Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

MAJLIS BERKHATAN DI MUKIM SEPINONG


Saddi menyiram para peserta sebagai simbolik ‘menepung tawar’ mereka pada Majlis Berkhatan beramai-ramai di Mukim Sepinong pada Sabtu lepas.

SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, kegagalan pemimpin akar umbi seperti Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung mendapat makluman yang jelas kerajaan menyebabkan program pemberian bantuan besar seperti 1 Azam gagal dimanfaatkan rakyat di luar Bandar.

Kegagalan mendapatkan maklumat lengkap sedemikian, katanya, berkemungkinan menjadi penyebab mengapa kawasan Dun Sukau ini belum lagi menerima bantuan di bawah program bantuan yang sudah sekian lama dilancarkan kerajaan pusat itu.

“Saya tidak menyalahkan pegawai-pegawai kerajaan di kawasan ini…Tetapi saya percaya kelemahan di peringkat pimpinan JKKK mencari dan mendapatkan maklumat-maklumat penting untuk rakyat, menjadikan program 1Azam yang disalurkan kepada banyak jabatan dan agens kerajaan gagal dimanfaatkan rakyat di kawasan ini.

“ Kerana saya berani mengatakan sehingga kini rakyat di kawasan Dun Sukau belum menerima bantuan ini. Samada ianya melibatkan Azamniaga, Azamkerja dan skim-skim yang diwujudkan di bawah program itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Berkhatan Beramai-ramai Mukim Sepinong, salah sebuah kawasan persisiran Pantai Kinabatangan, melibatkan 60 orang kanak-kanak di balairaya kampung berkenaan pada Ahad. Program itu dijayakan bersama Pusat Zakat Sabah (PZS) Sandakan dengan para pemimpin mukim berkenaan dengan kerjasama Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Sukau.

Saddi berkata, ketidakmampuan pemimpin akar umbi menjalankan tanggungjawab sememangnya akan memberikan kesan besar kepada rakyat khususnya dalam mendapatkan manfaat yang besar di bawah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab seperti kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, walaupun kerajaan BN ketika ini telah banyak menyalurkan bantuan dan peruntukan pembangunan ekonomi kepada rakyat, namun masih ada sebahagian rakyat yang belum memperolehinya atas sebab pemimpin akar umbi yang dipertanggungjawabkan tidak mengetahui maklumat serta peraturan untuk mendapatkannya.

Sebagai contoh, kata Saddi, PZS menyediakan banyak skim bantuan kepada golongan yang diperuntukan layak menerima bantuan tersebut mengkikut keperluannya. Ia termasuklah bantuan fakir miskin, bantuan zakat Fitrah, bantuan bencana alam, bantuan untuk golongan saudara baru (memeluk Islam), bantuan biasiswa dan asnaf-asnaf yang diperuntukkan.

“ Tetapi dulunya tidak ramai yang tahu adanya bantuan sedemikian di bawah PZS. Tetapi apabila pegawai daripada Pusat Zakat Sabah bersama-sama kita hari ini dan memberikan penjelasan, maka barulah ramai rakyat yang tahu kemudahan ini untuk dipohon sekiranya memerlukan,” kata Saddi.

Saddi yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah menjelaskan, bahawa pihaknya turut menyediakan program bantuan di bawah 1 Azam dengan pelbagai focus ekonomi kepada rakyat di luar Bandar.

“ Insyaallah, Pengurus Besar KPD sudah saya jelaskan akan keperluan rakyat di kawasan ini dan jika berkaitan, penduduk Sukau di kawasan persisiran ini akan menjadi antara yang menerima perhatian di bawah 1Azam yang turut dikendalikan KPD,” katanya.

Kata Saddi, rakyat harus memiliki semangat mengandakan usaha mereka memajukan ekonomi dengan sokongan dan bantuan yang telah diberikan kerajaan.

Dengan mempastikan bahawa bantuan kerajaan sedemikian membolehkan mereka meraih pulangan ekonomi yang tinggi berterusan, katanya, kemudahan sedemikian harus dikembalikan kepada kerajaan sekiranya rakyat telah mampu memulihkan kehidupan, agar ianya dapat diagihkan kepada rakyat yang memerlukan.

“ Yang penting sebagai rakyat, kita harus membuktikan kesetiaan dan sokongan yang padu kepada kerajaan dan menyatakan pendirian tegas kita bahawa tidak ada yang lebih baik daripada dasar dan khidmat yang diberikan kerajaan BN.” Katanya dengan menambah kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah mampu menganjak kemajuan Negara di bawah tranformasi ekonomi dan perkhidmatan yang diperkenalkan beliau.

Kata Saddi, Konsep 1Malaysia, Rakyat Dihahulukan, Pencapaian Diutamakan dicetuskan pemimpin itu, telah semakin mengubah lanskap politik Negara, dengan langkah-langkah yang diperkenalkan mengunjurkan kepada kejayaan perpaduan serta kesejahteraan rakyat berbilang kaum sebagai alat penting menjana ekonomi dan pembangunan nasional.

Mengenai program berkhatan itu, Saddi menyarankan agar aktiviti dalam mengembangkan syiar Islam itu yang diadakan setiap tahun itu diperkasakan di masa depan dengan dianjurkan Unit PKR dengan kerjasama Jaabatan Hal Ehwal Islam Sabah (Jaheins) serta PZS.

Oleh kerana aktiviti tersebut menjurus kepada menjana kepada pembangunan islamiah di kawasan ini, sepatutnya ianya dilibatkan dengan pelbagai aktiviti yang boleh membangunkan minda golongan belia Islam di kawasan persisiran pantai Kinbatangan itu.

Selesai.