayu Jabatan Pelajaran Negeri agar masalah utama berkaitan elektrik ini dapat diselesaikan. Lebih-lebih lagi kos menyelsaikan masalah itu hanya lebih RM100 ribu, namun ini tidak termasuk menyediakan pusat himpunan berbumbung itu yang juga amat diperlukan ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, kata Saddi, beliau juga akan mencari jalan mengemukakan masalah tersebut kepada pihak terlibat agar berjaya menemui penyelesaian segera.


“Saya penuh yakin dan percaya jika masalah ini diketahui Kementerian Pelajaran dan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Jame Alip ia akan dapat diselesaikan,” katanya.