Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Lindungi masyarakat nelayan Sukau


Sukau 25 Mei :  Ahli Dewan Undangan kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, peranan Agensi Pengkuasaan Maritim Malaysia (APMM) amat ditagih dalam mempastikan Negara di sini bebas daripada ancaman barangan seludup  dan pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, kesungguhan yang dilakukan oleh agensi itu mendampingi rakyat termasuk menerusi Program Sahabat Maritim amat penting bagi mempastikan kegiatan jenayah penyeludupan barangan termasuk najis dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia ke Negara ini dapat dibenteras.

“ Yang penting  rakyat dan pasukan APPM memperkasakan hubungan mereka. Muafakat dan kerjasama boleh dibentuk demi keselamatan negara dan rakyat.

“ Malah saya melihat kerjasama kedua pihak ini suatu tauladan yang baik bagi mempastikan kerjasama di antara rakyat dan kerajaan boleh membantu menjayakan matlamat mempertahankan negara,” katanya.

Saddi berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sahabat Maritim Kawasan Dun Sukau, salah satu daripada tujuh kawasan Zon Keselamatan Esscom di Perairan Pantai Timur Sabah (PTS) di  Kampung Tanjung Aru di sini pagi kelmarin.


Saddi berkata, Kampung Tanjung Aru sebagai salah satu daripada 15 buah kampung di kawasan Persisiran Pantai Dun Sukau, Kinabatangan yang merupakan salah satu daripada 42 Kampung dalam Dun Sukau, merupakan kawasan yang strategik bagi menjayakan kerjasama tersebut memandangkan ianya amat penting dengan perairan Sandakan dan Laut Sulu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Operasi APPM 17 Sandakan, Kapten A Razak Abd. Rahman, Timbalan Pengarah APPM Bahagian, Malai Fazlan Aswad Bin Malai Mustapha, Komander (M) Mohd. Khairulanuar Bin Abd. Majid @ Razali, Timbalan Pengarah Bah. Operasi DM 17 Sandakan, UPPM Dun Sukau, Amirudin Mohd Damit, CDO Dasran Haji Dahalan dan Ketua Anak Negeri, Encik Awang Ahmad Hj. Ongkang.

Sehubungan itu, Saddi menggesa supaya para penduduk di kawasan persisiran Dun Sukau samada daripada kalangan nelayan dan pengendali pengangkutan laut bertambang agar mematuhi arahan dan peraturan yang dikenakan oleh APMM demi menjayakan penguatkuasaan undang-undang yang telah dikenakan agensi itu serta undang-undang perairan antarabangsa.

“ Kita wajib mematuhi segala peraturan yang dikenakan ini... kerana ianya bukan saja sebahagian dari fungsi pengawasan keselamatan negara tetapi ini menyelamatkan nyawa rakyat negara ini yang masih menggunakan sistem perhubungan dan pengangkutan laut,” kata Saddi.

Sementara itu ketika menjawab sesi dialog bersama penduduk Kapten Abdul Razak mahu semua pengusaha bot penambang dan pelancongan agar mematuhi penggunaan jaket keselamatan demi kebaikan para pengguna terlibat.

Beliau juga mengarahkan penduduk di kawasan perairan Dun Sukau khususnya di Tanjung Aru supaya menghubungi jabatan itu jika mendapat ada pihak menjadikan kawasan persekitaran mereka sebagai tempat bersembunyi bot-bot penyeludup dari negara jiran, ekoran pemansuhan aktiviti perniagaan tukar barang di perairan Sandakan sebelum ini.

“ Sejak aktiviti 'Barter Trade' dimansuhkan di sini, kami ada menerima maklumat akan adanya usaha-usaha penyeldudup menyembunyikan bot mereka di kawasan perairan Tanjung Aru kerana kedudukannya yang agak strategik.. Maka kami meminta para penduduk di Tanjung Aru dan persisiran pantai Dun Sukau saya melaporkan aktiviti ini kepada kami iaitu di bahagian operasi APMM 089-229504," katanya.

Ketika menjawab soalan dikemukakan oleh KAN Awang Ahmad, Komander Mohd Khairulanuar berkata, sebarang maklumat berkaitan penyeludupan dan penangkapan ikan secara haram haruslah dibuat dengan pantas bagi mengelakkan penjenayah terlibat dapat meloloskan diri sebaik saja penguatkuasa maritim tiba.

“ Pasukan kami di sini membuat kawalan sepanjang Pulau Silingan hingga ke Kinabatangan..Maka sebarang maklumat perlu pantas diberikan bagi membolehkan kami menjejaki penyeludup dan aktiviti menangkap ikan yang melanggar peraturan ditetapkan,” katanya.


Pelbagai acara sukaneka turut diadakan sepanjang program Sahabat Maritim melibatkan pelbagai usia antara penduduk dan pihak APMM.