SUKAU 12 Okt 2017 :
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul
Rahman mencadangkan kepada Jabatan Kebajikan Am supaya menyediakan statistik
lengkap berhubung kedudukan golongan Orang kelainan Upaya (OKU), termiskin
serta individu tertentu di sini agar memudahkan tumpuan khusus dan pembelaan
terhadap mereka.
Beliau berkata, statistik itu bukan saja memberi maklumat
berkaitan jumlah dan kedudukan anggota golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), tetapi dari kalangan orang-orang tua, balu,
anak-anak yatim piatu, diikuti mereka dari kalangan keluarga daif serta secara
tiba-tiba mengalami kemiskinan mengejut akibat kehilangan pekerjaan, menjadi
mangsa kebakaran dan malapetaka.
“ Saya mengharapkan
maklumat lengkap berhubung statistik seperti ini sejak mula menjadi wakil
rakyat (10 tahun lalu). Tetapi apabila jawatankuasa Makmal Kebajikan yang kami
tubuhkan cuba mendapatkannya dari jabatan ini, maklumat seperti ini belum
disediakan,” katanya.
Saddi menyatakan
demikian ketika merasmikan Majlis Kempen Pendaftaran OKU anjuran Jabatan
Kebajikan Am Masyarakat Peringkat Dun Sukau di Pekan Sukau di sini pagi Sabtu.
Saddi berkata,
maklumat tersebut amat penting bukan saja membolehkan pihaknya melakukan
sebarang perhatian serta tinjauan susulan ke atas nasib yang ditanggung oleh
semua golongan tersebut, tetapi membolehkannya melakukan ikhtiar yang lebih
untuk membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik.