Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Golongan yang kurang bernasib baik tidak pernah diabaikan oleh ADUN Sukau


Saddi bersama rombongan  semasa melakukan lawatan ke Mukim Paris

Ketua Umno Cawangan Koyah Haji Sida Parusai yang mengalami strok sejak dua tahun lalu tidak dapat menahan sebaknya sewaktu dikunjungi Saddi di kediamannya
Saddi melawat Hamsya sambil diperhatikan Husin Lahaya, Sharin dan Amirudin
Saddi turut bergambar dengan seorang balu Puan Raiyni dan anak-anaknya ketika kunjungan wakil rakyat itu ke rumah mereka di Kampung Paris 3
Saddi berbincang dengan anggota Persatuan Belia Perkasa Paris ketika menyaksikan persembahan kederaan pacuan empat roda yang digerakkan persatuan itu

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman melahirkan simpati kepada Ketua Umno Cawangan Kampung Koyah, Sida Parusai yang masih terlantar di rumahnya ekoran mengidap serangan strok sejak dua tahun lalu.
Katanya, pemimpin Umno cawangan itu walaupun sudah semakin sembuh berbanding dengan keadaan kesihatannya sebelum ini, tetapi  ternyata masih memiliki semangat juang yang tinggi sewaktu dikunjunginya bersama para pemimpin akar umbi dan ahli-ahli Umno dari kawasan ini.

“Saya berpuas hati dengan kesihatannya yang semakin baik. Dan lebih penting seluruh keluarg, terutama anak-anak dan isteri beliau begitu yakin dan  menjaganya dengan baik,” katanya.

Bercakap kepada media ketika mengadakan ‘kunjungan mesra’ (walk about) di Mukim Paris sempena Program Belia Bersama Pemimpin 1Malaysia mukim itu, Saddi mendoakan agar pemimpin cawangan Umno yang banyak jasanya kepada ahli-ahli parti di kawasan itu  cepat sembuh.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengerusi Penganjur Program itu, Husin Lahaya, dan para kakitangan UPKR Dun Sukau yang diketuai PKRnya, Sharin Abdul Rahman serta para pemimpin akar umbi di kawasan itu.

Ketika melakukan kunjungan terhadap seorang lagi ahli pergerakan pemuda Umno cawangan berkenaan yang mengalami penyakit unik, Hamsyah Asbullah, 26,  Saddi turut mengarahkan Pegawai Jabatan Kebajikan Daerah menyemak kembali permohonan mendapatkan bantuan yang pernah dikemukakan pesakit itu Oktober tahun 2010.

Beliau berkata, Hamsyah yang mula mengidap sejenis penyakit saraf sejak dua tahun lalu sememangnya memerlukan pembelaan khususnya jabatan tersebut bagi mengurangkan beban yang ditanggungnya serta keluarga.

Setidak-tidaknya, kata Saddi, penyakit itu memerlukan kewangan bagi menampung perbelanjaan rawatannya yang pada masa-masa tertentu akan merujuk keperluan itu di hospital berhampiran.

“Saya hairan bagaimana permohonan Hamsyah sejak dua tahun itu dengan keadaannya yang sedemikian tidak mendapat perhatian pegawai terlibat.  Kakitangan jabatan itu seharusnya perlu turun padang bagi meninjau keperluan rakyat seumpama itu,” katanya. Beliau kemudian mengarahkan kakitangan Unit PKR Sukau supaya turut mengambil peranan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi Hamsyah.

Dalam program tinjauan itu, Saddi turut menggujungi serta  menyampaikan sumbangan peribadi kepada Puan Raini Masuari, seorang ibu tunggal yang memiliki lapan orang anak masih kecil, diikuti Hajah Santi Mappa, 80'an yang juga mengalami masalah kesihatan.

Di sebelah petangnya, Saddi turut mengambil peluang lebih setengah jam berbual mesra dengan para belia terlibat serta memandu uji kenderaan Pacuan Empat Roda yang dimiliki anggota persatuan Belia Perkasa Kampung Paris di kawasan lapang Paris 1.