Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Penduduk Di DUN Sukau Diminta Manfaatkan Laman Blog Untuk Suarakan Masalah


Jainab merasmikan laman blog adun48sukau sambil diperhatikan oleh Saddi, Zakaria dan Latif.



KINABATANGAN : Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hajjah Jainab Haji Ahmad Ayid berkata kewujudan laman blog merupakan inisiatif positif di kalangan wakil rakyat untuk merapatkan jurang antara rakyat dan pemimpin justeru akan meningkatkan masyarakat celik komputer.


"Dengan wujudnya laman blog seperti ini maka ia akan dapat mendekatkan pemimpin dengan rakyat serta akan meningkatkan jumlah masyarakat luar bandar yang celik komputer" katanya ketika merasmikan Pelancaran Blog Adun N48 Sukau di dataran Kampung Paris, semalam.


Beliau menambah rakyat di kawasan luar bandar ini khususnya rakyat di Dewan Undangan Negeri DUN Sukau akan dapat melayari blog wakil rakyat ini dan akan lebih mengetahui tentang aktiviti serta maklumat tentang kerajaan.


Jainab turut memuji langkah yang dibuat oleh ADUN Sukau ini yang mempunyai pendekatan yang baik untuk berdamping dengan rakyat melalui pembukaan blog ini.


`Kerajaan negeri melalui kementeriannya memberi kursus-kursus teknologi maklumat kepada penduduk di luar bandar yang berminat', katanya sambil menjelaskan dimana usaha ini mampu memberi ilmu pengetahuan yang berguna kepada rakyat di luar bandar.


Sementara itu, melalui laman blog ini wakil rakyatnya, Saddi Hj. Abdul Rahman mahu penduduk menanfaatkannya untuk berkomunikasi dan menyatakan permasalahan yang dihadapi mereka terus kepadanya dengan hanya mengakses laman blog yang telah dilancarkan itu.


"Saya mahu semua penduduk menghubungi saya dengan menyampaikan kepada saya permasalahan yang dihadapi walaupun anda jauh berada di dalam kampung dan saya semua penduduk memanfaatkannya", katanya.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau ini berkata ia merupakan satu komunikasi berkesan yang turut menjimatkan masa di mana wakil rakyat tidak perlu turun padang untuk menjenguk sendiri permasalahan yang dihadapi tetapi hanya dengan membuka laman blog ini beliau sudah boleh mengetahui masalah dan boleh mengatasi permasalahan tersebut dengan lebih cepat.


Justeru itu, setiap pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di setiap kampung yang meliputi lapan mukim akan diberikan modem jalur lebar (Sub: broadband) dan dibekalkan kemudahan komputer riba untuk mereka mengakses internet dan melayari laman blog tersebut.


"Untuk memastikan keberkesanan laman blog ini, kelas komputer dan Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) akan diadakan agar semua wakil kampung ini dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan khususnya dalam bidang teknologi agar kita tidak ketinggalan walaupun tinggal di pedalaman", kata Saddi.


Saddi turut menyatakan harapannya agar golongan muda juga turut mengambil kesempatan ini untuk mendekati pemimpin kerana beliau tahu golongan muda kini sinonim dengan kemajuan ICT.
Turut hadir, ADUN Gum-Gum Datuk Zakaria Edris, Pegawai Daerah Kinabatangan Abdul Latif Kandok dan para pemimpin setempat di kawasan berkenaan.