Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV




BANJIR : ADUN SUKAU TURUN PADANG

KINABATANGAN : “ Selamat Datang ke Daerah Banjir,” Ini ungkapan awal rata-rata penduduk pinggir sungai Kinabatangan bila menerima kunjungan tetamu ketika ini.

Ungkapan yang sama tidak dikecualikan kepada Wakil Rakyat Dun Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah yang juga Pegawai Daerah, Abdul Latif Kandok yang sememangnya memahami keadaan, malah bersiap sedia mengatur keperluan penduduk setiap musim banjir.

Penduduk berucap selamba...Tetapi membawa maksud penting agar nasib dan kesukaran mereka sentiasa diberi perhatian. Kepada penduduk fenomena alam ini masih mampu membawa maksud dari bidalan ‘ Sekali air bah, sekali pasang berubah. buat mereka.

Sehingga Sabtu, paras banjir masih melebihi 10.40 meter telah mencabar kehidupan dan mata pencarian penduduk. Beberapa laporan keadaan tanaman kelapa sawit sudah mula terjejas, binatang ternakan termasuk lembu dan kerbau sudah banyak yang terkorban.

Kedai dan gerai makanan sudah ditutup di pekan Bukit Garam. Terbaru, salah sebuah pusat pelancongan di Kampung Menggaris ditutup kepada pengunjung.Kenaikan paras air sejak beberapa hari lepas telah memindahkan juga lebih 2,200 penduduk termasuk mewakili 23 buah kampung ke pusat-pusat penempatan banjir, khususnya di sekitar kawasan tumpuan krisis di Bukit Garam dan beberapa kediaman di kampung-kampung dalam kawasan Dun Sukau.

Tidak terkecuali, penduduk mendiami kawasan Litang dan kampung-kampung kecil berhampiran sedang bergelut dengan masalah ini. Ada laporan mengatakan sebuah rumah penduduk miskin di situ dihanyutkan banjir.

Tanaman mata pencarian penduduk dan kediaman mereka juga dilaporkan terjejas.Bagimanapun Saddi selaku Adun Sukau belum dapat mengesahkan keadaan itu kerana masalah mendapatkan pengangkutan udara jenis halikopter yang dipohon dan dijanjikan ke atasnya masih belum muncul setakat kelmarin. Permintaan sudah dibuat 9 Febuari lepas untuk tujuan ini.

Ini mengakibatkan hasratnya untuk membuat perincian berhubung nasib rakyat dan kedudukan harta awam akibat banjir masih di peringkat sukar.

Ketidakupayaan ini, walaupun kunjungan ke Litang dihebahkan beberapa hari di radio, Saddi mengunakan masa yang ada meninjau nasib yang sama dihadapi penduduk mendiami pinggir Sungai Kinabatangan, di kawasan Kampung Menggaris dan kampung-kampung berhampiran.

Pada Khamis, beliau telah mengarahkan Unit PKR Dun Sukau menghantar sejumlah bantuan makanan ke Kampung Abai dengan bantuan bot laju milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah.Saddi turut menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai sebagai sumbangan peribadi kepada penduduk terlbat, bagi mengurangkan beban kesangsaraan mereka dari kejaidian ini.

Musim banjir kali ini turut memberikan kenangan mendalam kepada keluarga Ismail bin Abdullah, 56, apabila seorang anak lelakinya berusia 25 tahun meninggal dunia kerana sakit.Sebagai wakil rakyat, Saddi tidak akan melepaskan peluang untuk menziarahi keluarga uzur ini dengan menyampaikan sumbangan peribadi yang termampu. Walaupun dalam keadaan amat sugul dan hiba, isteri kepada Ismail, Puan Zainab menyambut kedatangan Saddi dan menyatakan rasa kehilangannya.

Pegawai Daerah, Abdul Latif kandok dan timbalannya, Saudara Arisin, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sukau, Sharin Haji Abdul Rahman dan CDOnya, Amiruddin Awang Damit turut berbuat demikian.Selain meninjau perkembangan penduduk terlibat, Saddi juga turut melawat tapak projek bagi pembinaan Stesen Pengepaman Bekalan Air Batu Putih bernilai RM13.5 juta yang dibina berhampiran Kampung Mengaris.

Menurut Abdul Latip, Projek milik kerajaan negeri yang sebelum ini turut diperjuangkan Adun Sukau itu dijangka mengambil masa 20 bulan yang dijangka siap penghujung tahun depan.Bekalan air dari pusat itu akan dapat dinikmati oleh ribuan penduduk di dalam kawasan Dun Sukau yang sebahagiannya belum menikmati kemudahan tersebut semenjak merdeka.

Saddi bersama Latip dan rombongan turut menemui sekumpulan pelancong asing yang dipindahkan ke kawasan tanah tinggi berikutan kediaman yang ditempatkan buat mereka menghadapi bahaya banjir.Bagaimanapun para pelancong berkenaan yang sebahagiannya terdiri dari kumpulan remaja dari beberapa negara eropah dan Amerika Syarikat merasa gembira ditempatkan di kediaman sementara itu.

“ Apalagi kerana keadaan banjir seperti ini membolehkan kami melihat keunikan kehiduan masyarakat di pinggir sungai ini, berbeza dari tempat asal kami. Cuma ia memang berbahaya kepada kanak-kanak kecil,” kata ketua kumpulan itu, seorang gadis Jerman, Rozalia Raul, 25.“ Pada saya kedudukan banjir di paras seperti sekarang belum boleh menjejaskan pelancongan di kawasan ini. Apalagi ramai penduduk kampung dan kami masih boleh bergembira,” katanya.

Saddi ketika bercakap kepada media, mahu para pengusaha pelancongan mengambil tindakan proaktif menutup premis pelancongan meeka jika keadaan banjir di sungai itu boleh membayakan pelancong dan orang ramai.

“ Seperti yang kita kunjungi ketika ini, Walai Toku milik Kopel, sebuah pusat pelancongan sudahpun ditutup kepada pengunjung. Maka kita harus berhati dan meningkatkan kerjasama,” katanya.
Dalam pada itu, Saddi mengharapkan agar pihak kerajaan negeri dan persekutuan bersedia memberikan pertimbangan kelak ke atas permohonan yang datangnya daripada kawasan ini kelak, khususnya selepas pernilaian terhadap kesan banjir kali ini yang akan dikemukakan kelak.

“ Kita memang faham keadaan banjir kali ini secara keseluruhannya belum di peringkat yang kritikal. Tetapi samada rakyat dan pihak kerajaan yang diamanahkan mengurus keperluan rakyat harus meningkatkan kewaspadaan mereka memberikan khidmat,” katanya.

Saddi dan Abdul Latip kemudian menyatakan terima kasih dan penghargaan khususnya kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Banjir Kinabatangan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis dan tentera, Jabatan Kesihatan, Jabatan Perhatanan Awam, Jabatan Kebajikan dan kesemua mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung di kawasan itu.

Selesai.