YB Datuk Saddi Abdul Rahman berucap merasmikan upacara tersebut |
Antara ibubapa pelajar yang hadir |
Antara pelajar yang menerima wang bantuan persekolahan sumbangan dari pada kerajaan BN |
Saddi sempat berbual dengan salah seorang penerima wang bantuan persekolahan RM100 |
Saddi sempat meninjau keadaan asrama SMK yang dalam keadaan daif |
Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman melihat tiada kekangan untuk Kementerian Pelajaran
mempercepat pembinaan bangunan baru termasuk asrama bagi Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Sukau.
Katanya, sebelum ini pembinaan bangunan baru sekolah berkenaan tidak
dapat dilaksanakan berikutan masalah pemilikan tanah.
“Bagaimanapun, masalah itu kini telahpun selesai. Oleh itu, saya
berharap kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan dalam tahun ini juga, apatah
lagi peruntukan bernilai RM48 juta untuk projek itu telahpun diluluskan
kerajaan persekutuan.
“Bagi saya, tiada alasan lagi untuk melengah-melengahkan pembinaan
prasarana itu kerana keperluan para pelajar amat mendesak," katanya kepada
pemberita selepas menyempurnakan Program Penyerahan Wang Bantuan Persekolahan
RM100 di SMK Sukau dekat sini, kelmarin.
Seramai 88 pelajar lelaki dan perempuan di sekolah itu tinggal di dua
blok asrama yang terhad dari aspek ruang selain kekurangan kemudahan seperti
katil, perabot dan bekalan air bersih.
"Sebagai tindakan awal, saya akan melihat keperluan untuk
menyediakan kemudahan asrama seperti katil, bantal dan tilam. Dan, sekiranya
memerlukan peruntukan yang besar, kita akan ajukan perkara ini kepada kerajaan
persekutuan," jelasnya.
Sementara itu, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SMK Sukau berharap
pihak kementerian berkaitan dapat merealisasikan pembinaan bangunan baru
termasuk asrama di sekolah itu, yang telah dipohon sejak 2000.
Yang Dipertuanya, Azhari Haji Rangon memberitahu keperluan bilik kelas
serta asrama amat mendesak berikutan peningkatan kemasukan pelajar. "Tahun ni seramai 462 pelajar
memasuki sekolah ini berbanding 398 pelajar pada tahun sebelumnya. Dengan hanya
13 buah kelas yang ada, ia tidak mampu untuk menampung bilangan pelajar yang
ramai.
“Disebabkan itu juga, kelas tingkatan 1 amat sesak kerana terpaksa
memuatkan lebih 40 pelajar dalam satu masa," katanya. Pada majlis itu, seramai 2,029
pelajar sekolah rendah dan menengah dari Zon Sukau telah menerima bantuan wang
persekolahan RM100.