Menteri MAFI, Datuk Yahya
Hussin (tengah), Pengerusi KPD, Datuk Saddi Abd Rahman (dua dari kanan), Tim.
Menteri MAFI, Datuk Sairin Karno (dua dari kiri), Pengurus Besar KPD, Datuk
Datu Basrun (Kiri) dan Ahli Perniagaan Datuk Yap Yun Fook (kanan) bergambar bersama
cendawa ketika membuat tinjauan projek tanaman cendawan di Jalan
Kimanis-Keningau, Keningau, hari ini.
KENINGAU 03 JULAI : UMNO Sabah
membidas dakwaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengaku dirinya pejuang
pertama UMNO di negeri ini selepas pembubaran Parti Kebangsaan Sabah Bersatu
(USNO) pada 1990. Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yahya Hussin,
berkata dakwaan itu tidak benar dan dibuat untuk mengelirukan rakyat serta
menimbulkan kebencian terhadap UMNO dan pemimpinnya.
"Kawan dari Semporna
(Mohd Shafie) mendakwa beliau pejuang UMNO yang pertama di negeri ini. Itu
tidak betul, bukan dia yang pertama memperjuangkan UMNO di Sabah. "Semua
pemimpin UMNO Sabah yang ada sekarang, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Musa
Aman, saya dan yang lain berjuang dalam UMNO sejak dari USNO.
Kami semua bekas
pemimpin USNO yang menjadi pejuang UMNO. "Saya sendiri pernah bertanding
dalam USNO sebelum UMNO datang ke Sabah. Jadi rakyat jangan keliru dan
terpengaruh dengan dakyah ini," katanya yang ditemui pemberita selepas
meninjau projek tanaman cendawan di Jalan Kimanis-Keningau, di sini hari
ini.
Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata sikap bekas Naib
Presiden UMNO itu yang mendakwa memperjuangkan hak rakyat negeri ini, juga
tidak selari dengan tindakannya ketika menjadi menteri Persekutuan dan pemimpin
UMNO. "Ketika dalam UMNO, dia tidak pernah jumpa kita, apatah lagi
menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri.
Ini menunjukkan sikapnya
yang tidak menghormati pemimpin negeri," katanya. Yahya mendakwa, Shafie
juga tidak pernah memaklumkan kepada pemimpin UMNO bahagian jika ada projek
pembangunan luar bandar dilaksanakan di kawasan mereka ketika Ahli Parlimen
Semporna itu menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Sumber : www.bharian.com.my 04 Julai 2016
|