Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Belia Kg Paris menolak pimpinan yang mengamalkan keganasan


Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman mengajak rakyat membuat pernilaian terbuka ke atas segala kebaikan yang dicurahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negara ini berbanding dengan apa yang terus dilakukan pihak pembangkang untuk mendapat kuasa.

Tegasnya, rakyat mempunyai peranan bukan saja  menerima bulat-bulat  segala apa yang terus disampaikan pihak pembangkang, apa lagi secara kekerasan,  tetapi  menilai secara mudah ke atas kemajuan negara serta  soal  kehormonian antara kaum  sejak BN memerintah negara ini secara adil dan saksama.

“Rakyat di kawasan Dun Sukau dan Kinabatangan ini perlu turut membuat pernilaian sedemikian kerana inilah yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menerusi tujuh perkara utama yang diberikan perhatian oleh rakyat dalam menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 ini,” katanya.

Berucap merasmikan Majlis Belia Bersama Pemimpin 1Malaysia di Dataran Terbuka Mukim Paris 1 di sini malam tadi, Saddi berkata, ternyata gabungan parti pembangkang khususnya Parti Pakatan Rakyat (PKR) tidak mampu menyayangi segala kejayaan yang sudah dibuktikan kerajaan BN sekian lama.

Berucap di hadapan hampir 4 ribu orang yang hadir khususnya mewakili golongan belia di sekitar kawasan itu, Saddi berkata, tindakan terdesak pihak pembangkang yang memilih untuk mendalangi rusuhan serta demonstrasi haram di ibu negara akhir-akhir ini adalah ekoran alasan itu.

Saddi yang merujuk Perhimpunan Bersih 3.0 diadakan di ibu negara lepas berkata,  pihak pembangkang seperti PKR bukan saja begitu terdesak untuk mempengaruhi serta mempergunakan rakyat agar terus berusaha membenci kepimpinan kerajaan BN.

 Tetapi lebih dari itu, katanya, para pemimpin PKR khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu melihat supaya sistem memilih pemimpin secara adil menerusi demokrasi di negara ini diketepikan, digantikan dengan menggunakan kekerasan dan huru hara.

Para pemimpin PKR, tegas Saddi, dilihat terpengaruh supaya aktiviti keganasan dan rusuhan kaum yang berlaku di negara luar sehingga membawa kepada perubahan kerajaan secara paksa berlaku di negara ini.

“Jadi saya ingin bertanya kepada  golongan belia di Mukim Paris ini, adakah keadilan  yang kita amalkan memilih pemimpin selama ini melalui lunas-lunas demokrasi, kita tukar dengan cara huru hara? Sanggupkah kita musnahkan keharmonian antara kaum di negara ini atas semata-mata kepentingan politik berasaskan soal peribadi dengan apa yang sudah dilakukan PKR?,” tanya Saddi.

Sambil hadirin mengangkat tangan sebagai tanda menolak perhimpunan haram seumpama itu, Saddi mahu rakyat seluruh Dun Sukau bangkit bersatu untuk mempastikan kemenangan besar BN menjelang PRU ke 13 ini.

Dengan menegaskan segala  keupayaan serta kerjasama seluruh masyarakat belia di kawasan ini sebagai antara aset kekuatan BN menghadapi pembangkang seperti PKR, Saddi berkata, kejayaan memberikan kemenangan besar kepada BN di kawasan itu antara jaminan penting untuk mensasarkan pembangunan ekonomi rakyat dan golongan itu yang masih memerlukan pembelaan kerajaan.

Sambil awal-awal lagi menyatakan kebanggaannya terhadap sokongan masyarakat belia dan rakyat Mukim Paris terhadap program anjuran bersama gabungan jawatankuasa belia di mukim itu seperti Persatuan Belia Perkasa Kampung Paris 1,  Persatuan Belia Kampung Paris 111, Persatuan Pacuan Empat Roda Kampung Paris dan Unit PKR Dun Sukau,  Saddi mengakui terharu dengan kerjasama yang wujud.

“Inilah maknanya jika kita bersatu dan berkerjasama. Jika belia mengukuhkan kerjasamanya dengan kerajaan, bukan satu masalah kita untuk terus membanggunkan negara apalagi kawasan Dun Sukau menjadi sebuah daerah maju menjelang tahun 2020.

“Tetapi mampu merebut segala peluang dan faedah bersama, seterusnya mampu mengandakan sokongan padu kepada kerajaan BN untuk terus kekal dan belia hari ini adalah pelapis kepada kepimpinan yang lebih bertanggungjawab serta bijaksana meralisasikan kemajuan negara,” katanya.

Majlis Perasmian itu turut diserikan dengan gabungan persembahan artis tanahair seperti Ampal (Abu Bakar Ella), Sabhi Saddi,  Azrul Raja Lawak, Fida AF, Sida AF,  Azwan Melodi dan beberapa orang lagi.

Saddi turut berikrar untuk  untuk menunaikan permintaan masyarakat belia di mukim itu seperti kemudahan pusat belia dan gelanggang Futsal Mukim Paris, selain sedia untuk berkerjasama dalam menjayakan segala aktiviti belia serta rakyat di mukim tersebut.

Pada program yang mengambil masa sehari bersama belia di mukim itu, Saddi meluangkan masa meninjau rakyat yang memerlukan pertolongan di mukim tersebut, sambil menyaksikan beberapa acara sukan seperti tarik tali, persembahan kenderaan pacuan empat roda serta menyaksikan perlawanan persahabatan bolasepak antara kakitangan UPKR Sukau dan Gabungan  Kelab Sukan Artis Malaysia dan Belia Mukim Paris yang berkesudahan 4-3.