Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Jangan membuat komen liar melalui Facebook - Datuk Saddi Abdul Rahman







Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, rakyat mempunyai ruang luas serta terbuka untuk memberi pandangan dan kritikan membina agar membolehkan beliau melaksanakan khidmat dan pembelaan yang terbaik untuk rakyat.

Katanya, antara ruang yang paling mudah dan pantas ialah memberi sebarang komen mereka melalui laman social seperti Facebook (FB), laman blok, twiter yang turut disediakannya untuk tujuan itu lebih tiga tahun lalu.

“Saya turut menyediakan ruangan ini kepada rakyat sejak saya melancarkan laman blog Dun48 Sukau.com sejak bulan Jun 2009 yang lalu dalam memperbaiki peranan dan khidmat saya kepada rakyat.

“Saya sesungguhnya mahu mengajak rakyat berfikir serta bertindak bersama-sama saya untuk memajukan kawasan bukan saja dalam bentuk pembangunan, tetapi soal sosoiekonomi, pendidikan dan apa juga yang melibatkan kepentingan seluruh lapisan rakyat di kawasan luar bandar ini,” katanya.

Berucap Merasmikan Majlis Wacana Saddi bersama Rakan FB Dun 48 Sukau di lobi Kompleks Sukan Sandakan di sini malam Sabtu, Saddi berkata, beliau memerlukan lebih ramai suara dan pendapat menyertai pendekatan itu, walaupun sebahagian penduduk khususnya golongan muda sudah berbuat demikian.

Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) itu berkata, selain dengan bertukar-tukar pendapat dan membincangkan mengenai agenda kerajaan termasuk soal mentranformasikan politik, revolusi minda dan soal mentranformasikan ekonomi sebagaimana yang ianjurkan kerajaan Barisan Nasional (BN), perubahan masyarakat setempat yang lebih rancak dan pantas mampu dijana menerusi hubungan tersebut.

Saddi melahirkan rasa bangganya kerana halaman blog ADUN48 Sukau yang memaparkan aktiviti perkhidmatannya sebagai wakil rakyat itu yang dinaiktaraf lima bulan lalu kini sudah dilayari oleh lebih 25,000 pengunjung atau lebih 2,500 pengunjung setiap bulan.

Saddi bagaimanapun menyuarakan rasa kesalnya kerana  masih ada individu yang sengaja menyalahgunakan laman social seperti Laman FB untuk tujuan menyampaikan serangan peribadi bagi tujuan memburuk-burukkan peribadi seseorang tidak terkecuali beliau.

“Satu dari komen liar itu ialah dengan menuduh saya yang kononnya bertindak menjual tanah rakyat pada suatu ketika dulu. Tanpa merujuk kepada fakta sebenar penulis FB itu mengungkit satu kes penjualan tanah secara sah berlaku berpuluh tahun lalu sebelum saya menjadi Ketua  pemuda Umno Kinabatangan, apalagi sebagai wakil rakyat.,” katanya.

Kata Saddi, selain pemberi komen FB itu tidak meletakkan nama sebenar, kenyataan berbentuk fitnah sedemikian tentunya boleh menjejaskan imejnya sebagai wakil rakyat jika tanpa penjelasan tepat.

“Mujurlah apabila saya memberikan penjelasan, ramai rakyat faham. Dan apa yang saya dapati, rupanya  ada individu tertentu yang bertindak di belakang pemberi kenyataan itu untuk tujuan mendapat faedah politik melalui perbuatan mahu menjatuhkan saya,” katanya.
Kata Saddi, samada dari kalangan penulis blog, rakan-rakan di dalam FB, perbuatan negatif sedemikian tidak akan memberikan keuntungan kepada rakyat dan kerajaan, sebaliknya jika dilayan boleh memudaratkan persekitaran sosial rakyat  dan merugikan masa depan mereka.

Kira-kira 200 orang melibatkan rakan-rakan FB dan penulis blog, diikuti para pemimpin masyarakat hadir dalam program tersebut.

Turut memberikan ucapan ialah Pengerusi Kelab Rakan FB Dun itu, Bahri Haji Omarmaya, serta Zulkifli Teo yang mewakili lebih 500 orang anggota kelab FB itu sebagai menyuarakan pandangan mereka terhadap peranan dan sumbangan yang dimainkan Datuk Saddi sejak menjadi wakil rakyat Dun itu empat tahun lalu.

Beberapa acara seperti persembahan artis Sandakan FM, cabutan tiket bertuah dan dialog Rakan FB Dun Sukau diadakan pada program yang berakhir lewat malam itu.

Saddi ketika menjawab soalan daripada sesi dialog berkenaan bersetuju dengan pandangan anggota Kelab FB itu bahawa soal pembangunan golongan belia dalam 16 Kampung dalam  Persisiran Pantai Dun Sukau perlu diperhebatkan dengan pelbagai aktiviti yang memfokuskan kepada masa depan golongan itu.

“Apa yang saya harapkan para belia di kawasan ini bergerak aktif bersama-sama pihak kerajaan khususnya menyampaikan apa juga keperluan mereka, selain mengaktif dan mengujudkan persatuan-persatuan belia di kawasan masing-masing bagi memudahkan pihak kerajaan menyalurkan pertolongan,” katanya.

Saddi juga mencadangkan supaya program wacana sedemikian dapat diadakan pada masa-masa tertentu sebagai salah satu flatform untuk beliau mendengar suara dan rintihan rakyat yang gagal disampaikan secara rasmi.

“Beritahu rakan-rakan FB yang tidak seiring dengan kita hentikan buat komen-komen merugikan. Pastikan mereka tidak membuat penulisan dan komen yang berbentuk fitnah kerana ianya amat bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan kita. Al-Quran turut menyebut dosa orang melakukan fitnah itu lebih besar daripada membunuh,” katanya.