SANDAKAN: Timbalan Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS), Saddi Haji Abdul Rahman melahirkan rasa bangga atas usaha gigih Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKWA) menonjolkan semua budaya suku kaum di negeri ini untuk terus dikenali rakyat menerusi programnya, Merakyatkan Seni dan Budaya peringkat negeri di sini.
Katanya, program itu bukan saja memberi banyak pendedahan terhadap warisan seni dan budaya rakyat berbilang kaum di negeri ini, tetapi mampu merapatkan perpaduan antara kaum baik dari kalangan setempat maupun di luar Sabah.
“ Program anjuran KEKWA ini mampu menghidupkan suasana berbudaya di kalangan masyarakat berbilang kaum dan in amat memberi kesan yang mendalam kepada golongan muda agar mengenali budaya suku kaum masing-masing,” katanya ketika mengulas berhubung penganjuran program berkenaan dua hari bermula Sabtu lepas.
Program dua hari itu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang diwakili timbalannya, Datuk Raymond Shu Kiah.
Katanya, sebagai pemimpin kanan dalam SABAS beliau menyatakan penghargaan kepada menteri berkenaan, Datuk Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal dan KEKWA atas daya usaha mengetengahkan budaya suku kaum sungai, sebagai salah satu suku kaum terbesar di Sabah.
Setidak-tidaknya, kata Saddi, samada budaya berkenaan dan persatuan itu diletakkan sebagai salah sebuah suku kaum penting yang terdapat di negara ini.
“Malah bagi pihak persatuan, kami sentiasa menyatakanh kesediaan untuk berkerjasama dengan KEKWA dalam menjayakan program budaya melibatkan kaum Sungai, samada di peringkat negeri dan kebangsaan untuk dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Suku kaum Sungai, salah satu suku kaum terbesar di Sabah dengan populasinya mencapai lebih 270,000 orang yang sebahagiannya masih mendiami tebing-tebing sungai utama di negeri ini, khususnya di Kinabatangan, Labuk dan Sugut, Kota Marudu, Lahad Datu dan sekitar pedalaman bawah seperti Beaufort dan Sepitang.
Kata Saddi, antara langkah awal yang sedang digiatkan SABAS ialah berusaha memperkenalkan beberapa tariannya seperti Titikas dan Runsai, diikuti persembahan muzik tradisionalnya yang kini sudah giat dipersembahkan merara negeri, termasuk majlis-majlis kenamaan.
“ Namun di bawah kepimpinan baru persatuan ini, di bawah Presidennya, Datuk Zakaria Edris dan turut dianggotai oleh beberapa orang wakil rakyat mewakili suku kaum ini, kita berusaha untuk menjenamakan semula Sabas dan aktivitinya, agar budaya suku kaum Sungai bukan saja dikenali di negeri ini tetapi mencapai peringkat lebih jauh,” katanya yang menambah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman adalah Penaung bagi persatuan wujud sejak pertengahan tahun 70an itu.
Selesai.