Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

SDC MEMBUKA RUANG LUAS DALAM MENINGKATKAN EKONOMI RAKYAT : YB. SADDI ABDUL RAHMAN





KINABATANGAN : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman mengajak rakyat agar Pesta Keamatan yang diadakan setiap tahun di negeri ini dapat dikaitkan dengan pencapaian ekonomi rakyat semua bidang seiring dengan perancangan pembangunan berimpak tinggi disediakan dalam Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Beliau berkata, penerapan pembudayaan ekonomi dalam pesta itu bukan saja harus menjurus semata-mata kepada pengeluaran makanan beras, sebagai antara lambang keperluan asas kehidupan rakyat.

" Tetapi mulai perlu mencakupi soal global berkaitan pemakanan, peningkatan peluang pekerjaan, pendidikan, peningkatan perkapita rakyat serta strategi-strategi menyeluruh sebagaimana yang digariskan dalam KDC, satu lanskap perubahan ekonomi menyeluruh negeri dalam usia 18 tahun ke hadapan," katanya.

Berucap merasmikan Pesta Keamatan 2008 peringkat Daerah Kinabatangan di Dewan Serbaguna Sri Lamag di sini, Naib Ketua Umno bahagian Kinabatangan itu berkata, masyarakat luar bandar di sini sentiasa berpeluang mengecapi kejayaan disediakan menerusi misi pembangunan kerajaan itu, sekiranya mereka lebih bersikap terbuka terhadap peluang-peluang ekonomi yang ditawarkan dalam persekitaran mereka.

Apalagi dengan menjadikan wilayah di Pantai Timur Sabah, katanya, sebagai kawasan zon industri dan pelancongan, zon agro makanan bersepadu, zon inovasi agro berteknologi tinggi dan zon industri minyak sawit yang bersesuaian dengan persekitaran ekonomi yang digariskan dalam Halatuju Pembangunan Sabah, diilhamkan, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Maka, katanya, faedah ekonomi yang terkandung dalam Koridor Pembangunan Sabah harus sentiasa sentiasa diterjemahkan seiring lima misi utamanya.

“ Antaranya, menjadikan Sabah sebagai salah satu pintu gerbang utama di rantau ini bagi tujuan perdagangan, pelaburan dan pelancongan, meletakkan negeri ini yang mesra teknologi segenap keperluan, kaya dengan peluang pekerjaan dan negeri yang selesa didiami dengan mengekalkan budaya serta kualiti hidup yang tinggi.

“ Dalam tempoh 18 tahun ini, peluang pekerjaan meningkat kepada 3.5 peratus atau 900,000, manakala kepesatan ekonomi dalam perkapitan akan meningkat tiga kali ganda kepada 14,800 ringgit pada setiap individu,” katanya dengan menambah peranannya sebagai wakil rakyat mempastikan masyarakat di Dun Sukau memahami dasar pembangunan yang dirancang bagi mencapai misi berkenaan.

Turut hadir dalam pesta itu ialah Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Latif Kandok yang juga Pengerusi Penganjur Pesta itu berserta dengan para pemimpin masyarakat yang mewakili parti-parti politik dan agensi kerajaan di kawasan ini.

Pada majlis itu, Saddi berkata, seiring dengan minatnya mahu meningkatkan peluang ekonomi rakyat di Sukau, beliau sudah mengemukakan beberapa cadangan berkaitan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri lepas seperti cadangan mengujudkan Gumantong park, satu lagi sub-sektor yang boleh menambah nilai bidang eko-pelancongan dalam daerah itu.

Di bawah cadangan tersebut, katanya, persekitaran Gua Gumantong yang terkenal sebagai kawasan penuaian sarang burung itu, bakal menyediakan peluang-peluang perniagaan berasaskan pelancongan seperti kemudahan pusat pameran, restoran dan penginapan bagi menarik kehadiran pelancong ke kawasan Sukau, tanpa menjejaskan kepentingan alam sekitar di kawasan itu.Misi itu, katanya, sebahagian daripada galakan memperluaskan bidang ekonomi pelancongan di Sabah, sebagaimana tumpuan kerajaan terhadap pelancongan ekologi, tarikan pelancongan di Pulau Sipadan, Lembah Danum dan Teluk Darvel yang mampu menarik kehadiran pelancongan antarabangsa.

Menurut Saddi, beliau juga akan memperluaskan program-program membasmi kemsikinan rakyat di Sukau, khususnya yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, dengan turut menggalakkan bidang berkaitan ‘agropolitan’ di bawah komsep satu kampung satu industri dalam kawasan itu.

Dalam masa yang sama, katanya, beliau juga terus akan memperjuangkan keperluan asas pembangunan rakyat di kawasan itu demi mempastikan persekitaran Dun Sukau dilengkapi kemudahan seperti jalanraya, bekalan elektrik dan air.

“ Segala usaha ini memerlukan kerjasama di antara kita. Sudah tentulah Pesta Keamatan yang diadakan pada hari ini salah satu flatform untuk meningkatkan lagi hubungan perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan agama di sini bagi membolehkan kita sentiasa bekerjasama untuk faedah masa depan bersama,” katanya.